Utusan Online - Pahang |
Pencemaran Taman Negara serius Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT Oleh M.RIZAL NOR Ahmad Nazlan Idris (dua dari kanan) menyampaikan sijil pelantikan kepada Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) sambil diperhatikan Rusli Che Husin (dua dari kiri) di Taman i-City, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. JERANTUT 27 April - Isu pencemaran alam sekitar yang berlaku di daerah ini perlu dipandang serius kerana boleh menjejaskan kehadiran pelancong terutama ke Taman Negara di Kuala Tahan, dekat sini. Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, kemerosotan kira-kira 10,000 pelancong pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya berkemungkinan berkait rapat dengan kesan pencemaran alam sekitar. "Difahamkan terdapat rungutan mengenai pencemaran sungai dan aktiviti pembalakan yang mampu merosakkan hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun itu. "Kebanyakan pelancong yang datang ke Taman Negara adalah untuk menikmati keindahan dan kehijauan alam semula jadinya yang tidak terdapat di tempat lain," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) Peringkat Parlimen Jerantut di Taman i-City, di sini baru-baru ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rusli Che Husin. Kata Ahmad Nazlan, pelancong yang datang ke daerah ini bukan sahaja untuk membeli-belah sebaliknya melihat keindahan alam seperti di Taman Negara, Gua Kota Gelanggi dan Air Terjun Lata Meraung. Menurutnya, masalah pencemaran yang tidak dibendung dari awal bukan sahaja menjejaskan kehadiran pelancong bahkan akan memberi kesan kepada ekonomi penduduk. "Jika seorang pelancong berbelanja RM300 semasa berada di Taman Negara, kita rugi RM3 juta setahun dan jumlah ini akan meningkat," ujarnya. |
Golongan lelaki ceburi sukan bola jaring Posted: 27 Apr 2014 11:39 AM PDT KUANTAN 27 April - Penglibatan golongan lelaki dalam sukan bola jaring merupakan fenomena baharu yang dapat menyemarakkan lagi sukan berkenaan terutama kepada generasi muda. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Husain berkata, perkembangan tersebut sangat positif dan memberangsangkan kerana peserta mengambil bahagian dalam sukan tersebut menunjukkan prestasi yang baik. "Penyertaan lelaki dalam bola jaring merupakan cabaran baharu bagi sukan yang hanya dimonopoli golongan wanita sebelum ini. "Saya lihat sukan itu merupakan perkembangan sihat kerana mereka bukan sahaja menceburi bidang yang dipelopori satu-satu jantina tetapi kemahiran dimiliki pemain lelaki sangat bagus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Jaring Terbuka Pahang di Teluk Chempedak di sini, baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin. Menurut Mohd. Johari, penganjuran buat julung kali dengan pemilihan lokasi yang merupakan salah satu kawasan pelancongan terkenal di negeri ini wajar dipuji. "Syabas saya ucapkan kepada penganjur kerana bukan sahaja membabitkan penganjuran seluruh negara tetapi turut mempromosikan kawasan pelancongan. "Saya harap penganjuran ini akan dijadikan acara tahunan dengan memilih lebih banyak lokasi pelancong an yang terdapat di negeri ini seperti Pulau Tioman," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan