Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tok Gajah menang lagi

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@Utusan.com.my

Penyerang Pahang, Azamuddin Mohd Akil (kiri) dijatuhkan pemain Lions Muhammad Zulfahmi (kanan) pada pertandingan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Darul Makmur malam tadi. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

KUANTAN - Matias Ruben Conti meraikan hari jadi yang ke-24 dengan penuh bermakna apabila menjadi penjaring gol kemenangan untuk membantu Pahang merangkul Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan LionsXII 1-0 di Stadium Darul Makmur semalam.

Conti layak dilabel sebagai 'hero ' Tok Gajah kerana pada musim lalu, dia turut menjadi watak penting kepada kejayaan Pahang menjuarai Piala Malaysia.

Kali ini jaringan tunggalnya pada minit ke-57 sudah cukup menjulang skuad kendalian Ronald Smith selepas menyambar bola muntah penjaga gol LionsXII, Izwan Mahbud bagi memastikan Pahang memulakan musim 2014 dengan langkah kanan.

Kali terakhir Tok Gajah menjuarai kejohanan itu pada 1993.

Sememangnya pasukan Pahang layak meraih kejuaraan apabila menguasai sebahagian besar permainan, malah boleh menang dengan gol lebih besar cuma dihampakan oleh ketumpulan Conti sendiri selain kekebalan Izwan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sambil diiringi oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Disaksikan kira-kira 30,000 penyokong setia, Tok Gajah sedikit kecewa apabila bekas pemain import Kelantan, Dickson Nwakaeme terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-14 kerana masalah kecederaan dan digantikan dengan Conti.

Conti tidak menunggu terlalu lama untuk cuba merobek pertahanan LionsXII pada minit ke-22 namun sepakan guntingnya tersasar jauh daripada gawang lawan sebelum empat minit kemudian.

Walaupun diasak bertubi-tubi, Lions XII mampu mencari ruang untuk melancarkan serangan pada minit ke-29 apabila larian solo Khairul Amri dari tengah padang berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti Pahang.

Mujur penjaga gol, Khairul Azhan Mohd. Khalid pantas menepis keluar bola percubaan penyerang berusia 28 tahun berkenaan.

Lawan sekali lagi mencemaskan penyokong tuan rumah apabila Muhammad Sufian Anuar melepaskan rembatan jarak jauh yang melepasi palang gol Pahang pada minit ke-37.

Memasuki babak kedua, Pahang dilihat memberikan banyak ruang kepada pemain muda, Abdul Malik Mat Ariff untuk bergerak di bahagian tengah yang jelas menjadi kunci kepada serangan-serangan Tok Gajah.

Hasilnya, melalui gerakan satu-dua bersama Azidan Sarudin, pemain bertubuh kecil itu berjaya meloloskan diri secara berseorangan ke dalam kotak penalti LionsXII.

Dengan tamatnya perlawanan Sumbangsih bermakna, Liga Malaysia 2014 kini dibuka secara rasmi.

Kemenangan semalam turut memberikan tiga mata buat Pahang dalam saingan liga.

Chong Wei tagih bantuan rakan-rakan

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Lee Chong Wei membalas pukulan pemain China, Du Pengyu pada suku akhir kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei mengharungi perlawanan yang mudah semalam untuk melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, namun ada sesuatu yang bermain di fikirannya sebelum berdepan jaguh Denmark, Jan O Jorgensen hari ini.

Semalam, pemain No. 1 dunia itu menerima dua khabar gembira. Pertama, dia tidak menghadapi banyak masalah untuk menundukkan bintang muda China, Du Pengyu 21-9, 21-15 dan kedua, seandainya layak ke final esok, dia tidak perlu menentang pemain No. 2 dunia, Chen Long yang telah mengalahkannya dalam empat pertemuan terakhir mereka kerana jaguh China itu tersingkir di suku akhir semalam.

Chen Long, yang memegang rekod pertemuan 8-7 ke atas Chong Wei ditunjukkan jalan keluar oleh naib juara All England 2010 yang juga pilihan kelima, Kenichi Tago dari Jepun 18-21, 21-9, 10-21.

Sejurus menyingkirkan Pengyu dan mencerahkan peluang untuk memburu kejuaraan ke-10, Chong Wei, juara 2013, 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2006 dan 2005 menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan pemain-pemain yang mampu memberi sokongan kepadanya.

"(Liew) Daren dan (Chong) Wei Feng tidak bermain dengan baik tetapi saya masih mempercayai mereka.

"Tahun ini adalah tahun penting buat kita. Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Thomas bakal menanti, saya tidak boleh memenangi kejuaraan berpasukan bersendirian, mereka ini kena segera menunjukkan peningkatan.

"Mereka kini berada di bawah tekanan hebat, tetapi kami ada tempoh rehat dan boleh bersatu semula," kata Chong Wei.

Katanya lagi, pemain-pemain pelapis negara yang lain bukan saja gagal memberi tentangan kepada pemain utama, malah bergelut untuk melepasi pusingan kelayakan dan itu membuktikan mereka berada dalam kelas yang jauh berbeza.

Chong Wei, 31, turut menambah, keadaan tidak begitu baik buat Malaysia, apatah lagi negara seperti Jepun juga sudah melahirkan ramai pemain berkualiti. Selain Tago, yang baharu berusia 24 tahun, mereka juga sudah memiliki Kento Momota, pemain berusia 19 tahun yang memaksa pilihan ketiga, Jorgensen berhempas pulas sebelum tewas 22-24, 20-22.

"Saya belum pernah berjumpa dengan Momota, tapi saya tengok pemain Jepun itu memang sangat berbakat. Mungkin selepas Tago, Momota akan mengambil alih tempatnya," ujarnya lagi.

Sementara itu, Chen Long mengakui, masalah kesihatan sejak awal kejohanan antara sebab dia gagal memberikan permainan terbaik di Kuala Lumpur.

"Saya tidak memberikan persembahan 100 peratus, mungkin saya demam kerana di Korea Selatan cuacanya sejuk apabila tiba di sini, cuaca panas," katanya pemain No. 2 dunia itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved