Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Sunshine promosi kebaya

Posted: 17 Jan 2014 05:21 AM PST

Sunshine Aileen Devi Eric giat mempromosi kebaya.

BAJU kebaya merupakan antara pakaian tradisi yang selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Realitinya, pakaian yang diiktiraf sebagai antara warisan sejarah, turut diminati oleh kaum lain kerana keunikannya.

Itu yang diakui Sunshine Aileen Devi Eric, 25, juara Ratu Kebaya Malaysia 2014 yang mahu mengangkat dan mempromosikan kebaya peringkat lebih tinggi.

Mahu dipanggil Sunshine, dia berkata, kebaya adalah berkenaan budaya tradisi rakyat negara ini yang telah wujud sejak sekian lama.

"Baju kebaya telah wujud sekian lama dan menjadi sebahagian daripada bahan sejarah di negara ini. Ia dipakai oleh wanita sejak dari zaman P. Ramlee dan Saloma di mana wanita dengan pelbagai saiz badan dan ketinggian memakainya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malangnya kata gadis berambut lepas bahu ini, generasi sekarang sudah mula lupa akan pakaian tradisi tersebut.

"Jadi, sebagai Ratu Kebaya Malaysia, saya boleh mewakili generasi muda khusus wanita untuk memulihara dan mengelakkan budaya kebaya daripada dilupakan.

"Wanita yang memakai kebaya akan kelihatan lebih jelita, seksi dan elegan. Kebaya adalah fesyen yang sangat klasik dan moden," jelas Sunshine.

Berketinggian 172 sentimeter, model dan pelakon komersial ini dinobatkan sebagai juara Ratu Kebaya 2014 setelah berjaya mengetepikan 18 peserta lain.

Dia yang berasal dari Ipoh, Perak, berdarah kacukan India dan Punjabi sebelah bapanya, manakala ibunya berketurunan British dan China-Mongolia.

Pemegang sijil Media Komunikasi dan Perhubungan Awam dari TARC, Wangsa Maju, Sunshine bukan sahaja seorang pelakon yang berbakat tetapi juga seorang penyanyi.

Dalam bidang lakonan dia pernah berlakon dalam beberapa drama dan telemovie antaranya Akademi Polis, Demi Tuhanku Izinkan, Muat Tak Muat, Ukiran Hati, dan Rania Tip Tip.

Dia turut berlakon dalam filem Tamil, The Secret of Thadavapuram arahan Prakash dan Sir Maraz Ravi, serta filem Kaatu Rani arahan Sugumaran.

Menyentuh nama Sunshine pula, Ratu Cantik Kebaya itu berkata: "Wajah ibu saya sering bercahaya dan suka tersenyum ketika mengandungkan saya, maka itu rakan-rakannya memanggil 'Sunshine' dan apabila melahirkan saya dia memberi saya nama itu."

Mengenai penyertaan pada pertandingan Ratu Kebaya Malaysia, dia berkata, ia menjadi platform dan pengalaman untuk gadis-gadis yang ingin membina diri mereka supaya lebih yakin.

Sebagai Ratu Kebaya katanya, dia merancang untuk mempromosi pakaian kebaya sambil membantu industri pelancongan.

Sunshine memberitahu, memandangkan ia berkaitan dengan tradisi dan kebudayaan negara, ia mendapat sokongan daripada Tourisme Malaysia dan pertubuhan Ratu Kebaya dan setakat ini promosi telah dilakukan di Filipina.

"Adalah sesuatu yang baik sekiranya dapat diadakan lebih banyak pertunjukan fesyen dan acara-acara berkaitan pakaian di Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Dengan cara itu kita boleh mendedahkan identiti kita menerusi pemakaian seperti baju kebaya.

"Kita mempunyai banyak pereka fesyen daripada Persatuan Pereka Fesyen Bumiputera. Rekaan mereka adalah hebat dan mampu didedahkan ke peringkat dunia," ujarnya.

"Daripada pertandingan Ratu Kebaya itu juga, dia mempelajari banyak perkara baharu seperti catwalk dan bagaimana memakai kebaya dengan cara betul.

"Kebaya direka sehingga membuat kita berjalan dan bergaya dengan cara yang sopan dan menarik. Bukan senang untuk berjalan dengan berpakaian kebaya. Jadi kena belajar dan saya gembira kerana berpeluang melakukannya.

"Kami juga mempelajari bahasa Inggeris daripada pensyarah dan mereka mengajar kami cara bercakap di hadapan khalayak dan ilmu itu adalah terbaik untuk kami," katanya

Ratu Kebaya Malaysia adalah pertandingan yang diasaskan oleh Jason Hee Jee Pin sejak tahun 2011. Tujuan utama pertandingan itu adalah untuk mengekalkan warisan dan budaya Malaysia dan yang paling penting dari aspek pelancongan di samping menggalakkan perhubungan harmoni dan silaturahim, menyemarakkan rasa kecintaan dan kegembiraan melalui aktiviti mengutip derma di Malaysia.

Peluang francais butik pakaian

Posted: 17 Jan 2014 05:21 AM PST

Oleh Noor Fazrina Kamal

DILLA Karim berkongsi perniagaan butik melalui sistem francais.

SOPAN dalam berfesyen seringkali dilihat sebagai membosankan dan tidak mengikut aliran terkini. Kini, berpakaian sopan tidak lagi hanya kerana landasan agama dan budaya sebaliknya turut menjurus ke arah profesionalisme dan gaya, meskipun melalui fasa perubahan arus moden.

Pada hakikatnya, gaya merupakan sesuatu yang peribadi dan lahir daripada keyakinan setiap individu.

Memenuhi aspirasi itu butik fesyen wanita, Zawara, yang popular dengan barisan busana wanita yang sopan, elegan, feminin dan trendy kini menawarkan program francais kepada usahawan tempatan.

Mirage Resources Sdn. Bhd. , syarikat pemilik butik fesyen wanita tersebut, membuka peluang kepada para usahawan menceburi bidang fesyen dengan menjadi francaisi bagi perniagaan berasaskan busana wanita yang sopan dan trendy.

Ketua Pegawai Operasi Zawara, Dilla Karim menyasarkan konsep perniagaan ini untuk membantu mereka yang berminat dan berkebolehan dalam bidang perniagaan, di samping mahu meramaikan lagi usahawan bumiputera yang berminat menceburi perniagaan francais.

"Kami merupakan butik fesyen Muslimah pertama di Malaysia yang menawarkan program francais. Kami akan terus memberi bantuan dan sokongan kepada francaisi kami bagi memastikan kesempurnaan dalam operasi.

"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyediakan bantuan kewangan sebagai dana permulaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi francaisi kami.

"Tahun ini, kami menyasarkan 15 francaisi akan membuka butik Zawara dengan modal serendah RM250,000," katanya.

Dilla menambah, antara kelebihan yang ditawarkan kepada francaisi ialah yuran francais yang rendah.

Katanya, usahawan juga akan diberikan latihan selain pemantauan rapi dan tiada bayaran royalti bulanan seperti yang selalu dikenakan produk francais lain.

"Uniknya, kami menitikberatkan kesempurnaan dalam setiap rekaan dan pakaian yang dibeli oleh pelanggan.

"Kami menyediakan khidmat tukang jahit di setiap butik bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam kerja-kerja pengubahsuaian dan pengolahan pakaian yang telah dibeli. Ia hanya mengambil masa 30 minit," katanya.

Kesemua rekaan dan pilihan fabrik adalah hasil perkongsian idea oleh pasukan pereka fesyen berbakat yang diterajui sendiri oleh Dilla.

Pakaian yang disediakan diolah mengikut trend semasa dan sentiasa dikomersialkan bagi memenuhi cita rasa penggemar.

Selain itu, pilihan rekaan adalah lebih kepada moden kontemporari bagi memenuhi citarasa pelanggan.

Sehingga hari ini, menurut Dilla, pihaknya telah berjaya membuka lima buah butik di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru, Bangi dan Bandung, Indonesia.

Butik tersebut turut mengeluarkan koleksi pakaian santai, pejabat serta ke majlis rasmi.

Kebanyakan koleksi busana mengunakan kain yang berkualiti tinggi seperti sutera satin, sutera syifon, Hem Korea, kapas serta lycra yang memberikan keselesaan.

Bagi yang berminat menceburi bidang perniagaan francais boleh facebook ZawaraOnline.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved