Utusan Online - Pahang |
- Tiga pendaki ketuai bacaan ikrar
- 154 penuntut Yayasan Pahang di Mesir pulang minggu ini
- Wujudkan modal insan seimbang
Tiga pendaki ketuai bacaan ikrar Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT Oleh SYAH HAIRIZALKAMALUL ARIFIN Mohd. Nasuha, Hafizuddin, Myrza Fasha KUANTAN 28 Ogos - Tiga pendaki dari negeri ini yang mencatat sejarah menawan Gunung Everest awal tahun ini akan mengetuai bacaan ikrar dalam sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 peringkat negeri di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini, Sabtu ini. Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pemilihan ketiga-tiga pendaki tersebut yang merupakan anak peneroka Felda dibuat bagi menghargai jasa mereka mengharumkan nama negara dan Pahang. Pemilihan Mohd. Nasuha Shamsudin, Muhammad Hafizuddin Ibrahim dan Myrza Fasha Md. Hamyrudin dilakukan kerana sumbangan mereka mengharumkan nama negara menawan puncak gunung tertinggi di dunia. Kejayaan ketiga-tiga anak muda itu dapat dikongsi bersama rakyat negeri ini, selain menjadi penyuntik semangat kepada generasi muda lain untuk berusaha gigih mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai perbarisan dan persembahan di sini hari ini. Seramai 7,500 peserta menyertai sambutan itu dengan melibatkan 101 kontinjen dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenaan berangkat menghadiri sambutan tersebut. Beliau berkata, perbarisan kali ini turut menampilkan kelainan apabila sebanyak 112 imam dari seluruh negeri turut menyertainya dan lintas hormat oleh pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka menjadi daya penarik sambutan itu. Shafik Fauzan berkata, dua skrin gergasi disediakan bagi memudahkan pengunjung menyaksikan semua aktiviti sama ada perbarisan atau persembahan yang diadakan pada hari tersebut. Satu persembahan pantomin turut diadakan yang pasti meninggalkan kesan kepada pengunjung tentang pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan tanah air sesuai dengan tema sambutan tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku," katanya. |
154 penuntut Yayasan Pahang di Mesir pulang minggu ini Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT KUANTAN 28 Ogos - Sebanyak 154 penuntut tajaan Yayasan Pahang (YP) yang menuntut di Mesir akan pulang ke tanah air minggu ini secara berperingkat berikutan pergolakan yang berlaku di negara tersebut. Pengurus Besarnya, Datuk Sa'ariah Saad berkata, 10 penuntut pula akan pulang minggu depan selepas selesai urusan pensijilan mereka yang akan memudahkan golongan itu untuk meneruskan pengajian di sini. Katanya, penuntut Pahang yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar boleh mengambil ujian tersebut di tanah air pada 3 hingga 5 September ini hasil rundingan Kementerian Pendidikan dengan pihak universiti di sana. "Penuntut di sana berada dalam keadaan baik, malah segala aktiviti yang dilakukan berjalan seperti biasa. "Keputusan kerajaan membawa pulang penuntut terbabit adalah tepat kerana melibatkan soal keselamatan dan kebajikan yang nyata membawa kelegaan kepada ibu bapa terbabit," katanya di sini hari ini. Menurutnya, seramai 763 penuntut Pahang melanjutkan pengajian di Mesir melibatkan penuntut tajaan YP, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan persendirian. |
Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT Oleh M. RIZAL NOR Mohd. Hafizal Teng Abdullah (bertopi) bersama murid memasak roti pintal ketika menjalani aktiviti ikhtiar hidup di sebuah ladang sawit berhampiran sekolah dalam program Perkhemahan Pengakap Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 28 Ogos - Aktiviti luar bilik darjah seperti perkhemahan pasukan beruniform merupakan salah satu aktiviti yang digalakkan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah. Program tersebut bukan sahaja mampu membuka minda pelajar sekolah, malah turut dijadikan medium menangani stres ketika sesi pembelajaran di dalam bilik darjah. Dalam masa sama, cara itu merupakan salah satu aktiviti menyokong saranan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan kegiatan kokurikulum melibatkan program luar bilik darjah diperluaskan. Sehubungan itu, seramai 67 pelajar dan murid menyertai Perkhemahan Pengakap Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP) Peringkat Daerah di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi 2 di sini baru-baru ini. Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 16 pelajar sekolah menengah dan 51 murid sekolah rendah bersama 25 guru pengiring. Kem Komander perkhemahan, Mohd. Hafizal Teng Abdullah berkata, perkhemahan tersebut diadakan bertujuan menyahut seruan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penyertaan dalam bidang kokurikulum. "Kita juga ingin memberi pendedahan dan pengalaman kepada ahli pengakap PPKIBP yang belum pernah terlibat dengan perkhemahan, di samping memupuk semangat kerjasama di dalam kumpulan. "Selain itu, kita mahu mereka berdikari dan mempunyai keyakinan diri seperti pelajar di arus perdana melalui aktiviti yang diadakan sepanjang perkemahan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Menurutnya, semua peserta dipilih oleh guru sekolah masing-masing dengan memberi keutamaan kepada mereka yang boleh menguruskan diri bagi mengelak kesukaran untuk mengawal tingkah laku di luar jangkaan. Jelas beliau, antara aktiviti dijalankan seperti kawad kaki, menanam pokok, menjahit, kembara dan ikhtiar hidup. Tambahnya, setelah selesai pendaftaran, semua peserta diberi taklimat untuk mendirikan khemah sebelum mereka melakukannya sendiri bersama guru pengiring. "Peserta dikumpulkan dalam beberapa kumpulan besar untuk melakukan aktiviti menjahit lencana keahlian pada baju uniform masing-masing," ujarnya. Tambahnya, aktiviti paling mencuri tumpuan ialah kembara dan ikhtiar hidup pada hari kedua yang dijalankan di ladang sawit berhampiran sekolah. Mohd. Hafizal memberitahu, peserta perlu melalui beberapa halangan ketika aktiviti kembara hutan seperti berjalan di atas titian kecil merentasi anak sungai dan menuruni kawasan berbukit dengan menggunakan tali. Dalam aktiviti ikhtiar hidup pula katanya, setiap kumpulan hanya dibekalkan dengan mancis, tepung, telur, ubi kentang serta air dan mereka perlu menyediakan makanan sendiri. "Biarpun mereka kurang upaya, namun semangat kerjasama dalam kumpulan yang ditonjolkan sangat baik, malah mereka turut membantu kumpulan lain," jelasnya. Katanya, peserta mampu menjalankan setiap aktiviti dengan baik dan majlis penutup perkhemahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan