Sabtu, 17 Ogos 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tiada alasan jika gagal

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah tidak dapat menerima apa juga alasan daripada ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sekiranya skuad Harimau Malaya gagal melepasi Kelayakan Piala Asia 2015 yang kembali bersambung 15 Oktober ini.

Titah baginda, layak ke pusingan akhir Piala Asia akan kekal menjadi tanda aras pencapaian skuad kebangsaan kerana peluang sudah banyak diberikan kepada pengurusan pasukan dalam membuat persediaan termasuk menentang tiga kelab Jepun, bulan lalu yang dikecam hebat pelbagai pihak kerana kalah teruk tanpa membalas satu gol pun.

"Pasukan kita tiada pilihan kecuali memenangi sekurang-kurangnya dua perlawanan tempat sendiri (Kumpulan D Kelayakan Piala Asia), menentang Bahrain (15 Oktober) dan Qatar (19 November) untuk layak ke pusingan akhir (di Australia)," tegas Sultan Ahmad dalam titah ucapan pembukaan Kongres Tahunan Ke-49 FAM di sini, semalam.

Skuad Rajagobal ditewaskan Qatar 2-0 (di Doha, 6 Februari lalu) dan mengalahkan Yemen 2-1 (Shah Alam, 22 Mac lalu) untuk mengumpul tiga mata di tangga ketiga Kumpulan D akan menghadapi Bahrain (di Manama, 15 November) dan Yemen (di tempat lawan Mac tahun depan).

Baginda sebaliknya melahirkan rasa puas hati dengan persediaan skuad bawah 23 tahun negara, Harimau Muda A yang diterajui Ong Kim Swee dari 16 Mac hingga 30 Julai lalu di Slovakia bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

"Beta berpuas hati dengan persiapan mereka (di Slovakia) dan mahukan perjuangan mereka diteruskan untuk memenangi pingat emas kali ketiga berturut-turut (selepas Sukan SEA Laos 2009 dan Indonesia 2011)," titahnya.

Sementara itu Sultan Ahmad Shah juga mengingatkan semua pasukan dalam Liga Malaysia supaya memastikan pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan pemain mereka, dilunaskan tepat pada masanya.

Baginda melahirkan kebimbangan apabila gara-gara ketidakcekapan pengurusan pasukan ini, banyak penaja enggan lagi melaburkan sumbangan mereka dalam pembangunan bola sepak tempatan.

Bakal digantung seumur hidup

Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah menyentuh iPad pada pelancaran Sesi Pengenalan Laman Web Baharu FAM sebelum Kongres badan induk bola sepak negara itu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Pemain, pegawai dan persatuan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh dikenakan penggantungan seumur hidup daripada aktiviti bola sepak sekiranya terus mengemukakan pertikaian mereka ke mahkamah tanpa merujuk atau melalui proses dalaman badan induk bola sepak negara itu terlebih dulu.

Hak Presiden, Setiausaha Agung dan mana-mana pegawai yang dibenarkan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM memberikan kenyataan akhbar pula diperluaskan dengan syarat tertentu asalkan tidak digunakan sebagai medan untuk mengecam penyandang jawatan lain atau pihak tertentu dalam FAM.

Dua perkara itu merupakan pindaan pada Artikel 68 dan 88 Statut FAM yang diluluskan pada Kongres Tahunan Ke-49 badan induk itu di sebuah hotel di sini, semalam yang turut dihadiri Presidennya, Sultan Ahmad Shah.

Kata Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah: "Sebelum ini Artikel 68 tidak menyatakan apakah kesannya jika pertikaian dibawa terus ke mahkamah.

"Pindaan ini menyatakan tindakan (penggantungan) boleh diambil jika kes contohnya kontrak pemain, tidak menggunakan semua saluran yang dibenarkan di FAM terlebih dulu (melapor kepada FAM, Jawatankuasa Status Pemain dan Rayuan dan sebagainya).

"Mahkamah hanya boleh digunakan sebagai saluran terakhir sekiranya semua proses dalaman FAM gagal diselesaikan. Namun jika sudah digantung, ruang masih ada buat mereka dan hanya Kongres FAM (setiap tahun) yang boleh menimbangkan kes rayuannya," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan FAM, semalam.

Mengenai Artikel 88 yang sebelum ini mengakibatkan penggantungan ramai tokoh FAM dan bola sepak negeri seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kata Afandi, pindaan itu menjadikan kebenaran kenyataan akhbar itu bersifat lebih terbuka dengan butiran garis panduannya bakal diedarkan kepada semua ahli gabungan, tidak lama lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin mengumumkan projek pembinaan kompleks baharu FAM di atas tanah seluas 15 ekar di Putrajaya, berdekatan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dalam tempoh tiga tahun dari sekarang di samping empat ekar lagi bagi menempatkan ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

"Minggu depan Tuanku Presiden dan ahli Exco akan melawat tapak cadangan. Anggaran kos pembinaannya belum dapat dipastikan tetapi FAM mempunyai dana persediaan sebanyak RM35 juta untuk membangunkannya," katanya mengenai projek Visi Kota Bola Sepak dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya itu yang turut akan memiliki padang dan pusat akademi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved