Utusan Online - Sukan |
Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI Lee Chong Wei mengucup anaknya, Kingston Lee ketika tiba di KLIA, Sepang dari Guangzhou, semalam. Turut menyambut kepulangan beliau adalah isterinya, Wong Mew Choo dan Presiden Kehormat BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh (kiri). - UTUSAN/ZAINI HUSIN SEPANG - Tiada niat mahu mencipta alasan, tetapi pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui suhu gelanggang yang panas melampau penyebab utama dia mengalami kekejangan otot sehingga mengganggu rentak permainannya sebelum tewas kepada Lin Dan dalam aksi akhir Kejohanan Dunia di Guangzhou kelmarin. Chong Wei yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam berterus terang bahawa suhu gelanggang yang mencecah 34 darjah celsius akibat pendingin hawa ditutup, menyebabkan penghidratan dan kekejangan otot sehingga memaksa dia menarik diri ketika kedudukan 20-17 pada set ketiga. Menurut Chong Wei, dia tidak boleh berbuat apa-apa tentang perkara tersebut (sabotaj) apabila pendingin hawa di Gimnasium Tianhe tiba-tiba ditutup pada set kedua dan keadaan panas serta tidak berangin merubah sepenuhnya perjalanan perlawanan. "Dia (Lin Dan) beraksi di gelanggang sendiri, jadi saya tidak boleh komen apa-apa, kelebihan jelas sekali dimiliki olehnya, cuma saya perlu belajar dari kesilapan," katanya sebaik tiba di KLIA dan disambut oleh isterinya, Datin Wong Mew Choo dan anak mereka, Kingston Lee semalam. Jelasnya, dia memang kecewa kerana tidak memperoleh gelaran kejuaraan Dunia tetapi tidak ada dalam kamus kariernya untuk mengalah malah akan cuba lagi untuk Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen tahun depan. "Saya memang kecewa tewas di peringkat akhir semalam (kelmarin), namun saya berharap tahun depan nasib saya lebih bagus," kata Chong Wei Chong Wei, 30, yang menghadiahkan kejuaraan kelima buat Lin Dan yang menang 16-21, 21-13-, 20-17. Ditanya mengenai tahap kesihatannya setakat ini, Chong Wei berkata, dia tidak mengalami sebarang kecederaan kelmarin cuba hanya kekejangan otot kerana selepas pendingin hawa dimatikan dia berdepan dengan detik sukar, kerap berpeluh seterusnya menyebabkan badannya kekurangan air. "Kali pertama saya berasa kekejangan otot ini adalah ketika hendak memulakan aksi di set penentuan, tetapi saya tahan sebelum mengalaminya semula sewaktu mendahului permainan 11-10. Saya bertahan lagi sehingga Lin Dan mendapat 19 mata, saya duduk sebentar dan cuba bangun lagi. "Saya sedar ketika dia mendapat 20 mata, saya akan tewas perlawanan tersebut, saya berusaha untuk bangun tetapi tidak boleh akhirnya saya terpaksa menarik diri dan kalah. Saya dengar selepas perlawanan tamat Lin Dan juga mengalami masalah kekejangan otot" katanya. Mengenai reaksi Lin Dan yang datang kepadanya, Chong Wei berkata, di dalam gelanggang mereka memang seteru utama tetapi di luar mereka bersahabat baik. "Perlawanan semalam adalah yang paling sukar buat saya sehingga masuk hospital tetapi saya tidak akan menyerah kalah kerana impian saya adalah untuk beraksi sehingga Sukan Olimpik 2016 Rio, aksi keempat saya di temasya tersebut. "Saya juga tidak sabar untuk berehat dan kembali ke gelanggang semula," kata Chong Wei. |
Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Lionel Messi (dua dari kanan) dikatakan mengalami kecederaan ketika menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu akibat keadaan padang yang dikatakan tidak sempurna. KUALA LUMPUR - Kira-kira 16 hari sebelum aksi Malaysia dan Barcelona, petanda kecil perlawanan ini tersebut akan menimbulkan musibah sudah kelihatan apabila pegawai kelab Catalan itu tidak berpuas hati dengan mutu rumput Stadium Nasional Bukit Jalil. Namun, tiada siapa mengambil serius kebimbangan yang disuarakan Barcelona walaupun masalah rumput di Stadium Nasional yang menggunakan jenis Marimo Paspalum sejak tahun 2005 bukanlah satu isu baru. Ini kerana saban tahun seperti melibatkan perlawanan akhir Piala Malaysia, Piala FA atau perlawanan persahabatan antarabangsa, pasti ramai pemain, pemerhati dan peminat mempersoalkan kualiti rumput berkenaan yang memakan kos RM1.2 juta. Berdasarkan pandangan sebuah syarikat yang berpengalaman dalam urusan penyenggaraan rumput, NZ Sports Turf Institute, jenis rumput yang dipilih iaitu Marimo Paspalum adalah yang terbaik. Namun, wakil syarikat tersebut yang enggan namanya disiarkan hairan mengapa keadaan padang di Stadium Nasional masih mengalami kerosakan tiap kali selepas digunakan. Menurutnya, masalah mutu rumput Stadium Nasional mungkin penyelengaraan yang tidak betul dan menjadi penyebab utama rumput mudah tercabut. Sepatutnya penggunaan rumput jenis Marimo Paspalum ini tidak memberikan sebarang masalah kerana lebih baik daripada sesetengah jenis rumput yang lain namun apa yang boleh dipersoalkan bagaimana cara mereka menyelenggara. Masalah ini mungkin ada kaitan dengan sistem perparitan yang tidak sempurna atau cara selenggara yang tidak sempurna iaitu mengenai soal penggunaan baja dan penjagaan. Kedua-dua masalah ini cukup berkait kerana jika sistem perparitan bermasalah dan air bertakung di dalam padang, kekuatan akar rumput akan terjejas lantas menyebabkan mengapa rumput ini mudah tercabut. Negara kita kerap mengalami hujan dan jika sistem perparitan tidak berjalan dengan sempurna serta banyak masalah, tidak mustahil perkara ini menjadi penyumbang utama kerosakan padang, " kata wakil berkenaan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, daun rumput jenis ini yang terlalu lembut mudah terdedah kepada masalah serangan penyakit dan serangga sehingga menjejaskan kualiti yang ada pada rumput dan timbul penumpang tumbuhan-tumbuhan lain. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang melawat Stadium Nasional pada 7 Jun lalu memberi bayangan rumput jenis baru akan menggantikan rumput sedia ada sekarang dan akan ditutup selama enam bulan selepas berakhir saingan Piala Malaysia pada 3 November ini. Ekoran itu, dia mencadangkan penggunaan jenis rumput cowgrass menjadi alternatif terbaik sebagai pengganti kepada Marimo Paspalum kerana lebih tahan lasak dan kos penyelengaraan yang murah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan