Utusan Online - Dalam Negeri |
- DAP harus utamakan pelaksanaan keputusan - ROS
- Mohon RM16 juta bina jambatan baharu di Kuala Krai
- Tiga mayat mangsa bot PATI karam ditemui
DAP harus utamakan pelaksanaan keputusan - ROS Posted: 04 Aug 2013 01:34 AM PDT KUALA LUMPUR 4 Ogos - DAP seharusnya mengutamakan pelaksanaan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kerana itu keputusan terbaik, mencerminkan permintaan akar umbi DAP. Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, langkah itu juga menunjukkan ketulusan kepimpinan DAP berpegang pada janji mereka kepada umum untuk melaksanakan apa juga keputusan yang diumum oleh ROS. Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, Abdul Rahman turut menjelaskan semua perkara berhubung pertubuhan diurus berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 dan ROS membuat keputusan berpandukan penjelasan yang diberi oleh pihak terlibat. "Dalam hal ini ROS telah menyatakan pendiriannya yang tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Pemimpin DAP sebenarnya sendiri tahu mereka tidak memberi penjelasan yang memuaskan dan risiko yang mereka ambil," katanya. Menurut Abdul Rahman, Akta Pertubuhan 1966 juga tidak memperuntukkan keperluan ROS menjelaskan mengapa mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberi. "Perkara utama yang perlu difahami ialah tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ROS bertepatan dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 bukan desakan atau dendam. "Bahkan ROS telah mengambil sikap yang terlalu 'humanistic' menguruskan pemimpin DAP walaupun beberapa kali difitnah khususnya sepanjang Pilihan Raya Umum yang lalu atas dasar politik," katanya. Kenyataan Abdul Rahman itu menyusul respons Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempersoal peruntukan undang-undang yang diguna ROS dalam memutuskan DAP perlu membuat pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC). Guan Eng juga dilapor berkata, DAP tidak akan mematuhi arahan ROS itu selagi tuntutannya mengenai perkara berkenaan tidak dijelaskan sepenuhnya. Pada 30 Julai lepas, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC dan memaklumkan ia tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh parti itu berhubung isu penyelewengan undi pada pemilihan CEC dan isu manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan. Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, dakwaan pempimpin DAP bahawa mereka telah memberi kerjasama penuh kepada ROS adalah tidak tepat kerana sepanjang siasatan mereka sering meminta penundaan tarikh atau memendekkan masa proses siasatan atas alasan sibuk dengan hal politik kepartian mereka. "Mereka juga sering kali menangguhkan penghantaran maklumat yang diperlukan ataupun tidak menyediakannya walaupun perkara itu telah dinyatakan kepada mereka lebih awal," katanya yang menyifatkan keengganan DAP mematuhi keputusan ROS sebagai sangat mendukacitakan. - BERNAMA |
Mohon RM16 juta bina jambatan baharu di Kuala Krai Posted: 04 Aug 2013 01:10 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KOTA BHARU 4 Ogos - Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPnK) akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM16 juta untuk membina jambatan baharu dan menaikkan aras jalan utama di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai. Pelaksanaan projek tersebut bagi mengatasi masalah jalan berkenaan yang merupakan laluan utama antara Kota Bharu-Kuala Lumpur, kerap dinaiki air sehingga terputus hubungan akibat terlalu rendah. Pengerusi MTPnK, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penduduk di kawasan tersebut dan penguna kerap terputus hubungan setiap kali hujan lebat kerana air akan memenuhi jalan berkenaan. Katanya, masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama sehingga menyukarkan pengguna terutamanya mereka yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan sebaliknya. "Oleh kerana ini laluan utama, masalah banjir ini perlu kita atasi, melalui perbincangan yang dilakukan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak RM16 juta diperlukan untuk bina satu jambatan baharu, meninggikan aras jalan dan kerja-kerja naik taraf. "Pembinaan jambatan itu akan mampu mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan ini. Kita akan memohon kepada Kerajaan Pusat supaya memberi keutamaan kepada projek ini. Permohonan akan dikemukakan selepas hari raya nanti," katanya. Beliau berkata demikian pada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTPnK di Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
Tiga mayat mangsa bot PATI karam ditemui Posted: 04 Aug 2013 12:58 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN JOHOR BAHRU 4 Ogos - Tiga mayat yang dipercayai mangsa kejadian bot karam di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, tiga hari lalu ditemui oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan nelayan tempatan yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat di perairan Pulau Tinggi dan Pulau Besar, Mersing pagi ini. Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Amran Daud berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memaklumkan dua mayat ditemui PPM pada pukul 11 pagi, sementara seorang lagi ditemui oleh nelayan tempatan pada pukul 10.15 pagi. "Dipercayai tiga-tiga mayat ini yang terdiri daripada dua wanita dan satu lelaki dewasa adalah mangsa bot pancung yang karam dipukul ombak dan menjadikan jumlah ditemui kepada tujuh orang sementara 37 masih hilang," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. Dalam kejadian 10 malam itu, sebuah bot pancung yang dipercayai membawa 44 pendatang tanpa izin warga Indonesia pulang untuk menyambut Aidilfitri di Batam, karam di antara perairan Sedili dan Penawar setelah dipukul ombak besar. Bagaimanapun empat daripada mereka berjaya diselamatkan pada Jumaat oleh sekumpulan nelayan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Menurut Amran lagi, ketiga-tiga mayat tersebut dibawa ke jeti Mersing sebelum dihantar ke Hospital Daerah Mersing untuk bedah siasat. Beliau berkata, operasi carilamat yang memasuki hari ketiga hari ini diperluas sehingga 15 batu nautika utara termasuk pulau-pulau peranginan di Mersing dengan melibatkan aset laut dan udara Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia. "Faktor keadaan laut dan cuaca yang baik pada hari ini banyak membantu kita sehingga menemui tiga mayat mangsa bot karam dan sehingga pukul 2 petang ini tiada penemuan terbaru oleh pasukan carilamat," katanya lagi. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan