Utusan Online - Rencana |
Sokongan rakyat nadi perangi rasuah Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT TAN SRI ABU KASSIM MOHAMED ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia KETIKA negara mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama, pernah menekankan betapa pentingnya kita perlu menghapuskan sama sekali tiga elemen tidak sihat dalam memastikan pembangunan yang mapan. Tiga elemen dimaksudkan ialah rasuah, komunis dan komunalisme (corruption, communist and communalism). Dalam tempoh lima dekad yang lalu, negara berjaya mengatasi masalah komunis dan komunalisme dengan berkesan. Bagaimanapun masalah rasuah tidak menemui kejayaan signifikan diharapkan. Masalah rasuah masih menghantui rakyat negara ini. Saya telah menekankan perkara ini dalam satu sesi dialog sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia Ketujuh di Kuala Lumpur, Sabtu lalu. Tema sidang kemuncak kali ini menarik. Menyusuri Hari Esok Menerusi Perjalanan Lalu. Saya berkongsi dengan peserta Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia bagaimana kita telah berjaya keluar daripada masalah komunis dan komunalisme, sedangkan tidak dalam soal memerangi jenayah rasuah. Tiga dekad yang lalu, apabila saya berada pada persidangan yang sama sebagai seorang peserta, saya pernah membangkitkan pentingnya kita melibatgandakan usaha mengatasi rasuah. Hari ini, selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya juga memberitahu peserta kalangan generasi muda itu bahawa kita berjaya mengatasi masalah komunis bukan hanya kerana peranan anggota polis dan tentera semata-mata, tetapi disebabkan sokongan padu rakyat. Kerajaan telah menyediakan undang-undang, dasar sosioekonomi dan program yang bersesuaian untuk membebaskan rakyat daripada ancaman komunis dan komunalisme. Bukan sahaja rakyat, semua parti politik bersatu suara dalam merealisasikan misi menghapuskan elemen komunis dan komunalisme. Bukan hanya undang-undang dan pembaharuan fizikal menghapuskan komunis, tetapi kemahuan dan sokongan setiap anggota masyarakat. Justeru, saya masih mencari jawapan mengapa kita belum mendapat sokongan padu dan menyeluruh daripada setiap rakyat dalam soal memerangi rasuah. Kita juga mengadakan undang-undang yang sewajarnya dari semasa ke semasa. Tetapi perpaduan bagi menangani gejala rasuah tidak sekuat mengatasi isu komunis dan komunalisme. SPRM, yang sebelum Januari 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR), memerlukan sokongan padu rakyat segenap lapisan masyarakat untuk memerangi rasuah. Saya mengakui kita tidak dapat menghapuskan rasuah seratus peratus. Malah setiap daripada kita juga akan menerima hakikat ini. Tetapi jika kita bersatu dan berganding tenaga tanpa mengira status dan kedudukan serta ideologi politik, saya amat yakin kita boleh mengurangkan kes rasuah atau mengawalnya sehingga ke paras minimum. Beri kami sokongan anda. Kami amat memerlukan sokongan setiap rakyat. Hanya dengan sokongan yang kuat daripada rakyat, pihak yang 'dibuai' rasuah akan takut. Jika tidak, mereka tidak akan menjauhi rasuah. Visi SPRM ialah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah dan menjadikan SPRM agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia. Dalam mengejar visi itu, salah satu cabaran dilalui SPRM ialah kekurangan dalam undang-undang termasuk dalam Akta SPRM 2009. Saya juga perlu mengakui Akta SPRM 2009 lebih baik berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana ia lebih baik jika dibandingkan dengan Akta BPR. Peredaran masa dan kerumitan persekitaran memerlukan sistem perundangan yang lebih kemas lagi berkesan. SPRM berhasrat untuk menjadi suruhanjaya anti rasuah yang profesional dalam menguatkuasakan undang-undang dan mendidik orang ramai terhadap rasuah dalam usaha ke arah pencegahan yang lebih besar untuk membasmi rasuah di Malaysia melalui prinsip bebas, telus dan profesional. Kewujudan entiti pencegahan rasuah di Malaysia bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti pencegahan rasuah. Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia manakala pendakwaan pula dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara. Kerajaan kemudiannya telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan BPR pada 1 Oktober 1967. Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan, sekali gus mengubah entiti BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN). Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara, di samping kes rasuah. Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta BPR 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR yang secara rasminya juga menggantikan BSN. Perubahan ini memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah. Pada tahun 2008, Parlimen telah bersetuju supaya SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR, selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional. Transformasi BPR kepada SPRM bukan pada nama semata-mata. Perubahan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap entiti pencegahan rasuah ini yang sebelumnya dianggap tidak bebas dan tidak telus. Justeru, mekanisme 'check and balance' diwujudkan melalui pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah untuk memantau, menasihati serta memastikan fungsi dan tanggungjawab SPRM dilaksanakan dengan cekap, berkesan, bebas dan telus. Keanggotaan kelima-lima entiti bebas ini dipilih daripada kalangan individu berintegriti yang cemerlang dalam perkhidmatan dan profesion masing-masing. Cabaran yang bakal ditempuhi oleh SPRM pada tahun-tahun mendatang ialah membuktikan kepada masyarakat bahawa transformasi dilalui SPRM akan membawa perubahan besar ke atas keseluruhan sistem operasinya. Sesungguhnya kejayaan dicatatkan oleh SPRM selama ini telah menjadikan ia sebagai sebuah agensi yang dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kecemerlangan. SPRM kini dalam proses perbincangan dengan Peguam Negara untuk meminda Akta SPRM bagi memberi skop perundangan yang lebih luas. Antaranya peruntukan liabiliti korporat, mewajibkan mana-mana individu mengisytiharkan aset tanpa perlu mengemukakan asas elemen rasuah. Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 bagi tempoh tiga tahun akan datang akan menyaksikan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Antirasuah terus mempertingkat proses perubahan yang dicetuskan dalam GTP 1.0 dengan tiga aliran kerja menjadi tunjang iaitu agensi penguatkuasaan, rasuah besar dan perolehan kerajaan. GTP 2.0 bakal menyaksikan penambahan komponen pendidikan kepada generasi muda untuk membentuk generasi akan datang yang peka dan bersikap proaktif terhadap usaha membanteras rasuah. Antara elemen dalam pendidikan yang diketengahkan ialah penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah di Maktab Perguruan, memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam buku teks sekolah rendah dan sekolah menengah serta latihan kepada anggota Parlimen. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) negara - bukti kukuh yang kerajaan serius dalam usaha mengurangkan rasuah. Kerajaan juga mengumumkan inisiatif penambahbaikan pengurusan dan politik, mewujudkan unit pematuhan di semua badan kerajaan, mengurangkan peluang berlakunya rasuah melalui automasi, mewujudkan Perbadanan Pengurusan Aset Pusat, pengenalan program Ikrar Integriti Korporat (CIP), kewujudan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan pengenalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta portal MyProcurement. Keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah sangat penting. Persepsi rakyat masih menjadi cabaran utama kerajaan dalam membanteras jenayah dan memerlukan tempoh masa yang lama untuk mengubah serta mendidik rakyat tentang kesan gejala rasuah dalam negara. Buku terbaru Combatting Corruption: Understanding Anti-Corruption Initiatives in Malaysia menyebut "cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Malaysia ialah meyakinkan kumpulan bisnes dan publik yang masalah rasuah ditangani secara serius." Pendek kata, rasuah perlu dan harus diperangi secara serius di semua peringkat. Usaha ini tidak boleh diserahkan kepada SPRM semata-mata. Rakyat perlu memainkan peranan. Pertubuhan bukan kerajaan ada peranan. Begitu juga pihak industri dan bisnes. Tidak ketinggalan ahli-ahli politik dan penggubal undang-undang. Iltizam politik bukan sahaja perlu diperlihatkan oleh pihak pemerintah, sebaliknya ia harus ditonjolkan oleh parti-parti politik dan orang ramai. Anda boleh lakukan perubahan perangi rasuah! |
Niat tersirat Barat serang Damsyik Posted: 28 Aug 2013 11:34 AM PDT Oleh Azmi Hassan MEMANG tidak syak lagi Amerika Syarikat (AS) sudah bersiap sedia untuk menyerang Syria bila-bila masa sahaja kerana Naib Presiden Joe Biden semalam menegaskan kerajaan Bashar al Assad sememangnya bertanggungjawab di atas penggunaan senjata kimia dipinggir bandar Damsyik pada 21 Ogos lepas. Kenyataan Biden itu dikeluarkan ketika pasukan pemantau senjata kimia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang berada di Syria masih belum selesai melaksanakan tugas kerana gagal memasuki kawasan kejadian. Seperti mana dengan Biden, Setiausaha Negara John Kerry dan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel menegaskan tentera AS dan sekutunya sudah bersiap sedia untuk menyerang Syria dan hanya menunggu arahan daripada Presiden Barack Obama sahaja. Presiden Obama pula bagaikan menunggu selesainya persidangan khas Parlimen Britain yang dijadualkan berlangsung hari ini untuk memberi kebenaran kepada Perdana Menteri David Cameron. Nampak gayanya bukan sahaja AS sudah siap bersedia untuk berperang tetapi juga sekutu mereka dari Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman juga senada bahawa Damsyik perlu menerima akibatnya kerana dikatakan tiada sifat kemanusiaan membunuh rakyat sendiri dengan senjata kimia. Berbeza dengan pencerobohan Iraq di mana Jerman tidak mengambil bahagian kerana tidak bersetuju dengan tindakan AS ataupun Libya hanya Britain dan Perancis yang mengetuai serangan, serangan terhadap Syria mendapat sokongan padu sekutu AS. Tetapi sokongan sebulat suara sekutu AS ini tidak memberi makna campur tangan secara langsung kuasa besar adalah jalan terbaik demi mencari penyelesaian kemelut yang telah banyak mengorbankan rakyat negara yang tidak lama dahulu antara yang termakmur di bumi Arab. Selama ini kuasa Barat yang hanya membiarkan negara lain seperti Arab Saudi, Kuwait, Qatar dan Turki bertindak sebagai proksi membantu tentera pemberontak berdepan dengan tentera kerajaan Syria bagaikan mendapat kekuatan baru untuk campur tangan dengan berbekalkan alasan penggunaan senjata kimia. Tetapi begitu ternyata sekali setelah hampir dua tahun perang meletus, kerajaan Bashar langsung tidak dapat dilumpuhkan oleh beberapa kumpulan tentera pemberontak yang diketuai oleh kumpulan terbesar dan diiktiraf oleh kuasa Barat iaitu Tentera Pembebasan Syria (FSA). Tetapi hakikatnya, walaupun FSA dibantu dan diiktiraf oleh kuasa Barat, kumpulan pemberontak yang paling berkesan menentang tentera kerajaan Bashar adalah daripada kalangan pemberontak yang tidak bersekutu dengan FSA. Apa yang dikhuatiri oleh Washington adalah jika kerajaan Bashar tumbang dalam keadaan ketika ini, maka Syria akan menjerumus seperti mana yang telah menimpa Iraq dan Libya di mana negara tersebut telah berpecah kepada beberapa wilayah kawalan kumpulan pemberontak berlainan. Paling membimbangkan AS dan sekutu Eropahnya adalah kumpulan pemberontak Syria yang paling kuat dan berpengaruh pada ketika ini adalah kumpulan yang berpegang kepada prinsip perjuangan Islam seperti mana yang diamalkan oleh Ikhwanul Muslimin contohnya. Sudah pasti AS tidak mahu Syria diterajui oleh kerajaan yang tidak selari dengan dasar luar Washington seperti mana yang berlaku ketika Presiden Mohamed Morsi memerintah Mesir. Tetapi jika dibiarkan Syria dalam keadaan sekarang, besar kemungkinan pemimpin FSA akan hanya mempunyai pengaruh yang sedikit dalam kerajaan baru pasca Bashar. Justifikasi senjata kimia adalah dalil terbaik untuk digunakan oleh kuasa Barat sebagai alasan menyerang Damsyik dan seterusnya melumpuhkan kerajaan Bashar. AS dan sekutunya tidak akan menggunakan strategi sebagaimana yang diamalkan untuk menghapuskan Saddam Hussein pada tahun 2003 dengan menyerang secara besar-besaran. Apa yang direncanakan adalah hanya untuk melancarkan serangan peluru berpandu terhadap sasaran bernilai tinggi seperti pangkalan tentera dan bangunan kerajaan Syria yang menjadi tonggak kuasa Bashar. Washington berpendapat serangan sedemikian rupa dapat memberi tekanan kepada Bashar dan akhirnya melumpuhkan pemerintahan beliau sedikit demi sedikit. Runtuhnya kerajaan Bashar secara mendadak akan menimbulkan keadaan yang tidak menentu di Syria dan ini sudah pasti akan memberi peluang kepada pemberontak yang tidak selari dengan pendirian Washington mempengaruhi penubuhan kerajaan sementara. Tetapi jika Bashar berundur secara berunding dan teratur maka keadaan ini akan memberi peluang kepada FSA mengambil bahagian dengan lebih bermakna kerana pada situasi sebegini sudah pasti Washington dan sekutunya mampu menggunakan pengaruh mereka sepenuhnya. Dalam keadaan sebegini, Rusia dan China yang selama ini penyokong kuat Damsyik sudah pasti akan mengambil pendirian berkecuali kerana begitu sukar untuk mempertahankan Bashar selepas peristiwa serangan senjata kimia. Sebenarnya rancangan AS yang merencanakan supaya FSA yang mempunyai peranan lebih besar pasca Bashar dan bukannya kumpulan pemberontak ala Ikhwanul Muslimin adalah selari dengan dasar yang diamalkan oleh Moscow dan Beijing apabila berhadapan dengan pemberontak Islam. Ini adalah kerana kedua-dua negara tersebut masing-masing berhadapan dengan masalah pemberontak Islam di wilayah Chechnya dan Xinjiang yang sedang memperjuangkan kemerdekaan daripada kerajaan pusat Moscow dan Beijing. Sudah pasti Rusia dan China tidak mahu pemberontak Islam mendapat tempat selepas era Bashar kerana keadaan sedemikian akan memberi isyarat kepada pemberontak Islam bahawa mereka juga boleh mencapai kemerdekaan di Chechnya dan Xinjiang. Tidak syak lagi Damsyik akan dihujani oleh peluru berpadu dalam masa beberapa hari lagi dan episod menyayat hati ini bagaikan tidak boleh berhenti melanda dunia Arab yang telah bermula di Iraq sedekad yang lepas. PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan