Ahad, 11 Ogos 2013

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Santai bersahur atas puncak Broga

Posted: 09 Aug 2013 09:38 AM PDT

Bersahur sambil makan angin di atas puncak bukit Broga memang menyelerakan si pendaki yang sudah kepenatan.

RAMADAN 1434 Hijrah baru sahaja melabuhkan tirainya. Tentu banyak kenangan menarik mahupun mencabar yang akan diingati selagi hayat dikandung badan. Antara kenangan itu adalah bersahur di puncak bukit Broga.

Bagi penggemar rekreasi lasak seperti mendaki gunung dan merentas hutan, ibadah berpuasa yang dijalani bukanlah penghalang kepada mereka untuk terus aktif beraktiviti.

Di samping dapat mengekalkan kecergasan diri, aktiviti lasak pada bulan Ramadan juga boleh melatih diri pendaki agar lebih bersabar dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang.

Lebih daripada itu, pendaki dapat mendekati alam semula jadi yang menghijau tanpa perlu berehat selama sebulan.

Bagi pendaki tegar, setiap halangan atau rintangan yang dihadapi seperti hujan dan sebagainya ketika di tengah rimba atau gunung, menjadikan mereka lebih bersemangat dan kental untuk mencapai kejayaan.

Semangat dan komitmen yang tinggi untuk mengatasi sebarang rintangan memberikan keseronokan terutama ketika berada di atas puncak bukit ataupun gunung.

Adalah biasa bagi pendaki tegar akan melakukan aktiviti riadah dengan mendaki bukit atau gunung pada malam hujung minggu dan bersahur di puncak sebelum turun kembali untuk berehat.

Baru-baru ini, sekumpulan pendaki sebanyak 20 orang dari sekitar Lembah Klang telah melakukan pendakian secara santai untuk bersahur di puncak Broga.

Sebaik tiba dengan kenderaan masing-masing di kaki bukit Broga pada pukul 1 pagi, mereka terus menggalas beg masing-masing, meredah laluan mendaki sambil ditemani bunyi cengkerik.

Hanya kilauan lampu suluh menyinari laluan mendaki menuju ke puncak bukit setinggi 400 meter.

Selepas setengah jam berlalu, kesemua pendaki tiba di kawasan puncak dan masing-masing mengeluarkan juadah. Ada juga memasang khemah bagi mengelakkan terdedah pada embun pagi.

Selepas berehat selama setengah jam di kawasan puncak Broga, dapur dinyalakan untuk memasak air, sementara pendaki lain secara bekerjasama mengeluarkan pelbagai menu dari beg galas masing-masing untuk dipanaskan.

Antaranya adalah roti boom, mee goreng, murtabak, nasi goreng dan sebagainya.

Suasana bersahur cukup meriah, ditambah pula dapat menikmati kopi dan teh panas yang membantu mengurangkan sedikit rasa dingin pagi.

Apabila jam menunjukkan pukul 4.30 pagi, semua pendaki mula berkemas dan membuat persiapan untuk turun.

Tepat pukul 5 pagi, seorang demi seorang mula melangkah meninggalkan puncak Broga dan tiba di kaki bukit pukul 5.30 pagi untuk pulang ke rumah masing-masing.

- SYAHRIL/MOHD. NOOR MAT AMIN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved