Utusan Online - Utara |
- Bantah pencemaran bunyi, asap
- Agro bazaar K-Shoppe sediakan biskut raya sepanjang Syawal
- Bomba: Orang ramai perlu serius elak kebakaran
Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT Oleh OTHMAN YAHAYA BUTTERWORTH 11 Ogos - Lebih 80 orang penduduk yang mendiami kawasan perumahan dan rumah kedai di Jalan Mawar, Taman Mawar di Jalan Raja Uda, Bagan mengadakan demonstrasi aman membantah pencemaran asap dan bunyi bising di hadapan sebuah premis mengubahsuai enjin kereta di sini hari ini. Mereka yang mewakili lebih 1,000 penduduk sekitar kawasan berkenaan menggesa pemilik pusat berkenaan yang telah beroperasi hampir lapan tahun supaya menutup premisnya serta-merta. Protes secara aman itu juga ditujukan kepada beberapa pihak seperti Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang tidak prihatin dengan masalah mereka. Wakil penduduk, Tan Ching Lee berkata, tiada sebarang tindakan diambil oleh pemimpin dan pihak berkuasa walaupun lebih 10 bantahan dan aduan telah dibuat oleh mereka. "Sejak awal pembukaan perniagaan itu sekitar April 2004 lagi, kita tidak bersetuju dan telah membuat bantahan secara bertulis kerana lokasinya tidak sesuai. "Tapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil menyebabkan kami tidak lagi selesa mendiami kawasan ini," katanya. Penduduk mula berkumpul sekitar pukul 9 pagi di hadapan premis berkenaan sambil memakai penutup mulut dan hidung serta menutup telinga masing-masing sebagai simbolik tidak tahan dengan pencemaran yang berlaku sambil memegang sepanduk bertulis 'Kembalikan taman yang aman dan tenang serta udara nyaman dan bersih'. Seorang penduduk, Tan Cheng Woi, 53, berkata, kehidupan beliau dan keluarganya terganggu kerana premis itu mengeluarkan asap mengandungi karbon monoksida yang berbahaya kepada kesihatan. "Proses mengubahsuai enjin kenderaan di premis itu mengundang masalah pencemaran yang semakin teruk sejak kebelakangan ini kerana dilakukan secara terbuka. "Keadaan ini membuatkan premis perniagaan kami di sini kurang dikunjungi kerana asap yang berlebihan mengundang masalah pernafasan," katanya. Seorang suri rumah, P. Jolthy, 48, berkata, premis tersebut sering mengeluarkan bunyi bising semasa proses mengubahsuai enjin dijalankan. "Pencemaran bunyi yang berlaku kadang-kala berlarutan hingga ke awal pagi hingga mengganggu waktu tidur. Sepatutnya pihak berkuasa mengambil tindakan untuk mengatasinya, namun mereka hanya berdiam diri," katanya. Seorang peniaga, Lim Guai Wang, 49, berkata, pembukaan premis itu turut menjadikan laluan di situ terganggu kerana kereta yang ingin diubahsuai diletakkan sesuka hati. Sehubungan itu, mereka berharap pihak berkuasa tempatan, ahli Parlimen serta ADUN terbabit bertindak segera untuk menyelesaikan perkara itu termasuk mengarahkan premis berkenaan dipindahkan. |
Agro bazaar K-Shoppe sediakan biskut raya sepanjang Syawal Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT KEDAI Agro Bazaar milik Zakiah Yaakob di Kepala Batas Pulau Pinang yang menjual pelbagai jenis biskut raya sesuai untuk dijadikan hidang rumah terbuka. KEPALA BATAS 11 Ogos - Biarpun sudah empat hari berlalu, kemeriahan lebaran masih terasa malah ramai yang mengambil peluang untuk mengadakan rumah terbuka serta menjamu rakan-rakan. Di samping hidangan lemang serta ketupat, biskut raya sama ada tradisional atau moden juga menjadi pilihan untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung. Menyedari hakikat itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah mewujudkan Agro bazaar K-Shoppe khas menjual biskut raya. Salah satu Agro bazaar yang menyediakan hampir 100 jenis kuih dan biskut raya adalah ZBY Cekal Niaga yang terletak di bangunan kedai bersebelahan Hotel Seri Malaysia Kepala Batas di sini. Menurut pemiliknya, Zakiah Yaakob, pelbagai jenis biskut raya dijual di kedai itu yang dihasilkan sendiri oleh usahawan yang berdaftar dengan FAMA selain pengusaha kecil-kecilan. "Produk yang dipasarkan di kedai ini adalah keluaran usahawan bimbingan FAMA dan rasanya dijamin berkualiti kerana ia dipantau oleh agensi tersebut. "Dengan menjual produk tersebut di Agro Bazaar K-Shoppe ia dapat membantu usahawan memasarkan produk mereka dan dijual dengan harga yang amat berpatutan," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Tambah Zakiah, pihak FAMA sendiri memilih kedainya sebagai lokasi pelancaran Karnival Aidilfitri FAMA yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Shariful Azhar Othman dan turut dihadiri Pengarah FAMA negeri, Habibah Sulaiman. Jelasnya, pada musim perayaan jualan biskut dan kuih raya di kedainya meningkat sehingga 200 peratus atau tiga kali ganda daripada biasa kerana ramai suri rumah yang kesuntukan masa untuk menyediakan biskut raya sendiri. Katanya, selain biskut raya, kedai itu turut menjual hampir 200 produk keluaran usahawan FAMA serta makanan sejuk beku yang mendapat permintaan tinggi. "Kebanyakan produk yang dihantar ke sini diproses segar menggunakan tangan menjadikan ia lebih berkualiti dan rasanya juga terjamin. "Selain itu keutamaan kami adalah produk keluaran muslim yang disahkan halal kerana ia bukan sahaja mendapat permintaan tempatan malah ada yang dihantar ke luar negara," ujarnya. Kata Zakiah lagi, produk sejuk beku yang dihantar juga kadang kala ditambah stok sehingga tiga kali sebulan kerana mendapat permintaan yang tinggi terutama daripada pelanggan tetapnya. Jelasnya, usaha FAMA untuk membuka lebih banyak Agrobazar K-Shoppe perlu disokong dan usahawan bumiputera harus mengambil peluang yang ada kerana ia menjanjikan pendapatan lumayan. |
Bomba: Orang ramai perlu serius elak kebakaran Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT ARAU 11 Ogos - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menasihatkan orang ramai supaya lebih serius dalam mengambil langkah keselamatan di rumah masing-masing bagi mengelak kejadian kebakaran. Pengarahnya, Mohd. Fadzil Haroon berkata, ini penting kerana kebakaran boleh berlaku sama ada ketika penghuni berada di dalam rumah atau pun tiada kerana pulang berhari raya di kampung halaman. ''JBPM tidak mahu kelalaian akan menyebabkan keseronokan menyambut hari raya bertukar menjadi suasana yang sedih kerana kehilangan harta benda atau nyawa," katanya di sini baru-baru ini. Beliau berkata, ini kerana dalam Ops Raya dari 11 Ogos hingga 26 Ogos tahun lalu sahaja, dua kes kebakaran bangunan, belukar (lima) dan lain-lain (20) telah dilaporkan berlaku. Sehubungan itu katanya, bagi yang akan meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung, mereka perlu mencabut atau menanggalkan semua peralatan elektrik yang ada di dalam rumah. ''Pastikan juga gas ditutup atau kepala gas terus dicabut," katanya. Selain itu, katanya, orang ramai juga diingatkan supaya elakkan daripada membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik ketika sibuk membuat pelbagai persiapan di musim raya. Mohd. Fadzil berkata, suri rumah juga perlu berhati-hati supaya tidak meninggalkan dapur ketika sedang memasak. Katanya, cara memasang lampu pelita minyak tanah di malam raya juga perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mengundang kepada kebakaran. Beliau berkata, pastikan jarak antara pelita itu diletakkan tidak terlalu dekat dengan tepi rumah atau pun dengan bahan mudah terbakar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan