Ahad, 11 Ogos 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


PPDa pastikan negara bebas dadah

Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

Panel hakim bertanya sesuatu kepada seorang murid SK Desa Amanpuri dalam Majlis Prapenghakiman Bilik Sumber PPDa sekolah itu di Kepong, Selangor baru-baru ini.

Sekolah merupakan institusi penting dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada dadah justeru Kementerian Pendidikan sentiasa peka dan mengambil tanggungjawab dalam menjayakan strategi Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah (PPDa).

Antara strategi utama di bawah program PPDa termasuklah aktiviti pengurusan dan kepemimpinan, kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah di kalangan murid demi mencapai matlamat menjadikan negara bebas dadah pada tahun 2015 akan tercapai.

Pengenalan PPDa tercetus apabila pada Februari 1983, Jawatankuasa Kabinet Antidadah mengisytiharkan 'Dadah Musuh Utama Negara' dan susulan itu, Kementerian Pendidikan diberi tanggungjawab merancang dan melaksanakan program PPDa di sekolah dengan golongan sasaran merupakan murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa.

Dalam konteks ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Amanpuri, Kepong antara sekolah yang aktif menggiatkan program dan aktiviti PPDa sehingga terpilih sebagai satu daripada empat sekolah mewakili Selangor dalam pertandingan PPDa peringkat Kebangsaan pada September nanti.

Guru Besarnya, Azman Mohd. Aris berkata, bagi memperhebatkan cabaran itu, pihaknya menubuhkan sebuah bilik khusus mengandungi sumber PPDa bertujuan mendidik dan memberi pendedahan kepada murid mengenai gejala dan impak bahaya dadah.

Katanya, kemudahan bilik sumber tersebut akan dijadikan sebagai sebuah pusat rujukan berinovasi dan dilengkapi dengan maklumat berkaitan dadah.

"Persediaan pusat sumber khas mengenai PPDa ini sebagai platform dalam menyalur maklumat tentang dadah dan kesannya agar murid menerima pendedahan dan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan penggunaan bahan terlarang itu,'' kata beliau ketika ditemui dalam Prapenghakiman Bilik Sumber PPDa di sekolah itu baru-baru ini.

Menurut beliau, setakat ini, sekolah tersebut mempunyai 11 stesen PPDa terdiri daripada bilik rawatan dan bilik interaktif yang digunakan sepenuhnya oleh 458 murid sekolah itu di bawah program PPDa.

Azman memberitahu, setiap sudut SK Desa Amanpuri dilengkapi poster mengandungi keterangan grafik dan menceritakan mengenai impak serta bahayanya pengambilan dadah dalam kehidupan manusia.

Pada masa yang sama, ujarnya, pusat sumber terbabit turut dilengkapi sudut pandang dan dengar termasuk ruangan RnR yang bertujuan menguji minda murid melalui permainan.

"Hasil daripada pra-kehakiman ini, kami akan menambah baik stesen-stesen PPDa sedia ada agar lebih menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Jabatan Pelajaran," jelas beliau.

Amalan 5S tingkat pencapaian sekolah

Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT

Pelbagai kaedah diambil pihak pengurusan sekolah bagi memastikan sistem operasi pentadbiran dan pembelajaran di kalangan warganya berjalan lancar dan mencapai tahap terbaik.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti Berasaskan MS ISO 9000 menjadi keutamaan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran berkualiti di kalangan murid, guru dan kakitangan sekolah.

Menurut Guru Penolong Kanan Tadbir dan Akademik SK Seri Pristana, Mazlan Mohamad Mohsin (gambar), inisiatif tersebut diperkenalkan Guru Besar sekolah, Mohamad Nasir Mohd. Noor yang melihat perkembangan itu banyak dipraktikkan di beberapa sekolah terbaik.

"Program ISO ini banyak diguna pakai di sekolah berasrama dan sekolah kluster yang terbukti berkesan serta terbaik dalam meningkatkan pencapaian sekolah berkenaan.

"Namun, tujuannya diperkenalkan bukan sesekali mahu membebankan para guru tetapi hanya sebagai cadangan dengan meletakkan konsep di bawah ISO ini iaitu Sisih, Susun, Seragam, Sapu dan Sentiasa amal (5S) di setiap bilik darjah sebagai panduan kepada guru dan murid," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Konsep 5S ini, jelas beliau, sebagai penjana kecemerlangan dengan Sisih bermakna menyisih dan membuang barang yang tidak perlu; Susun bagi menyusun dan mencuci tempat kerja dengan rapi manakala Seragam untuk menyeragam atau memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa.

Di bawah konsep itu juga, Sapu merujuk kepada kerja-kerja menyapu dan mencuci tempat kerja dengan rapi.

Sentiasa Amal pula untuk berdisiplin dan melatih pekerja mematuhi peraturan dan bertabiat baik secara berterusan.

"Kita meletakkan poster 5S ini di setiap bilik darjah dan pejabat sekolah hanya sebagai panduan kepada guru dalam menambah baik kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka dan bukan semata-mata pengurusan sekolah mahu mendapat pensijilan ISO.

"Usaha ini secara tidak langsung memberi kita satu sistem kerja yang teratur dan sistematik kepada guru selain memudahkan operasi pentadbiran agar lebih terancang,'' tegasnya.

Sejak dipraktikkan Mac lalu, ujarnya, usaha ini telah menunjukkan hasil kerja yang positif misalnya berjaya mewujudkan sistem kerja operasi fail dan dokumen sekolah lebih teratur berbanding sebelumnya.

Pada masa yang sama, katanya, usaha itu membantu pengurusan sekolah dan guru memberi perkhidmatan secara bersistem apabila proses kerja didokumentasi dan boleh disemak, dirujuk dan dinilai semula keberkesanannya.

"Apa yang penting, kerja 5S ini mengutamakan pencapaian objektif kualiti dan memupuk sikap yang mementingkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan secara berterusan terhadap sistem kerja sedia ada," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved