Ahad, 4 Ogos 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Pemandu, bas akan diperiksa

Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT

KANGAR 3 Ogos - Kerajaan negeri menyifatkan gabungan secara bersepadu dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) sangat penting bagi memastikan setiap bas ekspres yang keluar dari Perlis di sepanjang musim perayaan Aidilfitri selamat sampai ke destinasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan negeri, Sabry Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan dan juga pemandu perlu dilaksanakan dengan teliti kerana bas ekspres didapati turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negara ini.

"Sekalipun sejak dua tahun lepas tiada kemalangan membabitkan bas ekspres di negeri ini tetapi kerjasama dengan semua pihak tetap diteruskan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sebelum itu, Sabry melancarkan Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan bersama MKJR yang melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Puspakom, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Perkeso, Kelab Pengguna Perlis, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Terminal Bas Ekspres Kangar dan Hentian Teksi, Jalan Bukit Lagi, di sini.

Sabry berkata, setiap bas ekspres perlu dipastikan mengikut peraturan ditetapkan kerajaan supaya perjalanan berjalan dengan lancar.

"Antaranya pemeriksaan itu termasuk brek dan tayar berada dalam keadaan baik kerana jika timbul masalah akan menyebabkan perjalanan tergendala," katanya.

Beliau berkata, setiap pemandu juga dipastikan mempunyai lesen memandu serta menjalani ujian saringan air kencing.

"Hasil ujian tersebut ke atas lapan pemandu bas ekspres yang dijalankan hari ini juga mendapati kesemua mereka bebas daripada penggunaan najis dadah," katanya.

Beliau berkata, tahap kesihatan yang sempurna bagi setiap pemandu bas juga penting kerana pemanduan secara berhemah bergantung kepada mereka.

Sabry juga menasihatkan penumpang bas supaya memantau cara pemanduan pemandu bas sama ada melebihi kelajuan ditetapkan atau dengan cara berbahaya.

"Gunakan kemudahan telekomunikasi sekarang yang pantas untuk menghubungi pihak berkuasa supaya tindakan segera boleh dilakukan ke atas pemandu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas teksi dan berasa berpuas hati kerana masing-masing telah mematuhi peraturan ditetapkan.

UPP rampas 20 kotak mercun bernilai RM16,000

Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT

SHAHIDAN Ladin (tiga dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan 20 kotak mengandungi mercun bernilai RM16,000 yang dirampas di kuarters guru Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 3 Ogos - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas 20 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai RM16,000 di kuarters guru Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.

Komander UPP Bukit Kayu Hitam, Shahidan Ladin berkata, pihaknya memperoleh maklumat daripada orang awam, menjalankan intipan di kuarters guru tersebut yang tidak berpenghuni mulai pukul 9 malam.

Katanya, selepas menunggu selama empat jam didapati tiada sesiapa datang untuk mengambil barangan itu dan pihaknya membawa mercun-mercun itu ke pejabat UPP sebelum diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan lanjut.

"Mercun-mercun ini yang semuanya daripada jenis 'sunshine' dilonggokkan di tepi pagar kuarters tersebut.

"Pihak kami percaya mercun tersebut baru sahaja dilonggokkan di situ dan pemiliknya akan membawa keluar mercun tersebut pada waktu pagi.

"Kami juga yakin kegiatan tersebut tidak dilakukan seorang diri dan mereka menyeludup mercun dari negara jiran secara berkumpulan," katanya ketika ditemui di Kompleks UPP Bukit Kayu Hitam semalam.

Menurut Shahidan, pihaknya percaya kesemua mercun itu diseludup menggunakan laluan tikus yang terletak kira-kira dua kilometer dari kuarters guru itu.

"Penyeludup tidak dapat menyeludup mercun menerusi pintu masuk utama selepas kawalan di sempadan diperketatkan jadi mereka cuba menyeludup mercun melalui laluan tikus.

"Pihak UPP akan terus menjalankan pemantauan di lorong-lorong tikus yang dikesan agar kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan dapat dibanteras," ujarnya.

Tambahnya, kes ini dirujuk kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda sebanyak 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Jenayah pecah rumah turun 70%

Posted: 03 Aug 2013 10:22 AM PDT

ABDUL Rahim Hanafi memakaikan topi keledar kepada penunggang motosikal semasa pelancaran Ops Selamat 3/2013 di susur keluar Jambatan Pulau Pinang, semalam.

BUKIT MERTAJAM 3 Ogos - Penubuhan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dilihat memberi kesan kepada penurunan kadar jenayah di negeri ini terutamanya pecah rumah yang mencecah sehingga 70 peratus sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, biar pun indeks jenayah di negeri ini dari Januari hingga Julai lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 6.6 peratus namun kes pecah rumah hanya meningkat 27 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Kewujudan URB di 10 taman perumahan terpilih di negeri ini membawa hasil positif apabila kes pecah rumah di kawasan terbabit menurun sehingga 70 peratus.

"Jadi sempena Op Selamat 3/2013 kali ini, peranan URB akan dipertingkatkan untuk membuat rondaan lebih kerap di kawasan-kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat peringkat negeri di sini malam tadi.

Pada majlis itu, Abdul Rahim turut mengedarkan topi keledar dan cenderahati kepada pengguna jalan raya selain merasmikan pasukan khas yang akan bertugas sepanjang Op Selamat tahun ini.

Selain 100 anggota polis trafik, operasi itu turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Persatuan Bulan Sabit Merah serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam pada itu Abdul Rahim menambah, pihaknya juga bersedia 24 jam memantau enam lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan panas sepanjang Op Selamat.

"Enam lokasi itu adalah Kilometer (Km) 26 Jalan Valdor ke Sungai Bakap, Km 12 hingga 32 Jalan Besar Simpang Ampat dan Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam.

"Selain itu turut diberi perhatian ialah Km 113 hingga 130 Lebuh Raya Utara Selatan di Seberang Perai Utara, Km 131 hingga 150 Lebuh Raya Utara Selatan di Seberang Perai Tengah dan 151 hingga 168.4 Lebuh Raya Utara Selatan di Seberang Perai Selatan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved