Utusan Online - Keluarga |
Pertemuan singkat ke jenjang pelamin Posted: 27 Aug 2013 11:48 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Ahmad Abdul Hamid (lima dari kanan) dan barisan penaja Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4 bergambar bersama pasangan raja sehari. KALAU sudah namanya jodoh, walaupun hanya bertemu beberapa minit di kedai runcit akhirnya membawa ke jenjang pelamin juga. Hanya berselisih pandangan, berbalas senyuman tanpa sepatah kata, namun dek menggemari makanan yang sama, menjadi penyebab bertaut cinta Izyan Shazana Mazlan, 26, bersama pasangannya ,Mohd. Saharani Muhammad, 27. "Perkenalan kami berlaku secara tidak sengaja di sebuah kedai runcit. Waktu itu kami berdua sama-sama mencari coklat choki choki. Kami tidak berbual panjang pun, sekadar bertanya nama dan sempat bertukar nombor telefon. "Itulah agaknya dipanggil dari mata turun ke hati. Bermula dari situ kami jadi kawan sehingga bergelar pasangan kekasih," ujar Mohd. Saharani ditemui pada majlis persandingannya. Setahun mendalami hati budi masing-masing, kemudian mengikat tali pertunangan dan menyertai Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4 sehingga terpilih sebagai pemenang tempat kedua. Pada tanggal 23 Ogos lalu selepas menunaikan solat Isyak, cinta mereka bersatu apabila diijabkabulkan dalam suasana ringkas penuh meriah di kediaman ibu bapa Izyan Shazana di Taman Marida, Senawang, Negeri Sembilan. "Alhamdulillah dengan hanya sekali lafaz dan lancar, Izyan Shazana telah menjadi isteri saya yang sah," ujar Mohd. Saharani menzahirkan rasa teruja setelah bergelar suami. Walaupun penulis tidak berkesempatan menghadiri majlis akad nikah tersebut, Mohd. Saharani dengan berbesar hati mempertontonkan rakaman majlis akad nikahnya menerusi telefon bimbit. Tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya, Mohd. Saharani yang juga penyampai di sebuah stesen radio swasta terkenal, menyatakan selepas ini dia akan tinggal bersama keluarga mentuanya di Senawang. Bagi Saharani, walaupun terpaksa berulang-alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur, itu bukan satu masalah. Malah satu penghargaan bagi dirinya yang merupakan satu-satunya menantu lelaki di pihak keluarga Izyan Shazana. Izyan Shazana merupakan anak kedua daripada empat beradik dan merupakan tunggal perempuan. Sementara itu, pengantin perempuan turut mengambil kesempatan melahirkan rasa syukur kerana memenangi pertandingan yang menjadi idaman kebanyakan pasangan yang sudah bertunang. "Syukur sangat kerana ia memang membantu dalam meringankan perbelanjaan dan mempermudahkan pelbagai urusan termasuk mengambil kursus kahwin. "Kalau kami tak menang persediaan perkahwinan ini pasti mengambil masa yang lebih lama," jelas Izyan Shazana yang kini berkerja dengan bapanya yang mengusahakan perniagaan dalam bidang agro di Kuala Pilah. Pasangan itu memenangi tajaan pakej perkahwinan bernilai RM80,000, sebuah motosikal, wang tunai RM3,000, barang elektrik dan barang kemas. Malah mereka juga menerima tajaan pakej berbulan madu tajaan Poto Travel & Tours Sdn. Bhd. ke Beijing. "Kami akan bertolak ke Beijing pada 25 Oktober ini. Tentang cahaya mata, kami tidak merancang sebaliknya berserah segalanya kepada Allah SWT. "Kami berharap hubungan ini akan berkekalan hingga ke syurga dan dengan perkahwinan kami juga mengeratkan silaturrahim antara dua keluarga," ujar Izyan Shazana penuh harapan. |
Cabaran merias tudung pengantin Posted: 27 Aug 2013 11:48 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL MEMANG mencabar menghasilkan tudung untuk dipadankan dengan baju pengantin yang dihasilkan oleh penaja lain. Itulah cabaran utama yang dihadapi penaja tudung perkahwinan Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-4, Eja Shahril Collection & Design. Mahu dikenali dengan nama Eja Shahril sahaja, pengalaman mengajarnya agar melaksanakan sesuatu mengikut tertib. Dan apabila segalanya disusun dengan teliti, apa jua cabaran berjaya diatasi. Pertama sekali penting bagi Eja mendapatkan sampel kain baju pengantin. Selepas itu usaha mencari kain tudung dan manik yang sama dengan pakaian pun bermula. "Yang menjadikannya makin mencabar ialah apabila akhirnya melihat pakaian yang siap itu mempunyai manik yang berbeza dengan tudung yang saya sudah siapkan. "Ketika itu hanya dua minggu sebelum majlis persandingan ini dan saya segera mengubah jahitan manik supaya ia kelihatan lebih sepadan dengan pakaian," ujar Eja yang ditemui di dalam bilik pengantin ketika dia sedang menggayakan tudung buat Izyan Shazana Mazlan. Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi, bagi Eja semua itu sebahagian daripada pengalaman dan pengajaran berharga untuk bergelar usahawan dan pereka fesyen berjaya. Pengalaman dan ilmu dimiliki Eja juga menjadikan dia begitu arif menghasilkan rekaan tudung dan baju pengantin berkonsepkan Islamik yang menarik. "Satu tip yang boleh Eja kongsi ialah kalau baju sudah sarat, tudung tidak perlu lagi sarat dengan manik, layah juga boleh dipadankan dengan tudung dan pakaian. "Berpenampilan muslimah dengan tudung labuh juga memang boleh berfesyen asal kena gayanya," ujarnya. Eja mula memasuki dunia fesyen pengantin muslimah pada tahun 2009. Dia sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai tadbir diplomatik di Kuala Lumpur semata-mata mahu bersama suami yang berkhidmat di Pulau Pinang. Ketika itu juga minat Eja dalam dunia rekaan fesyen dan pengantin menambah keyakinan untuk mengubah kehidupan menerusi bakat dan minat. "Sebenarnya memang Eja mempunyai asas dalam bidang fesyen yang Eja ambil ketika menuntut di Universiti Limkokwing. "Konsep Eja berbeza dengan pereka fesyen lain kerana Eja mempertaruhkan konsep Islamic Wedding (perkahwinan Islamik). "Salah satu contoh Islamic Wedding adalah seperti perkahwinan pelakon dan pengacara, Irma Hasmie yang mana suaminya menggayakan jubah berbanding kebiasaan baju Melayu. "Untuk pengantin perempuan pula, Eja mengutamakan potongan pakaian yang tidak terlalu ketat tetapi masih boleh bergaya. Tudung juga mesti melepasi paras dada dan sedikit labuh dan pengantin masih kelihatan berseri sesuai dengan penggayaan yang dicadangkan kepada mereka," ujar Eja yang turut mengusahakan perniagaannya secara dalam talian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan