Utusan Online - Utara |
- Projek RM7.73b di Pulau Pinang
- Tiga projek mega di USM
- Raja Dr. Nazrin Shah rasmi Pusat Kesihatan Komuniti UKM
Projek RM7.73b di Pulau Pinang Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh AZHARI ZAINOODDIN PULAU PINANG 27 Ogos - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM7.73 bilion bagi membiayai 315 projek dan program pembangunan di negeri ini sepanjang tempoh 2011 hingga 2013. Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, sebanyak RM980 juta daripadanya adalah peruntukan yang disalurkan untuk membiayai 158 projek bagi tahun ini. Katanya, peruntukan berkenaan adalah jauh lebih besar daripada apa yang dibelanjakan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam projek pembangunan. "Jumlah ini hampir tiga kali ganda lebih daripada peruntukan kerajaan negeri yang hanya RM363 juta dan antara projek yang termasuk dalam peruntukan ini adalah pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pembesaran Empangan Mengkuang dan projek landasan keretapi berkembar. "Selain itu sebanyak RM4.5 juta disalurkan kepada Tabung Penyelengaraan 1Malaysia untuk menyelenggara pangsapuri-pangsapuri kos rendah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tindakan berkenaan di sini semalam. Zainal Abidin mengambil alih jawatan pengerusi majlis tindakan tersebut bermula 31 Julai lalu daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohammed Yakcop yang menjawat jawatan itu selama lima tahun sebelum ini. Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan tegas beliau, mesyuarat tersebut membincangkan mengenai perjalanan projek-projek yang telah dirancang oleh kerajaan Pusat di negeri ini terutama projek luar bandar bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini. Menurutnya, antara projek yang akan dijalankan tahun ini adalah menaik taraf Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya selain pembangunan projek punca air bagi pertanian. Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, pihaknya menjangkakan projek Jabatan Kedua Pulau Pinang akan dibuka kepada orang ramai selewat-lewatnya Januari depan. "Kita jangka projek ini disiapkan pada November nanti dan selepas itu mungkin percubaan projek akan dijalankan terlebih dahulu bagi memastikan aspek keselamatan jambatan berkenaan sebelum ia dibuka untuk kegunaan orang ramai," ujarnya. Selepas mesyuarat berkenaan, Zainal Abidin melancarkan majlis penyerahan Jalur Gemilang sempena sambutan kemerdekaan negara yang bakal tidak lama lagi. |
Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh AZHARI ZAINOODDIN PULAU PINANG 27 Ogos - Sebanyak tiga projek mega bakal dilaksanakan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha menambah kelengkapan universiti itu untuk kemudahan warganya. Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Omar Osman (gambar) berkata, tiga projek berkenaan adalah pembinaan Pusat Pemindahan Ilmu Toray, Kompleks Sukan Tan Sri Azman Hashim dan sebuah pusat inkubator. Katanya, projek pusat pemindahan ilmu dan kompleks sukan itu akan dibangunkan di kampus induk universiti di Minden manakala pusat inkubator pula di Sains@USM, Bukit Jambul. "Kesemua projek menelan belanja sebanyak RM44 juta dan kita jangka pembinaannya dapat dimulakan menjelang hujung tahun ini. "Projek pusat pemindahan ilmu akan dibangunkan dengan kerjasama Toray Industries Sdn. Bhd. (Toray), dengan belanja sebanyak RM4 juta manakala projek kompleks sukan dibiaya oleh Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim dengan kos RM10 juta," katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Naib Canselor USM di sini semalam. Omar dalam pada itu menambah, projek pusat inkubator akan dibangunkan dengan peruntukan RM30 juta. "Semua projek ini dibina demi kemudahan dan keperluan warga USM terutama pelajar dan penyelidik untuk menjalankan rutin mereka," jelasnya. Menyentuh mengenai rumah terbuka yang diadakan, jelas beliau, majlis itu merupakan program tahunan di ketiga-tiga kampus USM. "Melalui majlis sebegini akan merapatkan lagi hubungan antara semua warga kampus selain meraikan Syawal secara bersama terutama pelajar yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman. "Dengan majlis ini juga kita dapat mengetengahkan adat dan budaya kita kepada pelajar asing yang belajar di USM," ujarnya. |
Raja Dr. Nazrin Shah rasmi Pusat Kesihatan Komuniti UKM Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Raja Dr. Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim (tiga dari kanan) melihat demonstrasi kecergasan semasa melawat pameran klinik di Kampus Pusat Kesihatan Komuniti UKM, di Teluk Intan, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/Ain Safree TELUK INTAN 27 Ogos - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan pembukaan Pusat Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Teluk Intan bernilai RM2.6 juta dekat sini. Kampus seluas 5.55 hektar itu merangkumi ada sebuah bangunan yang mengandungi pejabat pentadbiran, bilik pensyarah, bilik mesyuarat, dewan makan, surau dan bilik-bilik perbincangan. Bangunan berkenaan dibina pada awal 2009 dan siap sepenuhnya pada Oktober tahun lalu, turut mempunyai beberapa blok asrama yang mampu menempatkan sehingga 160 orang mahasiswa pada satu-satu masa. Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin. Sharifah Hapsah dalam ucapannya berkata, kampus berkenaan pada asalnya menyediakan kemudahan penginapan kepada pelajar perubatan UKM yang melakukan pengajian klinikal dalam bidang pediatrik, pembedahan perubatan serta obstetrik dan ginekologi di Hospital Teluk Intan sebelum diserahkan sepenuhnya kepada Fakulti Perubatan universiti itu pada 30 Mac tahun ini. Menurut beliau, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam telah memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menjadikan Hospital Teluk Intan dan Hospital Slim River sebagai hospital satelit bagi Fakulti Perubatan UKM sejak 2004. "Oleh kerana Pusat Perubatan UKM (PPUKM) adalah hospital rujukan tertiari dan spektrum penyakit tertumpu pada sub-bidang, maka pengunaan Hospital Teluk Intan dan Slim River pula lebih memberi pendedahan kepada pelajar perubatan tentang pelbagai kes penyakit yang lazimnya berlaku. "Pengunaan dua hospital ini telah mengurangkan nisbah pelajar kepada pesakit dan ini memberikan lebih keselesaan, namun lebih penting, UKM boleh menumpukan perhatian kepada latihan doktor pakar yang sangat diperlukan oleh negara," katanya. Dalam perkembangan sama, Sharifah Hapsah berkata, UKM telah berjaya menghasilkan sebanyak 5,144 doktor perubatan, 2,814 doktor pakar dalam pelbagai bidang serta 94 lagi dalam pengajian doktor falsafah (PhD) yang kini bertugas di seluruh negara sejak Fakulti Perubatannya ditubuhkan pada Mei 1972. Sehubungan itu katanya, adalah menjadi harapan beliau agar masyarakat di sekitar Teluk Intan dan daerah Hilir Perak dapat memanfaatkan kemudahan kampus berkenaan dalam mendapatkan maklumat serta rawatan awal bagi membendung sebarang bentuk penyakit. "Pihak UKM berbangga dengan pencapaian ini kerana pergilah ke mana-mana hospital, pusat kesihatan mahu pun klinik awam dan swasta termasuk perkhidmatan angkatan tentera, anda akan bertemu dengan lulusan UKM," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan