Ahad, 4 Ogos 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Ibu tiri buli ayah

Posted: 04 Aug 2013 05:32 AM PDT

A YAH saya bapa tunggal, tetapi dia lebih pentingkan kerjayanya daripada kebajikan anak-anaknya.'' Itu cerita Norizzaty dalam e-melnya.

''Namun saya tidak marahkan ayah kerana pentingkan tugasnya, maklumlah orang berpangkat, mesti kerja keras sesuai dengan beban yang dipikul dan pendapatan yang diterima.

''Oleh kerana kesibukannya yang selalu bermesyuarat dan balik lewat, saya diserahkan di bawah jagaan nenek iaitu ibunya di kampung bersama adik yang masih kecil ketika kematian ibu. Jarak usia kami memang jauh, saya sudah tahun enam, adik belum pun setahun.

''Setelah naik tingkatan satu, ayah bawa saya tinggal di bandar. Kata ayah ketika itu saya sudah boleh berdikari dan ayah beli rumah dekat dengan sekolah untuk memudahkan saya berjalan kaki ke sekolah. Tinggallah saya dengan ayah tetapi saya menjalani hidup sendirian di rumah. Makan tengah hari di sekolah, makan malam ikut senang ayah, adakala nasi bungkus, mi ataupun nasi goreng. Tapi saya tak kisah.

''Masuk tingkatan empat, saya dihantar ke sekolah berasrama. Kata ayah senang untuk saya belajar dan makan minum terjaga, saya ikut saja. Nasihat nenek jangan melawan cakap ayah, dia bekerja keras untuk membesarkan kami dua beradik.

''Ketika dalam tingkatan lima, ayah beritahu dia hendak kahwin. Nenek pun nasihatkan ayah kahwin supaya hidup ayah lebih terjamin. Ayah memang baik dan sayangkan keluarga terutama kami dan nenek di kampung. Kata nenek bila dah kahwin bolehlah ambil adik kerana nenek dah tua. Kami memang sayangkan ayah sebab ayah masih bertanggungjawab kepada keluarga walaupun sering sibuk.

''Ayah kahwin dengan Cik Ton ibu tunggal anak dua, 15 tahun muda daripada. Cik Ton bukan pilihan nenek kerana ayah mahukan isteri yang memahami tugasnya, bertanggungjawab kepada anak-anak dan sayang nenek, malangnya hajat ayah tak kesampaian.

''Ketika mula dikenalkan dengan Cik Ton, hati saya mula rasa ada yang tak kena. Saya beritahu nenek tapi nenek nasihatkan itu pilihan ayah, jangan melawan jadilah anak yang baik. Saya tidak membantah atau tunjuk muka masam, apa lagi melawan ibu tiri .

''Namun saya tak berkenan dengan perangai dia dan anak-anaknya. Masa nak kahwin dulu kata ayah, Cik Ton hidup susah selepas bercerai dengan suaminya, dia bukan sahaja tak dapat nafkah, malah hidupnya terumbang-ambing, sering berpindah rumah kerana tak mampu bayar sewa rumah. Jadi saya pun simpatilah ketika itu.

''Tetapi setelah serumah, saya melihat perangai Cik Ton anak-beranak langsung tak menggambarkan hidup orang susah. Mereka berlagak macam orang banyak duit. Perabot rumah mesti serba baru, pakaian mesti up to date. Baju kurung bukan pilihan mereka kecuali ke majis rasmi atau kenduri kahwin, begitu juga penampilan anak-anaknya tidak langsung menampakkan pakaian orang Islam. Di rumah pakai seluar pendek. Berbeza dengan saya berbaju kurung atau berseluar panjang.

''Bila cuti sekolah, saya lihat pakaian dan penampilan ayah juga sudah berbeza. Saya tak nampak ayah berkain pelikat lagi, tetapi mesti formal berseluar panjang. Bila tidur mesti ada baju tidur lengkap dengan house coat. Memang nampak asing.

'' Lebih pelik ayah banyak habiskan masa dengan isteri dan anak-anak tirinya. Ayah tak berbual dengan saya seperti dulu. Lebih menyakitkan hati, susun atur bilik saya juga sudah berubah.

''Oleh kerana sakit hati saya ubah kembali susun atur bilik mengikut selera saya. Cik Ton tak suka, katanya penat dia buat perubahan. Cik Ton merajuk terus mengadu pada ayah. Malam itu panjang nasihat ayah pada saya. Saya tak jawab tapi berfikir apa sudah jadi dengan ayah saya ni?

''Saya juga melihat segala urusan dalam rumah kami termasuk peribadi ayah juga dikawal oleh Cik Ton. Hasil siasatan dengan kawan yang kenal Cik Ton, saya dapat tahu Cik Ton diceraikan kerana perangainya yang bebas dan suka berbomoh. Bekas suaminya tak beri nafkah kerana keburukan perangainya. Bekas suaminya dapat hak penjagaan anak, tapi Cik Ton tak mahu bagi kerana itulah sumber dia menagih simpati orang.

''Cik Ton memang kasar bila bercakap, nada suaranya memang tinggi dan suka menengking terutama bila menegur anaknya kerana menyindir saya. Dia tak hormat ayah sebagai suami.

''Saya bersyukur tidak tinggal di rumah itu lagi kerana menyambung pelajaran di politeknik. Jadi mudahlah Cik Ton buat apa juga yang dia suka di rumah kami termasuk mengawal kehidupan dan pergerakan ayah.

''Satu lagi yang saya hairan, rumah kami sentiasa didatangi oleh adik-beradik Cik Ton untuk menumpang tidur. Tak kurang juga datang minta bantuan duit daripada Cik Ton. Sebab saya pernah dengar Cik Ton marahkan adiknya selalu minta duit. Lebih teruk abang Cik Ton suruh ayah jadi penjamin nak buat bisnes. Terkejut saya. Tapi ayah mengikut saja.

''Kalau boleh saya tak mahu lagi duduk di rumah ayah, sebab saya kasihan tengok ayah yang bukan ayah yang saya kenal dulu. Ayah banyak berubah, dia jadi pak turut dan takut pada Cik Ton. Hinggakan ayah sanggup marah saya jika 'berlaga angin' dengan Cik Ton.

''Saya bernasib baik habis belajar terus dapat kerja. Biarlah gaji kecil asalkan tak duduk rumah ayah. Sebab mata saya sakit melihat kerenah Cik Ton dan anak-anaknya. Saya juga nasihatkan adik rajin belajar dan masuk asrama, tak payah duduk rumah ayah. Saya tak mahu dia kecewa melihat perangai Cik Ton, sebab adik budak baik.

''Saya sambung belajar sambil bekerja dan di situlah saya berkenalan dengan Ehsan kerana sama-sama belajar. Kerana ada jodoh kami merancang hendak kahwin. Cik Ton orang yang paling gembira. Dia suruh ayah buah kenduri di hotel besar. Saya tahu hajatnya kerana dia nak kutip duit dan hadiah daripada tetamu yang datang. Tetapi saya bantah. Saya mahu ayah buat kenduri di rumah. Itu pun kutipan duit masuk poket Cik Ton.

''Saya sedih niat ayah kahwin dulu nak tolong Cik Ton, tapi sekarang ayah pulak kena buli dan wang ayah habis dikikis oleh Cik Ton dan adik-beradiknya. Bila ayah bersara, dia buat bisnes tapi penuh dengan saudara-mara Cik Ton. Akibatnya, bisnes tak jalan dan duit ayah habis termasuk simpanannya. Semuanya kerana ayah terlalu ikut cakap Cik Ton.

"Saya berdoa agar ayah boleh pulihkan bisnesnya atau jual sahaja bisnesnya sebelum jatuh lebih teruk.'' Itu cerita Norizzaty tentang nasibnya beribu tiri.

Berbuka ala kampung di Cerana

Posted: 04 Aug 2013 05:32 AM PDT

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Foto SHIDDIEQIIN ZON

Chef Rohamiza Harun menunjukkan hidangan yang terdapat di Restoran Cerana.

SUDAH jemu menjamu selera berbuka puasa di hotel, apa kata ke Restoran Cerana di Batu 7, Lebuhraya Cheras Kajang dengan pemandangan tasik serta air terjun buatan. Pengunjung juga boleh merasai juadah masakan kampung khas dihidangkan sempena bulan Ramadan.

Pemandangan tenang ditambah dengan aroma ayam goreng berempah yang sedang digoreng segar memang membuka selera semasa berbuka puasa.

Pengurusnya Mohd Khairul Azwal Hasan berkata, pihaknya juga menyediakan beberapa gerai bagi pelanggan menikmati jemput-jemput udang, ikan bilis dan pisang yang segar dari kuali.

"Kami juga menyediakan gerai bagi ikan, sotong, ayam dan daging bakar selain gerai roti john, soto malindo, air batu campur, nasi beriani dan nasi dagang," katanya.

Dengan tema 'Ala Kampung Melayu', pengunjung juga memilih kerabu mangga, pecal, tempoyak, sambal belacan dan pelbagai ulaman seperti jering, petai, bendi, ulam raja dan timun.

Bagi bufet Ramadan, Restoran Cerana menawarkan harga RM53.90 bagi dewasa dan RM31.90 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Untuk tempahan, hubungi 03-90803715 atau Mohd Khairul Azwal 019-6171840.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved