Utusan Online - Pahang |
- Elakkan akidah terpesong - MB
- Sentiasa pantau cegah penyakit berjangkit
- Lapan mangsa ribut terima bantuan
Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Oleh ALI MAHMOOD BENTONG 12 Ogos - Umat Islam diingatkan agar berpegang teguh kepada ajaran al-Quran, hadis dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk memastikan akidah mereka tidak terpesong daripada ajaran Islam sebenar. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, selain daripada pegangan tersebut adalah salah dan boleh memesongkan akidah mereka. "Kalau lain daripada al-Quran dan hadis Rasulullah, tidak ada disebut dalam al-Quran, tidak ada disebut dalam hadis tentang sesuatu perbuatan itu, jangan ikut. Ini pesan Rasulullah dan selagi berpegang kepada kedua-dua ini kita tidak akan sesat. "Jadi kita tidak faham kenapa ajaran yang menyeleweng dan sesat ada pengikut," katanya selepas menghadiri majlis kesyukuran bersama masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Masjid Sultan Ahmad Shah Simpang Pelangai di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut Adnan berkata, umat Islam kini menghadapi pelbagai cabaran serta dugaan dari dalam dan luar yang memerlukan umat Islam bersatu menghadapi cabaran tersebut. Beliau turut kesal terdapat kalangan mereka memperlekehkan ajaran Islam berlandaskan al-Quran dan hadis yang banyak memberi pengajaran serta panduan kepada umatnya. "Saya berharap mereka (umat Islam) yang sesat kembali ke pangkal jalan dan berpegang kepada ajaran al-Quran dan hadis. "Selama ini kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita tidak dapat menerima bagaimana orang boleh terima ajaran macam ini (selain al-Quran dan hadis)," ujarnya. |
Sentiasa pantau cegah penyakit berjangkit Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT KUANTAN 12 Ogos - Jabatan Kesihatan negeri sentiasa mengambil langkah memantau terhadap penyakit berjangkit sepanjang musim perayaan ini bagi mencegah merebaknya wabak yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai. Pengarahnya, Dr. Norhizan Ismail berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan di semua premis atau kawasan berisiko seperti di gerai makan, pusat beli-belah dan kediaman. Katanya, notis telah dihantar kepada semua hospital dan klinik di negeri ini supaya memaklumkan kepada jabatan jika terdapat kes berkaitan penyakit berjangkit. Menurut beliau, pihaknya tidak mahu terlepas pandang perkara berkaitan penyakit berjangkit kerana bagi langkah pencegahan adalah penting untuk memastikan tidak menjadi ancaman kepada orang awam. "Setiap individu berisiko dijangkiti penyakit demam denggi melalui yang disebarkan nyamuk aedes dan lebih buruk lagi mampu menjangkiti ramai orang jika tidak melakukan sebarang tindakan pencegahan. "Oleh itu, kita melaksanakan langkah insentif yang lebih menyeluruh untuk mengekang penyakit ini supaya tidak menular pada musim perayaan nanti," katanya kepada pemberita ketika melakukan operasi kesihatan dan nyamuk aedes di premis dan tapak projek sekitar bandar ini baru-baru ini. Operasi melibatkan 40 pegawai kesihatan serta kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tertumpu di kawasan perumahan berisiko tinggi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes seperti di Taman Union, Taman Pertama serta Taman Anda termasuk premis makanan dan tapak projek di sini. Norhizan berkata, penyakit seperti demam denggi mudah dijangkiti terutama pada musim perayaan apabila kebanyakan rakyat di beragama Islam pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri. Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya mengadakan pemeriksaan secara berkala di kediaman persendirian, kompleks kerajaan termasuk tapak projek pembinaan bagi memastikan semua pemilik mematuhi arahan dengan tidak membiarkan kawasan itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Selain itu, beliau meminta masyarakat bekerjasama dalam memerangi wabak berkenaan dan tidak meletakkan tanggungjawab itu di bahu kerajaan semata-mata. "Aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan dan taman permainan boleh dijadikan kegiatan riadah mingguan untuk menghalang penyebaran wabak denggi," katanya. |
Lapan mangsa ribut terima bantuan Posted: 12 Aug 2013 11:41 AM PDT Ahmad Nazlan Idris (lima dari kanan) bersama mangsa ribut Kampung Sempadan yang menerima bantuan kecemasan di pejabat Parlimen Jerantut, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. JERANTUT 12 Ogos - Sebanyak lapan mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut di Kampung Sempadan di sini pada 3 Ogos lalu menerima bantuan kecemasan dana bencana alam sebanyak RM4,000 yang disampaikan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris baru-baru ini. Kejadian ribut itu berlaku ketika umat Islam sedang melakukan persiapan juadah berbuka puasa menyebabkan kediaman mereka rosak akibat bencana tersebut. Sebanyak dua rumah penduduk rosak teruk di bahagian bumbung termasuk atap dan dinding manakala dua kereta juga rosak akibat dihempap bumbung. Enam rumah penduduk lagi mengalami kerosakan kecil dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Menurut Ahmad Nazlan, dua mangsa yang rumah dan kereta masing-masing mengalami kerosakan menerima bantuan kecemasan bernilai RM800, manakala selebihnya menerima RM400. "Kita membantu mangsa ribut di kampung itu dengan menghulurkan bantuan dana kecemasan buat permulaan bagi membaik pulih rumah masing-masing. "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini juga akan memberi bantuan selepas penilaian kerosakan dilakukan," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah mangsa ribut di kampung tersebut di sini. Menurutnya, kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran dialami mangsa berkenaan dan mereka perlu bersabar dengan dugaan itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan