Utusan Online - Johor |
Mahu jadikan taman perumahan bersih tahun ini Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT Oleh NOR AZAN FITRIAHMAD HIDZIR Datuk Abdul Latiff Bandi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi berkata, sasaran yang ditetapkan kerajaan negeri itu mampu dicapai kerana pada waktu ini 82 peratus atau 1,440 kawasan taman perumahan adalah kawasan hijau. Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan, terdapat 312 taman berada pada paras memuaskan manakala empat lagi taman berada pada paras merah ekoran kebersihan di kawasan itu tidak memuaskan. "Kawasan merah ini berlaku kesan kutipan sampah yang tidak teratur dan tidak mengikut jadual ditetapkan. Kesemuanya melibatkan kawasan taman perumahan lama. "Masalah ini juga kadangkala berpunca daripada sikap penduduk yang tidak mengambil peduli tentang kebersihan dan ada juga kawasan industri yang mengambil kesempatan membuang sampah di taman-taman perumahan bagi menjimatkan kos operasi mereka," katanya semasa ditemui, di sini baru-baru ini. Abdul Latiff berkata, pihak SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) juga telah mengadakan perbincangan dengan para kontraktor bermasalah yang terlibat dengan kutipan sampah berjadual di kawasan merah dan perkara itu akan diselesaikan segera. Beliau berkata, sekiranya pihak kontraktor berkenaan gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik selepas itu, kontrak mereka akan ditamatkan dan diganti dengan kontraktor lain. "Selain itu, pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan kita optimis sasaran kawasan hijau yang ditetapkan akan dapat direalisasikan," katanya. |
Kerajaan cari pendekatan atasi pemaju rumah gagal Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT Mohamed Khaled Nordin (kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Johor Bahru, Johor, semalam. JOHOR BAHRU 11 Ogos - Kerajaan negeri akan mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah pemaju perumahan yang didapati gagal mematuhi syarat ditetapkan bagi membina rumah mampu milik di negeri ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, satu pasukan khas yang ditubuhkan baru-baru ini telah mengenal pasti syarikat-syarikat pemaju yang didapati gagal membina rumah bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana itu. "Di Johor, kita telah letakkan syarat pemaju untuk membina rumah kos rendah dan mampu milik, tetapi kebanyakan daripadanya lebih memberi fokus kepada projek perumahan mewah yang lebih menguntungkan. "Justeru, kita akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghubungi syarikat-syarikat ini untuk mendapatkan kepastian sama ada mereka akan membina rumah kos rendah dan mampu milik atau sebaliknya," katanya semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini. Ditanya adakah pemaju perumahan yang gagal membina rumah mampu milik bakal dikenakan denda dan berapa banyak syarikat yang telah dikenal pasti, beliau enggan mendedahkan. Kepada soalan sama ada syarikat pemaju berkenaan sengaja tidak mahu membina rumah mampu milik yang disyaratkan, Menteri Besar berkata: "Biasalah syarikat pemaju lebih suka bina rumah mewah untuk dapat untung lebih." Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri mempunyai strategi tersendiri bagi mengatasi masalah rumah mampu milik termasuk membinanya di atas tanah kerajaan dan agensi-agensi milik kerajaan. Kat beliau, pihaknya pada masa sama akan cuba mengatasi masalah populasi kaum yang tinggal di dalam kawasan bandar dan salah satu daripadanya dengan membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang sesuai. Beliau turut mengalu-alukan usaha kerajaan Pusat untuk memperluaskan Rumah Transit bagi membantu golongan muda yang bujang dan baru mendirikan rumah tangga untuk memiliki rumah di kawasan bandar. Pihaknya juga akan menyediakan tapak yang telah dikenal pasti bagi membolehkan kerajaan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa kepada golongan sasar. "Kerajaan negeri akan terus memberikan keutamaan dalam aspek perumahan termasuk rumah mampu milik di kawasan bandar memenuhi keperluan masyarakat pada masa akan datang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan