Utusan Online - Sukan |
Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT LIN Dan (kanan) melihat keadaan kecederaan Lee Chong Wei sehingga pemain negara terpaksa menarik diri daripada perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Guangzhou, semalam. GUANGZHOU - Senario awal kelihatan seperti Datuk Lee Chong Wei yang terdesak untuk memburu gelaran dunia pertama, namun hakikat sebenarnya berbeza kerana tuan rumah yang terdesak hendakkan Lin Dan menang sehingga melakukan taktik kotor asalkan ia berpihak kepada bintang mereka itu. Selepas dimalukan dalam perseorangan wanita dan beregu campuran ekoran kekalahan dua bintang No. 1 dunia, Li Xuerui serta Xu Chen-Ma Jin, tuan rumah cuba memastikan nasib yang sama tidak menimpa Lin Dan. Chong Wei jelas menguasai permainan ketika menang set pertama 21-16 tetapi pendingin hawa di Gimnasium Tianhe tiba-tiba ditutup di set kedua dan keadaan panas serta tidak berangin itu merubah sepenuhnya perjalanan perlawanan. Permainan Chong Wei bukan saja mula tidak menjadi akibat angin yang tiba-tiba hampir tiada, malah bahang serta masalah pengudaraan menyebabkan dia mengalami kekejangan di kedua-dua belah paha akibat penghidratan. Chong Wei, 30, meminta rawatan pada kedudukan 16-19 di set ketiga dan cuba menyambung permainan, namun dia tidak mampu bergerak pada kedudukan 17-20 untuk menghadiahkan kejuaraan kelima buat Lin Dan yang menang 16-21, 21-13-, 20-17. "Kalah tetap kalah, kami boleh terima kekalahan tetapi yang menimbulkan pertikaian saya mengapa pendingin hawa tiba-tiba dipadamkan di set kedua. Keadaan menjadi terlalu panas, hampir tiada oksigen dan pemain tidak boleh bernafas. "Ini menyebabkan Chong Wei mengalami penghidratan. Sebelum turun gelanggang lagi, Lin Dan sudah memiliki kelebihan fizikal, semalam (kelmarin) Chong Wei diberikan waktu permainan yang amat lewat dan perlawanannya (mengalahkan Du Penyu, tiga set) berakhir pada jam 11 malam. "Lin Dan sebaliknya berehat enam jam lebih awal daripada Chong Wei kerana bermain petang. Semua ini, memberi kesan, ditambah dengan keadaan stadium yang amat tidak sihat untuk pemain," kata jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock. Bukan Seu Bock saja yang mengemukakan bantahan kepada penganjur sebaik sahaja keadaan stadium tiba-tiba bertukar seperti dalam ketuhar, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) juga mempertikaikan perkara itu. Malangnya penganjur mendakwa, mereka tidak punya kuasa kerana akses mengawal pendingin hawa stadium dipegang oleh bahagian lain, alasan yang langsung tidak masuk akal. Penamat Kejohanan Dunia kali ini memang amat malang buat Chong Wei kerana selepas berkerja keras selama beberapa bulan, dia terpaksa melupakan kejuaraan dunia pertamanya dengan cara yang sangat kejam. Chong Wei tidak dapati menaiki podium untuk menerima pingat semalam kerana digegaskan ke Hospital 12 di Guangzhou, sejurus tamat permainan. Semua penonton di stadium berdiri memberi penghormatan kepada jaguh No. 1 dunia itu ketika dia diusung keluar meninggalkan stadium. - Utusan |
Amri tenggelamkan bintang Barca Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI Amri Yahyah (dua dari kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan menentang Barcelona di Stadium Shah Alam, kelmarin. KUALA LUMPUR - Penonton yang menyaksikan perlawanan persahabatan Malaysia-Barcelona kelmarin mungkin sudah terlupa aksi bintang Barcelona seperti Xavi dan Andreas Iniesta tetapi jaringan tunggal pemain kebangsaan, Amri Yahyah pasti terus menjadi bualan hangat. Amri sekali lagi 'buat perangai' dan menjadi duri dalam daging kepada Barcelona apabila menjaringkan gol pada minit ke-33 menewaskan penjaga gol, Victor Valdes menerusi rembatan deras dari luar petak penalti. Gol tersebut gagal membantu Malaysia mencatat kemenangan apabila kalah 1-3 tetapi sebagai seorang pemain dapat mencatat nama sebagai penjaring bertemu kelab ternama Eropah dan menewaskan penjaga gol serta pertahanan kelas dunia ia adalah sesuatu istimewa. Mengulas jaringan itu kata Amri: "Gol yang saya jaringkan ini adalah untuk semua, ia memberi semangat kepada pemain supaya bangkit dalam perlawanan seterusnya dan berharap jangan lalai. Teruskan perjuangan kerana masih jauh lagi perjalanan kita. "Kami menggunakan kesempatan mencuri jaringan menerusi serangan balas, kelekaan pertahanan Barcelona terutama ketiadaan dua pertahanan kanan dan kiri membolehkan saya menggunakan peluang untuk menghasilkan jaringan," katanya. Sementara itu, jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal memuji corak permainan anak didiknya apabila Harimau Malaya menyekat Barcelona daripada berpesta gol. Menurutnya, berjaya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan Barcelona menunjukkan pemain banyak belajar daripada kesilapan khususnya ketika kalah teruk dalam aksi persahabatan dengan kelab Jepun, baru-baru ini. "Saya bangga dengan persembahkan pemain walaupun kita melepaskan gol pertama yang agak mudah namun ia menyuntik semangat pemain untuk bangkit. "Akhirnya kita memperolehi jaringan menerusi serangan balas pantas melalui Amri Yahyah. Separuh masa kedua kita mahu melakukan perkara yang sama tetapi bukan mudah untuk bertahan sahaja," katanya. Rajagobal berkata, memang ada yang membuat ramalan mereka akan dibelasah tetapi dia lebih senang untuk memuji pemainnya yang bekerja keras dan mengakui mereka telah mendapat belajar sesuatu selepas pulang dari siri perlawanan persahabatan di Jepun bulan lalu. "Walaupun kita kalah besar di Jepun tetapi kita dapat mempelajari sesuatu di sana, tidak ada yang menjangkakan kita dapat mencatat keputusan seperti ini menentang Barcelona. Secara keseluruhannya mungkin kita boleh mencatat keputusan kalah tipis 1-2 atau seri 2-2," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan