Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Langkah hapus 'orang tengah'

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

SURAYA Yaacob (empat dari kanan) bersama wakil dari PPK yang menerima sijil dalam Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 16 Jan. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah memperuntukkan RM1.98 juta bagi membina enam Pusat Belian Padi di negeri ini sejak 2011 dalam usaha menghapuskan peranan 'orang tengah' dalam sektor padi.

Pengarah LPP Kedah, Ismail Saleh berkata, pada tahun ini sebuah lagi Pusat Belian Padi akan dibuka di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Serai dekat sini dengan peruntukan berjumlah RM300,000.

Katanya, pusat tersebut dibina untuk memberi kemudahan pemasaran lepas tuai kepada ahli PPK khususnya yang terbabit dengan Projek Mini Estet Padi tanpa melalui orang tengah.

"Sekarang tiga pusat belian padi telah beroperasi iaitu di PPK Kuala Muda Selatan, Merbok dan Bandar Baharu, manakala tiga lagi pusat dalam persediaan untuk operasi adalah di PPK Langkawi, Asun dan Pendang.

"Paling baharu adalah Kilang Beras Kubur Panjang (KBKP) yang memperolehi semula status Pusat Belian Padi daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas)," katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan Bernas, Mohd. Azmy Abu Samah.

Ismail berharap, semua PPK dapat memberi kerjasama dengan Bernas bagi melaksanakan operasi pembelian padi secara tidak langsung akan mengurangkan risiko yang ditanggung PPK dalam menjalankan aktiviti ini termasuk berdepan risiko kerosakan hasil tuaian.

Beliau berkata, ahli PPK terdiri daripada petani memperoleh faedah menerusi kerjasama dengan Bernas seperti menerima tawaran bayaran secara bersepadu harga padi, subsidi dan komisen.

Katanya, pusat tersebut juga membuat bayaran kepada petani lebih cepat berbanding bayaran dibuat melalui orang tengah.

"Dalam masa sama, kewujudan pusat ini yang berada dalam kawasan mereka juga sekali gus akan membantu meningkatkan hasil pendapatan pesawah di negeri ini di mana petani datang terus ke pusat belian dan dapat menjimatkan kos pengangkutan mereka.

"Saya berharap supaya pusat belian padi PPK dengan persetujuan Bernas dapat memindahkan padi ke KBKP mengikut keperluan bagi memenuhi sasaran Pelan Perniagaan KBKP supaya matlamat pengeluaran padi 14,000 metrik per tan setahun tercapai," katanya.

Zakat Pulau Pinang agih RM5.3 juta

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

Oleh ANI AWANG
utusanpenang@utusan.com.my

Pengurus Besar Zakat, Dr. Azman Samad (kanan) menyampaikan zakat kepada sebahagian daripada 420 penerima di Dewan Ahmad Badawi Butterworth, semalam.

BUTTERWORTH 16 Jan. - Zakat Pulau Pinang mengagihkan sebanyak RM5.3 juta kepada 7,257 orang pelajar di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM1.8 juta diperuntukkan untuk bantuan persekolahan manakala RM3.5 juta lagi untuk bantuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, bantuan tersebut adalah tanggungjawab MAINPP untuk melaksanakan amanah bagi memenuhi keperluan asnaf di negeri ini.

"Bantuan ini dapat mengurangkan bebanan ibu bapa dalam menyediakan wang bagi membolehkan anak-anak memulakan sesi persekolahan serta melanjutkan pelajaran ke IPT," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Penyerahan Zakat Korporat di Dewan Datuk Ahmad Badawi di sini hari ini.

Seramai 420 orang menerima bantuan persekolahan dan bantuan IPT berjumlah RM226,050 hari ini.

Selain itu, Telekom Malaysia Berhad (TM) membayar zakat perniagaan berjumlah RM93,032 kepada Zakat Pulau Pinang.

Salleh berkata, pendidikan amat penting dalam menentang kemiskinan dan membentuk masyarakat Islam yang berkualiti.

Katanya, kesedaran terhadap ilmu mampu melahirkan generasi yang hebat dengan ilmu dunia dan ilmu akhirat yang berasaskan al-Quran dan sunnah Rasullah SAW.

"Tanpa pendidikan, tidak mungkin manusia dapat membina tamadun dan peradaban. Sebaliknya manusia akan hanyut dalam kepesatan arus kemajuan dunia yang semakin deras dan pantas," katanya.

Polis tumpaskan kegiatan edar dadah di Sungai Siput

Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST

KASUAHDI Ali (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, Perak, semalam.

SUNGAI SIPUT 16 Jan. - Polis menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah dipercayai di kawasan Sungai Siput Utara dengan penangkapan dua suspek selain merampas dadah jenis ganja seberat hampir tiga kilogram bernilai RM2,350, kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 25 tahun itu ditahan bersama sebuah motosikal ketika dipercayai sedang menunggu pelanggan di hadapan kawasan tempat meletak kenderaan Pasar Raya TF Value Mart di Jalan Lintang di sini, pukul 7.20 petang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kasuahdi Ali berkata, kesemua dadah yang dibungkus dalam tiga pita plastik itu ditemui di dalam raga motosikal.

"Bekalan dadah itu dipercayai diperoleh daripada daerah berdekatan dan boleh menampung penagih dadah di sekitar kawasan Sungai Siput Utara termasuk Khantan dan Chemor di Ipoh selama sebulan.

"Namun begitu, kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah, malah hasil ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Deputi Supritendan Ernest John.

Kasuahdi berkata, kedua-dua suspek berkenaan ditahan reman sehingga 21 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved