Utusan Online - Rekreasi |
Sambutan berbeza Earth Hour di Tasik Kenyir Posted: 26 Apr 2014 06:13 AM PDT PESERTA My Moments iM4U menjayakan program berjalan malam atau nightwalk di Tasik Kenyir, baru-baru ini. LAZIMNYA kempen Earth Hour yang bertujuan mengajak masyarakat dunia melindungi bumi melibatkan acara bergelap atau menutup lampu. Namun bagi 24 peserta My Moments 1Malaysia For Youth (iM4U) mereka mempunyai cara lain meraikan kempen itu di Tasik Kenyir, Terengganu baru-baru ini. Selain menyalakan lilin, mereka yang terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang dan pantai timur itu mengadakan program berjalan malam atau nightwalk tanpa menggunakan lampu suluh dan menghayati kehidupan haiwan di waktu malam. Pengarah Program My Moments iM4U, Mohd. Azizan Mohd. Yusof berkata, semua peserta tersebut merupakan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Politeknik Shah Alam), Kolej Komuniti Selayang, Universiti Cyberjaya, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Antarabangsa FTMS. Katanya, aktiviti yang diadakan di sekitar Lake Kenyir Resort Taman Negara itu berlangsung selama sejam bermula pukul 8.30. "Kebiasaannya di bandar, kita akan melihat kebanyakan kediaman serta pejabat akan mematikan lampu dan peralatan elektrik selama sejam sebagai tanda sokongan dan kesedaran ke atas perubahan iklim. "Namun di kawasan Taman Negara yang dikelilingi hutan belantara, situasinya berbeza berbanding di bandar. Oleh itu, kami mencari idea lain untuk menyokong kempen ini," katanya kepada .com. PESERTA program My Moments iM4U hanya menggunakan lilin ketika sambutan kempen Earth Hour di Tasik Kenyir baru-baru ini. Sementara itu, pelajar Kolej Antarabangsa FTMS, Muhammad Iskandar Jefri, 19 berkata, sambutan Earth Hour di Tasik Kenyir sangat berbeza berbanding di kampus, rumah ataupun pejabat. "Sambutan di sini memberi makna yang lebih mendalam. "Sepanjang sejam menikmati pengisian aktviti, baru saya sedar bahawa besarnya kesalahan manusia selama ini sehingga menyebabkan ekosistem bumi seperti tumbuhan dan haiwan terganggu sehingga menyebabkan perubahan iklim dan cuaca yang tidak dapat dijangka akibat kesalahan kita sendiri," katanya. Pelajar Fakulti Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Rizal Zulkifli Poh, 23 pula berpendapat, menjadi ahli sukarelawan iM4U banyak menyedarkan dirinya bahawa tanggungjawab sebagai seorang sukarelawan itu bukanlah sekadar membantu diri sendiri dan masyarakat sekeliling tetapi juga alam sekitar. "Sebagai penyambung generasi akan datang, remaja perlu menanam rasa kasih sayang terhadap bumi dengan menggunakan tenaga elektrik secara berhemah kerana sebarang pembaziran atau penggunaan yang kurang efisien menyebabkan kita dihukum semula oleh alam seperti perubahan iklim secara mendadak di seluruh dunia. "Selain itu, tidak semestinya, sambutan Earth Hour perlu dilakukan seperti memadamkan elektrik di kediaman atau bangunan selama sejam tetapi ia juga boleh diubah dengan idea berbeza seperti ini kerana tujuan yang ingin dicapainya tetap sama," katanya. - Dhiya Zulhilmi Daud/Mohd. Najib |
Posted: 26 Apr 2014 06:13 AM PDT PERLUMBAAN lasak basikal gunung menuntut pelumba merentasi pelbagai halangan semulajadi seperti mendaki, menurun bukit dan merentasi halangan anak sungai semakin popular. Apa tidaknya, trend remaja berbasikal semakin ketara dan mudah dilihat di mana-mana sahaja. Kejohanan Janda Baik Mountainbike Ride (JBMR) 2014 yang berlangsung baru-baru ini di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang itu merupakan antara kejayaan yang boleh menjadi kayu pengukur kepada pertandingan lain. Kehadiran pelumba profesional dan amatur bersaing di kawasan kaki hutan banjaran Titiwangsa tersebut tetap menjamin satu cabaran getir. Walaupun ada peserta yang kali pertama menyertai perlumbaan basikal lasak, mereka tetap mampu mempamerkan semangat juang tinggi untuk bersaing dan menghabiskan perlumbaan. Kejohanan anjuran Sk Event Pro Bike Mgt dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Negeri Pahang dan Johor itu dibahagikan kepada lima kategori iaitu kategori utama, terbuka lelaki, terbuka wanita, terbuka senior dan terbuka junior disertai kira-kira 1,800 peserta dari seluruh negara. Menurut Pengarah Urusan Sk Eevent Pro Bike Mgt, Datin Hayati Laham, cabaran pada tahun ini disifatkan lebih mencabar berbanding edisi pertama tahun lalu. "Pada tahun ini, kita sebagai penganjur telah membuat keputusan untuk memperbanyakkan lagi halangan bagi menjadikan laluan trek lebih getir dan mencabar. "Sebanyak 20 halangan terdiri daripada mendaki bukit, menurun bukit dan merentasi laluan anak sungai perlu dilalui oleh para peserta sebagai 'check point' sebelum perlumbaan berjaya ditamatkan," katanya kepada .com. Tambahnya, pelumbaan kali ini juga turut dimeriahkan dengan penyertaan beberapa pelumba negara seperti Anuar Manan. Katanya, terdapat dua sirkit dianjurkan oleh pihaknya yang dibuka kepada pelumba-pelumba basikal lasak di seluruh negara, pertama di Janda Baik, Pahang dan kedua di Gunung Ledang, Johor Bahru pada 3 Mei ini. Sebahagian pelumba yang menyertai Janda Baik Mountainbike Ride 2014 di Kampung Janda Baik baru-baru ini. Bagi peserta dari Melaka yang mewakili pasukan Bukit Katil Cycling Club (BKCC), Mohd. Hariz Zainal, 18, dia teruja menyertai kejohanan itu, terutama dalam memenuhi impiannya mewakili negeri Melaka ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-17 di Perlis bermula 24 Mei hingga 4 Jun ini. Mendapat pendedahan awal daripada pasukannya BKCC, dia jelas bijak menguasai saingan untuk muncul tempat ketiga pada kategori berkenaan. "Setiap peserta memerlukan ketahanan mental dan fizikal untuk menguasai trek sejauh 30 kilometer (km) itu tambahan pula treknya yang mencabar termasuk memiliki cerun licin dan selekoh tajam. "Apa-apa pun, JBMR 2014 ini berjaya memberikan saya pengalaman berharga termasuk mengenalpasti beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum bertanding di perlumbaan lebih berprestij seperti Sukma nanti," katanya yang amat menggemari halangan downhill. Manakala, bekas pelumba basikal gunung negara yang pernah beraksi di Sukan SEA Myanmar hujung tahun lalu, Shahrir Amir yang baharu mencecah usia 30 pada tahun ini berkata, penyertaannya pada kali ini adalah sekadar untuk beriadah selain mengekalkan tahap kecergasan dan stamina pada diri sendiri. "Bagi saya, kualiti penganjuran sukan basikal lasak di Janda Baik ini berjaya mencapai kualiti setara dengan perlumbaan peringkat nasional yang lain di negara ini. Hal ini kerana kesemua halangan dianggap penting yang perlu ada pada 'Offroad' seperti meredah laluan anak sungai, menurun cerun bukit dan mendaki bukit ada ditawarkan oleh penganjur," katanya yang mewakili pasukan Giant Bicycle Malaysia. Sementara itu, Irfan Danial Nor Azlan, 15, yang merupakan peserta individu pada perlumbaan kali ini berpendapat, golongan remaja sepatutnya mengambil peluang memanfaatkan usia muda mereka dengan menyertai aktiviti sukan lasak seperti JBMR 2014 ini. "Basikal gunung bukan sahaja dapat mengekalkan tahap kecergasan serta meningkatkan stamina seseorang malah ia boleh mematangkan pemikiran seseorang remaja itu dari tahap tindakan dan membuat sesuatu keputusan," katanya yang merupakan pelajar Tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selayang, Kuala Lumpur. - Dhiya Zulhilmi Daud/ROY AZIS |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan