Utusan Online - Selatan |
- Dunia coklat tempatan di NS Galleria
- Platform perkembang, promosi bisnes
- Mahu penahan ombak tambahan
Dunia coklat tempatan di NS Galleria Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI Siti Noraizah Kassim menunjukkan beberapa jenis coklat buatan tangan yang dihasilkan dan dijual di NS Galleria, Muzium Negeri Sembilan, Seremban, baru-baru ini. SEREMBAN 16 Jan. - Penggemar coklat khususnya di negeri ini kini berpeluang menikmati keenakan serta kelazatan pelbagai jenis coklat hasil buatan tempatan menerusi pembukaan NS Galleria Chocolate World (NS Galleria), yang menempatkan produk ChocsValley Sdn. Bhd. (ChocsValley) di sini. Premis yang mula beroperasi sejak Julai tahun lalu berhampiran Muzium Negeri Sembilan itu kian mendapat sambutan umum menerusi kepelbagaian produk coklat yang ditawarkan. Lebih menarik, NS Galleria menawarkan lebih 50 produk coklat berkualiti sehingga mampu menandingi produk luar negara. Pengarah Urusan ChocsValley, Siti Noraizah Kassim berkata, pembukaan NS Galleria yang berkonsepkan pameran dan jualan itu menjadi platform terutamanya kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka. Orang ramai yang memasuki galeri coklat pasti akan teruja kerana kami mempamerkan dan menjual coklat buatan usahawan tempatan pada harga yang murah. Di kedai ini, hampir 30 peratus produk coklat dihasilkan oleh ChocsValley manakala 70 peratus lagi adalah coklat buatan usahawan tempatan bawah bimbingan Lembaga Koko Malaysia (LKM)," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Jelasnya, 70 peratus produk coklat yang dipasarkan di NS Galleria diperolehi daripada 10 usahawan sekitar negeri ini. Inisiatif ini secara tidak langsung mampu mewujudkan situasi menang-menang di mana kita membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka pada masa sama kita mampu memenuhi permintaan yang tinggi. Ini kerana ChocsValley turut menerima tempahan membekalkan produk coklat dari pihak hotel selain dipasarkan di kios-kios sekitar negeri ini," katanya. Tambahnya, produk di Galleria NS dijual pada harga serendah RM1.50, malahan pengunjung juga boleh membuat tempahan untuk dijadikan cenderamata majlis hari lahir atau perkahwinan. Saya membuat penyelidikan sendiri berdasarkan cita rasa masyarakat tempatan, malah kami di ChocsValley menghasilkan produk berkonsepkan campuran coklat Belgium dan coklat tempatan bagi hasil coklat yang enak. Antara produk yang mendapat sambutan tinggi seperti Praline Truffles Chocolate dan Panned Chocolate," ujar Siti Noraizah yang berasal dari Rembau. Mengulas saat-saat awal menceburi bidang pembuatan coklat, Siti Noraizah memberitahu, dia mula berniaga secara kecil-kecilan dengan berbekalkan modal sebanyak RM1,800 pada 2010 bagi menghasilkan produk coklat sendiri. Saya banyak mendapat bimbingan dan dibantu oleh LKM, maka saya berhasrat untuk hasilkan produk yang setanding dengan produk terkenal sebab itu saya sering menambah baik produk dari semasa ke semasa bagi memperbaiki rasa serta kualitinya," katanya. Menurutnya, dia memerlukan hampir setengah tan koko bagi menghasilkan produknya dalam tempoh sebulan. Sebenarnya coklat kita setanding dengan coklat luar negara, namun promosi pemasaran agak kurang menyebabkan coklat kita tidak dikenali. Saya harap orang ramai memberi peluang kepada kami untuk membangunkan dan mengembangkan produk coklat tempatan," katanya. Ditanya mengenai perancangan masa depan, Siti Noraizah bercadang mewujudkan Cafe Bistro Coklat berhampiran NS Galleria bagi membolehkan pengunjung berehat sambil menikmati produk coklat. Idea ini selari dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia tahun ini, mungkin itu salah satu cara untuk menjadi tarikan pengunjung dari dalam dan luar negara melancong ke Negeri Sembilan. Di cafe itu, para pengunjung boleh menikmati hidangan serta juadah yang berasaskan coklat seperti air coklat panas, biskut coklat, kek coklat dan sebagainya," jelasnya. NS Galleria dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Mereka yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi Siti Noraizah di talian 019-6052258 atau 017-2673215 atau melayari Facebook Chocs Valley atau NS Galleria Chocolate World. |
Platform perkembang, promosi bisnes Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST Beberapa jenis coklat tempatan yang dipasarkan di NS Galleria, Muzium Negeri Sembilan, Seremban. SEREMBAN 16 Jan. - NS Galleria Chocolate World (NS Galleria) merupakan platform bagi usahawan tempatan memperkembang serta mempromosi keenakan produk coklat tempatan. Menurut pengunjung, Mawar Malinda Zakaria, 32, NS Galleria merupakan idea terbaik bagi memartabatkan perniagaan coklat usahawan tempatan yang sebelum ini kurang mendapat sambutan orang ramai. Coklat tempatan ada diletakkan di beberapa pasar raya besar seperti di Tesco, Giant dan sebagainya untuk bersaing dengan coklat luar negara namun masyarakat lebih cenderung membeli produk luar negara. Dengan adanya NS Galleria ini, ia seperti memberi nafas baharu serta menjenamakan semula produk coklat tempatan yang tidak kurang beza enaknya seperti coklat jenama antarabangsa," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Bagi, Muhammad Azri Abdul Majid, 33, coklat buatan tangan mempunyai keunikan rasa tersendiri dan menjadi kegemaran peminat coklat berbanding produk coklat yang dihasilkan secara kuantiti tinggi seperti di kilang. Rasa coklat buatan tangan dari ChocsValley amat sedap dan tidak terlalu manis serta coklat gelap yang mempunyai keasliannya tersendiri," katanya. Beliau amat kagum dengan pembuatannya dan kualiti yang dihasilkan sehingga mampu bersaing dengan coklat antarabangsa selain berharap agar NS Galleria dapat dipromosikan secara berterusan dengan kerjasama kerajaan mahupun swasta sekali gus menjadi produk yang boleh menjadi tarikan di Negeri Sembilan. Produk ini perlu diperkenalkan secara meluas kepada pengunjung terutamanya orang Negeri Sembilan yang secara umumnya masih tidak tahu mengenainya," jelasnya. Sementara itu, Pensyarah Pelatih Pastri, Ismawati Ismail, 27 berkata, usaha sama Lembaga Muzium Negeri dan Lembaga Koko Malaysia bagi mengetengahkan coklat usahawan tempatan itu harus dicontohi di negeri lain. NS Galleria ini amat membantu usahawan tempatan dalam memasarkan produk coklat mereka sekali gus membantu menambah pendapatan mereka. Usaha sama ini amat baik dalam membantu menjana ekonomi usahawan tempatan dan muzium negeri lain perlu mencontohi Muzium Negeri," katanya yang setiap minggu berkunjung ke NS Galleria untuk membeli coklat. |
Posted: 16 Jan 2014 10:15 AM PST Oleh AMRAN MULUP Hasan Rahman (dua dari kanan) berbincang dengan wakil pelbagai agensi bagi menangani masalah nelayan di Teluk Gong, Kuala Sungai Baru, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 16 Jan. - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan nelayan di Telok Gong, Kuala Sungai Baru di sini bagi menyambung benteng penahan ombak sedia ada. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, beliau akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi menyambung benteng berkenaan untuk mengelakkan bot nelayan rosak dipukul ombak kuat. Katanya, berdasarkan maklumat hasil pertemuan dengan semua nelayan di Telok Gong, wujud keperluan untuk menyambung benteng berkenaan. "Saya lihat benteng penahan ombak sedia ada tidak cukup panjang menyebabkan jeti nelayan Telok Gong terdedah kepada ombak kuat sewaktu angin bertiup kencang. "Benteng tambahan akan melindungi bot-bot nelayan daripada rosak kerana sebelum ini ada yang pecah sewaktu angin kuat dan ombak besar," katanya selepas melawat jeti nelayan Telok Gong di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali dan wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka. Hasan berkata, berikutan masalah itu, sebahagian besar nelayan terpaksa melabuhkan bot di pangkalan Kuala Sungai Baru. Katanya, keadaan itu menimbulkan masalah kerana berlaku kesesakan di pangkalan berkenaan yang tidak mampu menampung pertambahan bot dari Telok Gong. "Saya akan pastikan masalah nelayan di sini dapat diatasi segera. Saya yakin peruntukan yang dipohon melalui UPEN akan diluluskan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan