Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Selesai 90% masalah banjir kilat

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Nor Hisham Ahmad Dahalan

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Cadangan pembinaan sebuah kolam tadahan banjir seluas 1.2 hektar di Batu 23, Jalan Batu Arang-Rawang, Selangor tetap diteruskan walaupun mendapat bantahan penduduk dan pengusaha ternakan di situ.

Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahalan berkata, pembinaan kolam berdekatan Sungai Gong yang menjadi punca banjir itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, tanah tersebut merupakan milik kerajaan dan tidak melibatkan sebarang pengambilan tanah persendirian.

"Saya telah berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minggu lalu dan persetujuan telah diberikan bagi meneruskan projek tersebut.

"Bagaimanapun jumlah peruntukan bagi projek itu masih belum ditentukan.

"Kertas kerja mengenai projek tersebut juga telah dihantar ke Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai bantahan beberapa penduduk dan pengusaha ternakan di Batu 23, Jalan Batu-Arang di sini mengenai cadangan pembinaan kolam tadahan di kawasan itu yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini.

Dalam laporan itu, mereka mendakwa lokasi yang dicadangkan itu bukan sahaja tidak sesuai kerana terletak di kawasan tanah tinggi tetapi juga bukan kawasan yang menjadi punca kejadian banjir.

Nor Hisham berkata, mereka yang menyuarakan bantahan itu terdiri daripada peneroka haram di kawasan itu

"Kolam tersebut dijangka dapat menyelesaikan 90 peratus masalah banjir di Rawang," katanya.

HORAS bakal cetus panik kepada rakyat Selangor - Swan

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

SHAH ALAM 17 Jan. - Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan) menyifatkan pengumuman kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu melaksanakan projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) hanya akan menambahkan lagi kekeliruan selain mencetuskan suasana panik di kalangan pengguna air di negeri ini.

Presiden Swan, Aldric Loong Kim Yew berkata, pengumuman projek itu oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat seolah-olah mengakui kenyataan daripada pelbagai pihak termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sebelum ini mengenai kekurangan bekalan air membabitkan kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurutnya, kebimbangan pengguna mengenai status bekalan air itu turut ditambah lagi dengan keputusan kerajaan negeri untuk memberikan kelulusan bagi pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 sedangkan sebelum ini kerajaan negeri menyatakan loji tersebut tidak diperlukan.

"Masih terlalu awal untuk dirumuskan sama ada projek HORAS ini adalah satu realiti atau sekadar cakap-cakap kosong sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Abdul Khalid dilaporkan menerusi portal berita telah mengarahkan Pengawal Selia Air Selangor, Datuk Mohamad Roslan Sakiman untuk memulakan projek HORAS di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari.

Menurut Abdul Khalid, dengan adanya projek itu rakyat Selangor tidak akan terlalu bergantung kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 sebagai jaminan atau kepastian bahawa pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air berterusan.

Selain itu, Abdul Khalid turut menyatakan sistem tersebut melibatkan penakungan air hujan dari Sungai Selangor di kawasan bekas lombong di Bestari Jaya.

Dalam pada itu, Kim Yew berkata, pihaknya akan menganjurkan persidangan meja bulat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 23 Januari ini bermula pukul 9 pagi bagi membincangkan serta mencari rumusan terbaik bagi merungkaikan kekeliruan dan keresahan rakyat berhubung isu bekalan air.

Nelayan Kuala Langat terima sumbangan

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Sulaiman Karli (tengah) beramah mesra dengan sebahagian nelayan yang menerima bantuan kewangan bagi tujuan baik rumah mereka di Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA LANGAT 17 Jan. - Sebanyak 26 nelayan menerima bantuan kewangan RM10,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka membaik pulih rumah sekali gus dapat menyediakan suasana kediaman lebih selesa.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli berkata, dengan sumbangan tersebut diharapkan nelayan terbabit dapat menjadikan kehidupan keluarga masing-masing lebih harmoni dan ceria.

"Sebelum ini kerajaan ada membuat kempen Satu Rumah Satu Komputer dan kini kita berazam untuk mewujudkan masyarakat di kawasan ini mempunyai sebuah rumah bagi setiap keluarga.

"Terdapat rumah yang dihuni oleh tiga generasi iaitu datuk, anak dan cucu dan keadaan sebegini menyebabkan rumah yang didiami semakin sempit sehingga kurang selesa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan tersebut di sini hari ini.

Menurut Sulaiman, kebanyakan nelayan terbabit memiliki rumah tetapi tidak mempunyai modal untuk membaik pulih bahagian yang rosak seperti bumbung dan lantai.

"Kita banci dan melihat sendiri rumah kesemua nelayan sebelum mendaftarkan mereka untuk menerima bantuan.

"Saya harap bantuan yang disampaikan ini mampu menjadi perintis kepada projek perumahan untuk rakyat miskin yang lain sebagai nilai tambah kepada projek mesra rakyat dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved