Utusan Online - Rencana |
Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT Oleh Khairuddin Mohd. Zain PENULIS harus mengakui bahawa ada ciri baik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang wajar dikagumi. Antaranya adalah kesediaan ibu bapa, masyarakat dan pemain ekonomi masyarakat mereka yang sanggup menyumbang wang dan tenaga, dalam jumlah yang besar, demi untuk memastikan tahap pendidikan generasi mereka berada di tahap yang terbaik. Sewaktu penulis menetap di Wangsa Maju, adalah menjadi pemandangan biasa untuk melihat rakan-rakan berbangsa Cina bangun jauh lebih awal daripada kanak-kanak berbangsa Melayu. Mereka sanggup menghantar anak ke sekolah paling jauh, asalkan ia menjanjikan kualiti pendidikan yang baik. Sekolah kebangsaan di hadapan rumah pangsa bukan pilihan utama mereka. Acara-acara untuk mengumpul dana di sekolah Cina jarang sekali gagal. Malahan, adalah menjadi kebiasaan, ratusan ribu mampu dijana oleh pihak pentadbiran sekolah apabila melaksanakan aktiviti menambah tabungan. Itu belum lagi ambil kira jumlah yuran tinggi yang ditanggung oleh ibu bapa. Mungkin semua ini berlaku kerana deria survival mereka berada di tahap yang tinggi. Apa sahaja yang mungkin menyentuh kepentingan survival mereka akan disuarakan secara cukup lantang. Namun, dalam pada NGO berteraskan pendidikan bersuara lantang, adakalanya mereka gagal melihat sesuatu melalui perspektif yang lebih besar. Tindakan pertubuhan seperti Dong Zong mengepalai rali menentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh disifatkan sebagai contoh di mana mimpi songsang pertubuhan tersebut membuat kita mempersoalkan sama ada inikah satu-satunya jalan hadapan kepada sistem pendidikan di Malaysia? Perlukah kita sentiasa berkonfrontasi? Perlukah ada penentangan terhadap semua perkara - walaupun niatnya baik dan untuk kebaikan semua? Sampai bila kita nak bermain dengan kad perkauman, sedang realiti dan keadaan menuntut kita membawa fikrah kebangsaan? Mimpi songsang Dong Zong sangat mengakar bilamana PPPM disifatkan sebagai agenda kerajaan untuk menutup sekolah jenis kebangsaan? Mimpi dan inspirasi Dong Zong ini terlalu jauh tersasar. Hakikatnya, tidak terdapat dalam satu baris ayat PPPM pun yang membawa niat itu. Tak ada! Sejumlah 248 mukasurat (versi digital) perincian PPPM membicarakan isu pendidikan dalam adunan yang cukup murni dan berpandangan jauh. Ia tidak sempurna, namun sebagai asas masa hadapan, ia bukanlah sesuatu yang layak ditolak secara membuta tuli. Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persekutuan Persatuan-persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan mana-mana pertubuhan lain perlu menilai PPPM secara adil. Tidak perlu membawa mimpi songsang dan teori konspirasi jenis apa sekalipun. Cukup sayang, sekiranya PPPM masih lagi mahu dinilai melalui tingkap pandangan yang berbentuk perkauman. Apakah dengan niat memperkasa sekolah kebangsaan, maka dengan sendirinya SJKC dan SJKT akan terkubur? Apakah dengan penambahan minit untuk belajar Bahasa Melayu akan mematikan Bahasa Mandarin dan Tamil? Niat sistem pendidikan sudah tentulah perlu disesuaikan dengan keperluan masa dan keadaan. Sistem nilaian kita mengenai sistem pendidikan juga perlu ditanda araskan dengan negara lain yang lebih hebat. Dong Zong perlu sedar, pendekatan kalah-kalah seperti ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Menganjurkan rali, hanya di atas landasan mimpi songsang seperti yang dinyatakan adalah suatu perkara yang tidak bertanggungjawab. Penulis sebenarnya mengimpikan, suasana di mana guru-guru SJKC, yang mempunyai kemahiran hebat dalam matematik, dapat duduk berkongsi metod dan kaedah pendidikan terbaik mereka dengan pendidik di sekolah kebangsaan. Perlu ada interaksi yang lebih positif antara kita. Malangnya, suasana itu cukup kurang berlaku. Sehinggakan, apa yang dikatakan oleh Dong Zong, pelaksanaan program kebudayaan yang bersifat nasional juga adalah suatu usaha menidakkan kepentingan bahasa dan budaya bangsa Cina. Apakah pembinaan identiti nasional juga satu ancaman kepada Dong Zong? Dalam isu bahasa, PPPM membawa niat seperti berikut (mukasurat 38) - '...Oleh itu, dalam jangka masa tertentu, semua murid dari semua kumpulan etnik dan komuniti digalakkan untuk belajar sekurang-kurangnya tiga bahasa (bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa lain seperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, dan bahasa Arab, serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun)'. Di mana komitmen PPPM untuk mematikan bahasa Mandarin? Malah, jika PPPM dilaksanakan secara bersungguh, ada sekolah di Taman Melawati (Selangor), Gua Musang (Kelantan), Jorak (Johor) dan Bukit Ibam (Pahang) yang menawarkan bahasa Mandarin, bahasa Iban dan bahasa Kadazan Dusun sebagai subjek elektif. Niat yang sedemikian murni, tidak wajar ditentang dengan rali berasaskan teori konspirasi dan mimpi songsang. Pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong, sudah perlu bersedia berfikir dan bertindak dalam jajaran politik baru. Kecualilah, mereka mahu terus-terusan didodoi dengan lagu bangkang dan tentang yang digurindam oleh pihak berkepentingan lain. Menyusur niat melaksanakan rali menentang PPPM ini, membuatkan penulis terimbau dengan kenangan Tuntutan Suqiu pada tahun 1999. Daripada tuntutan 83 perkara, 14 berkaitan pendidikan. Dong Zong juga adalah pemain utama kepada tuntutan tersebut. Selepas hampir 13 tahun, kita masih lagi bermain dengan permainan sama. Penulis mengharapkan pimpinan pertubuhan seperti Dong Zong mempunyai sedikit niat dan identiti nasional di dalam gerakan mereka. Jangan bersikap haloba dengan tuntutan dan kehendak. Kerana suka tak suka, setiap kita perlu bertolak ansur. Seorang rakan penulis pernah menggunakan pepatah Cina berbunyi De Cun Jin Che (dapat seinci, tetapi mahukan sekaki), mengingatkan kita agar tidak berlebihan dalam meminta sesuatu. Satu lagi pepatah Cina yang penulis dapat ingat - lebih kurang berbunyi menyimpang seinci, rugi seribu batu. PPPM bukan dirangka untuk generasi pemimpin yang ada di dalam Dong Zong, Jiao Zong dan mana-mana NGO sekalipun. PPPM untuk generasi selepas daripada kita. Generasi anak dan cucu kita. Mereka tidak seharusnya membawa beban mimpi songsang yang negatif seperti ini. Mungkin tiba masanya pertubuhan pendidikan Cina mempunyai sikap yang lebih akomodatif kepada cita perubahan dan transformasi. Pilihan raya sudahpun berlalu. Ini tempoh dan ketika bertenang. Jiwa konfrontasi dan niat menentang sedap dikipas oleh mereka yang punya niat politik. Masyarakat menantikan Dong Zong yang mampu bermimpi sesuatu yang lebih positif dan bersangka baik. Bayangkan jika kekuatan Dong Zong dan sekutunya sebanyak 1'100 NGO pendidikan Cina mampu melihat PPPM melalui kerangka minda yang betul - Malaysia pastinya mempunyai suasana pendidikan yang lebih padu. PENULIS ialah penganalisis politik dan sosial. |
Hari-hari terakhir Ramadan menjelang 1 Syawal Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT Oleh Hassan Mohd. Noor RAMADAN semakin hampir meninggalkan kita. Sepuluh malam terakhir dan malam- malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 yang dikatakan akan muncul Lailatulqadar sudah berlalu. Hanya tinggal satu malam sahaja, 29. Selepas itu, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam tempoh hari-hari terakhir ini, adakah kita terus berusaha untuk menambah ibadah pada bulan yang penuh keberkatan ini? Mungkinkah ada dalam kalangan kita semakin lemah untuk melangkah ke masjid atau surau? Ketika ini, di dua tanah suci, Mekah dan Madinah, berjuta umat Islam terus melakukan ibadah umrah serta ibadah-ibadah lain sehingga menjelang hari raya. Jumaat lalu, kota Mekah yang sebelum ini panas terik dilanda hujan lebat sesudah solat Jumaat dan berhenti seketika kira-kira pukul 2.30 petang. Setengah jam kemudian, hujan kembali lebat dan berhenti sebelum azan asar sekitar pukul 3.45 petang. Pastinya di kota Mekah, kemeriahannya amat terasa. Meriah dengan ibadah sepanjang masa, bermula waktu iftar (berbuka) sehinggalah ke subuh, bukannya meriah dengan sibuk membeli-belah untuk menyambut hari raya atau meriah dengan lagu-lagu hari raya. Beberapa hari lalu, mesej FB Salam Juwie dari tanah suci menunjukkan umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah dengan memenuhi setiap ruang masjid. Bagi yang gagal memasuki ruang dalam masjid atau dataran Masjidilharam, mereka solat di atas jalan raya atau di kaki lima bangunan pusat membeli-belah yang berhampiran. Suasana ini mengingatkan saya ketika berada di sana pada sepuluh malam terakhir tahun lalu sehinggalah pada hari raya pertama. Memang ketika di sana, tidak terasa suasana hari raya melainkan ibadah semata-mata. Lebih terasa pada malam terakhir sebelum meninggalkan Ramadan. Mungkin perasaan seumpama itu hanya datang ketika berada di sana sahaja. Seperti diselak minggu lalu, memang terasa perbezaan Ramadan di Mekah berbanding di dalam negara Ketika ini di ibu negara, semakin ramai yang beransur-ansur meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Sejak Jumaat lalu juga, pusat bandar raya sesak. Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) menjadi lokasi tumpuan ramai untuk membeli-belah. Suasana pada pukul 3 pagi di Jalan Tuanku Abdul Rahman seperti keadaan pada pukul 8 malam. Begitulah ghairahnya orang kita membeli-belah ketika masih ramai yang mencari keberkatan Ramadan khususnya melakukan solat sunat tarawih, witir, serta menyertai majlis qiamullail. Melihat suasana rakyat Malaysia melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, jelaslah kepada kita betapa bertuahnya hidup di bumi bernama Malaysia. Cuba renungi sejenak bagaimana rakan-rakan seagama kita menjalani ibadah puasa Ramadan di negara-negara lain yang sedang bergolak khususnya di Palestin, Mesir dan Syria. Begitu juga dengan selatan Thailand. Adakah mereka berpeluang melakukan solat tarawih dalam suasana tenang tanpa gangguan peluru yang mungkin meragut nyawa? Di negara kita, gangguan ketika solat tarawih terutama pada malam-malam terakhir ini mungkin disebabkan dentuman mercun dan bunga api. Pada masa yang sama, ada dalam kalangan remaja kita yang cedera teruk termasuk kehilangan jari akibat kreativiti mereka mahu mencipta mercun buatan sendiri. Ramadan di negara kita juga membawa rezeki yang melimpah-ruah. Peluang perniagaan terbuka luas pada bulan ini. Lihat sahaja bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Setiap bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman menjadi tumpuan ramai. Begitu juga dengan mereka yang menjual pakaian dan kuih muih menjelang hari raya. Orang yang membeli juga ramai. Khabarnya tahun ini, sambutan yang diterima oleh para peniaga amat luar biasa. Contohnya dapat dilihat di Jalan TAR yang penuh sesak setiap cuti hujung minggu. Itulah rezeki yang dinikmati peniaga-peniaga pada bulan Ramadan kali ini. Ini juga petanda bagaimana keupayaan membeli dalam kalangan rakyat negara ini. Tidak cukup di bazar Ramadan, ramai juga yang mampu berbuka puasa bersama keluarga di hotel-hotel yang menawarkan bufet sekurang-kurangnya pada harga RM80 bagi seorang dewasa. Begitulah murahnya rezeki di negara kita. Bagi anak-anak yatim, orang miskin serta mereka yang kurang berkemampuan, golongan ini juga tidak terkecuali menikmati rezeki yang jauh lebih baik berbanding pada bulan-bulan biasa. Mereka bukan sahaja diundang untuk berbuka puasa bersama di tempat-tempat eksklusif tetapi juga menerima pelbagai bantuan sama ada kewangan atau pakaian untuk berhari raya. Syarikat korporat, orang perseorangan dan pelbagai pertubuhan tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan golongan ini sambil mengambil keberkatan Ramadan ini. Diharapkan, perhatian berat yang diberi kepada golongan ini tidak terbatas pada bulan Ramadan sahaja. Janganlah apabila berakhir sahaja Ramadan, sikap keprihatinan dan dermawan turut terhenti. Jenguklah mereka pada bulan-bulan seterusnya supaya nasib mereka terus terbela. Tidak wajar menunggu Ramadan akan datang untuk menjenguk semula kerana masih belum pasti sama ada kita mampu hadir semula pada Ramadan akan datang. Kepada yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Memandulah secara berhemah. Seperti mesej Perdana Menteri, Najib Tun Razak, jangan jadikan jalan raya sebagai pusara tidak bernama. Sejak kebelakangan ini, banyak kes kemalangan maut yang melibatkan jumlah korban yang ramai. Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kadar kemalangan, tetapi jumlah nahas terus meningkat. Hampir setiap hari ada yang maut di jalan raya. Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi kita diseru untuk berikhtiar bagi mengelak tragedi. Kepada mereka yang tidak pulang berhari raya, jenguklah kawasan sekeliling terutama jiran-jiran yang pulang berhari raya di kampung. Dalam tempoh inilah, banyak penyangak mengambil kesempatan. Jangan biarkan penyangak-penyangak mengambil kesempatan berhari raya di rumah jiran yang pulang beraya. Hidupkan semangat kejiranan. Ambil tahu apa yang berlaku di- rumah jiran yang ditinggalkan. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI Semoga Ramadan yang dilalui sekarang dan akan berakhir sehari dua lagi akan lebih baik daripada Ramadan tahun lalu. Sama-samalah kita memohon amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan ini diterima serta mendapat ganjaran pahala. Semoga kita diberi peluang untuk menemui semula Ramadan pada tahun hadapan supaya dapat memperbaiki atau meningkatkan lagi kualiti pengisiannya agar menjadi yang lebih baik. Mungkin banyak kekurangan yang berlaku pada tahun ini. Pada kesempatan ini juga, Selak menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya selama ini terdapat kata-kata dalam ruangan ini yang boleh menyinggung perasaan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih kepada anda yang mengirimkan kad ucapan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang hari raya ini. Selamat jalan Ramadan, selamat datang Syawal. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan