Utusan Online - Selatan |
- Sasar lulus 100% peperiksaan UPSR
- MPHTJ sasar kutipan cukai capai 90 peratus
- Warga tentera diseru eratkan hubungan dengan masyarakat
Sasar lulus 100% peperiksaan UPSR Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON calon UPSR bersama Hassan Malek (barisan kedua, lima dari kanan) dan di sebelah kanannya, Kalsom Khalid menunjukkan lima jari sebagai simbolik sasaran mencapai keputusan 5A dalam UPSR di Kuala Pilah, Negeri sembilan, semalam. KUALA PILAH 27 Ogos - Semua sekolah di negeri ini hendaklah meletakkan sasaran lulus 100 peratus dalam peperiksaan peringkat kebangsaan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diadakan tidak lama lagi. Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Kalsom Khalid berkata, semua murid juga perlu membuat sasaran terhadap keputusan peperiksaan itu mengikut kemampuan dan tahap pencapaian mereka ketika ini. ''Janganlah pula ada yang meletakkan sasaran untuk mendapat gred paling lemah kerana ia akan hanya menyaksikan rekod buruk dalam pencapaian keputusan peperiksaan keseluruhannya. ''Kita optimis pihak sekolah sudah boleh mencongak kemampuan murid ketika ini dan memastikan sekurang-kurangnya memperoleh minimum dan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran," katanya sewaktu hadir dalam program Akademik Cemerlang UPSR/Pacu 5A di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Tambah Kalsom, beliau juga berharap calon UPSR yang akan menduduki peperiksaan memupuk sikap positif dengan keyakinan diri yang tinggi. Mengenai program Akademik Cemerlang UPSR/Pacu 5A yang diadakan itu, Kalsom memberitahu, usaha itu adalah bantuan yang diberikan untuk melengkapkan diri serta keyakinan murid menghadapi UPSR tidak lama lagi. ''Kita perbaiki teknik pembelajaran saat akhir, cara menjawab soalan dan sebagainya," katanya. Dalam majlis itu juga berlangsung acara penyampaian bantuan sebanyak RM600 setiap seorang kepada 10 orang murid kurang mampu. Selain itu, pihak Yayasan Bank Rakyat turut menyumbang 5,000 bantuan alat tulis kepada calon UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM20,000. |
MPHTJ sasar kutipan cukai capai 90 peratus Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT MELAKA 27 Ogos - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyasarkan jumlah kutipan cukai bagi penggal kedua tahun ini mencapai 90 peratus berbanding 89.6 peratus untuk tempoh sama penggal lalu. Yang Dipertuanya, Sapiah Haron berkata, walaupun jumlah itu tidak menunjukkan banyak peningkatan namun angka kutipan keseluruhan yang ditunjukkan sehingga awal minggu ini memberi gambaran baik. Menurutnya, tahap kesedaran pembayar cukai mula meningkat dan mereka menyedari tanggungjawab untuk menjelaskan cukai yang telah ditetapkan. Katanya, hasil kutipan itu juga dilihat mampu melonjakkan sasaran cukai keseluruhan penggal ini yang dijangka mencapai angka 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan iaitu sebanyak RM16 juta. "Pada tahun lalu, kadar cukai yang berjaya dikutip bagi penggal pertama dan kedua sekitar 88 peratus sahaja dan saya berharap akan ada peningkatan meskipun tidak banyak, ini amat penting untuk melicinkan perjalanan dan operasi MPHTJ. "Walau bagaimanapun, menerusi tinjauan yang dilakukan di kaunter-kaunter bayaran mulai semalam dan hari ini, kebanyakan daripada pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab dan saya berpuas hati dengan apa yang telah dilunaskan mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka MPHTJ di pusat beli-belah Melaka Mall, Ayer Keroh, di sini baru-baru ini. Dalam pada itu, Sapiah turut mengingatkan pihak yang tidak membayar cukai dapat berbuat demikian kerana MPHTJ memerlukan sebahagian wang tersebut untuk kerja-kerja penyelengaraan dan sebagainya. "Kita berharap baki 40 peratus yang masih belum diperoleh itu dapat diselesaikan pembayar-pembayar cukai dalam masa terdekat," katanya. |
Warga tentera diseru eratkan hubungan dengan masyarakat Posted: 27 Aug 2013 11:00 AM PDT Sebahagian daripada orang ramai yang menghadiri Majlis Makan Malam Warga Pasukan bersama Menteri Besar di Kem Senawang dekat Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini. SEREMBAN 27 Ogos - Warga tentera perlu bersama masyarakat di kawasan sekitarnya melalui kerjasama yang mampu mengeratkan hubungan kedua belah pihak tersebut. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau melihat anggota tentera sering terpinggir daripada masyarakat kerana kehidupan yang dihabiskan di dalam kem menyebabkan orang ramai tertanya-tanya kehidupan mereka di luar. Katanya, beliau tidak mahu lagi melihat kehidupan tentera bersama masyarakat umum terpisah jauh selepas mereka bersara daripada perkhidmatan akibat jarang bercampur dengan masyarakat. "Jika ini dapat dilakukan saya yakin warga tentera tidak akan menghadapi masalah selepas bersara daripada perkhidmatannya kelak," katanya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Warga Pasukan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Kem Senawang, dekat sini baru-baru ini. Majlis itu sempena Hari Terbuka 1 Briged dan Ulang Tahun 15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ke-43. Sambutan itu menggunakan kaedah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) berkonsep Military Community Volunteering Days (MCVD) yang melibatkan kehadiran orang awam. Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Raja Datin Salbiah Tengku Nujumuddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid, Panglima 1 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Adnan Abu Bakar dan Pegawai Pemerintah Rejimen ke-15 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd. Nor Ghaniman. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sempena sambutan tersebut seperti pameran senjata dan peralatan Tentera Darat, agensi awam dan pameran kerjaya, hari keluarga, gotong-royong membersih tanah perkuburan dan derma darah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan