Utusan Online - Utara |
Perlis kawasan selamat untuk bertugas Posted: 10 Aug 2013 10:10 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN KANGAR 10 Ogos - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri percaya penurunan pampasan kemalangan sehingga RM570,906.87 dari Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu mampu menjadikan Perlis kawasan selamat untuk bertugas. Pengarahnya, Mohd. Asri Mohd. Rasid berkata, ini berdasarkan jumlah keseluruhan faedah pampasan yang dibayar kepada orang terbencana di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak RM644,833.10 berbanding tempoh sama tahun tahun lalu sebanyak RM1,215,739.97. "Trend penurunan pembayaran keseluruhan faedah pampasan ini memberi gambaran baharu kemalangan di Perlis dapat dikurangkan terutamanya kemalangan yang terjadi sewaktu bekerja dan kemalangan sewaktu perjalanan pergi dan balik serta waktu rehat," katanya kepada pemberita di sini, semalam. Mohd. Asri berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 75 kes kemalangan sewaktu bekerja diproses berbanding 126 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Menurutnya, penurunan itu juga melibatkan bayaran faedah hilang upaya sementara iaitu pembayaran cuti sakit yang berkurangan sebanyak RM135,420.47. "Ini kerana jika dibandingkan pada Januari hingga Jun tahun lalu sebanyak RM324,779.93 telah dibayar pampasan berbanding tempoh sama tahun ini iaitu hanya RM189,359.46," katanya. Beliau berkata, trend penurunan kes kemalangan di kalangan pekerja itu disebabkan persepaduan daripada semua agensi sama ada kerajaan atau swasta terutama majikan-majikan yang mengambil berat terhadap kesedaran keselamatan. |
Pesawah terimatransformasi kerajaan Posted: 10 Aug 2013 10:10 AM PDT ALOR SETAR 10 Ogos - Penerimaan pesawah di negeri ini terhadap program transformasi kerajaan seperti di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) semakin baik berbanding semasa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ingin diwujudkan kira-kira 43 tahun lalu. Pengurus Besar MADA, Datuk Abdul Rahim Salleh berkata, perubahan sikap itu antaranya kerana pesawah mula menyedari program yang dilaksanakan membawa perubahan kepada mereka untuk mendapat taraf kehidupan lebih baik. Beliau memberi contoh, pada awal penubuhan MADA, dianggarkan sebanyak 72 peratus pesertanya berada di bawah paras kemiskinan, tetapi selepas 40 tahun lembaga itu beroperasi kadar kemiskinan dapat dikurangkan kepada satu peratus. "Ketika kerajaan hendak mewujudkan rancangan pengairan sekitar 1970-an, banyak tohmahan ditimbulkan dengan mempersendakan penanaman padi dua kali setahun seperti mengatakan hendak lawan kuasa Tuhan dan kain para petani pun tak sempat nak kering. "Tetapi kita dapat sangkal semua itu apabila sepanjang penubuhannya, MADA telah mencapai satu tahap membanggakan dan rancangan kita agak berjaya untuk mengubah nasib petani selain meningkatkan hasil pengeluaran padi," katanya di sini baru-baru ini. Abdul Rahim berkata, pihaknya mendapati pelaksanaan projek permulaan (EPP) 10 di bawah program NKEA dalam usaha menjana pendapatan tinggi di kalangan pesawah padi di negeri ini sejak dua tahun lalu, mendapat sambutan baik dalam kalangan pesawah. Kata beliau, peladang boleh bekerjasama dengan lebih baik berbanding dahulu walaupun masih wujud dakwaan pihak tertentu bahawa projek berkenaan menyusahkan petani. Dalam pada itu beliau berkata, sejak ditubuhkan bagi membantu dan membela nasib petani, MADA berjaya melakukan perubahan demi perubahan sehingga kawasan lembaga tersebut kini ditanam padi dua kali setahun. "Hasil pengeluaran padi berjaya ditingkatkan dan pendapatan pesawah juga bertambah sekali gus menyaksikan tahap keupayaan ekonomi mereka menjadi lebih baik berbanding dahulu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan