Utusan Online - Pahang |
Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT Oleh SALEHUDIN MAT RASAD Adnan Yaakob (empat dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sambil diperhatikan Shahaniza Shamsuddin (empat dari kanan) dalam pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Jam Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, kelmarin. - MINGGUAN/AHMAD ZAKKI JILAN MARAN 17 Ogos - Rakyat negeri ini digesa menyemarakkan semangat patriotisme dengan mengibar Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 tahun ini. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, aktiviti sepanjang Bulan Kemerdekaan memberi ruang kepada rakyat bersatu padu tanpa pengaruh fahaman politik dengan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang tanda cinta terhadap negara. Tegasnya, Jalur Gemilang adalah identiti bangsa yang patut dibanggakan, dihargai serta dipertahankan daripada sebarang unsur penghinaan dan provokasi. ''Jalur Gemilang adalah milik rakyat Malaysia tulen yang mengaku negara ini tanah tumpah darahnya dan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha menjatuhkan maruah negara bangsa. ''Usaha mengibarkan bendera Malaysia perlu dilakukan oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik, agama, budaya dan latar belakang sosial,'' katanya ketika berucap dalam pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Dataran Jam Bandar Tun Abdul Razak Jengka, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail. Adnan berkata, rakyat perlu proaktif dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang yang akan dibekalkan secara percuma untuk kenderaan, premis perniagaan, pejabat dan rumah kediaman. Tambahnya, semangat patriotik rakyat perlu diserlahkan kerana Malaysia merupakan negara terbaik untuk didiami dan dikunjungi. ''Kita patut berasa megah menjadi rakyat negara ini yang aman makmur, maju dan bergerak seiring dengan kemajuan sejagat,'' katanya. Beliau turut mengingatkan tanggungjawab besar rakyat mempertahankan perpaduan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang untuk diwariskan kepada generasi anak cucu. "Usaha memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi muda diharap dapat menyedarkan mereka betapa pentingnya semangat tersebut bagi mengharungi cabaran yang akan datang," katanya. |
Tingkatkan kualiti pendidikan Islam di sekolah Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT Ismail Abdul Muttalib (tengah) memotong kek dalam majlis ramah mesra Aidilfitri anjuran MGPIB Pahang di Maran, kelmarin. MARAN 17 Ogos - Kualiti pendidikan Islam di peringkat sekolah dapat dicapai melalui pengurusan cemerlang yang mampu menghasilkan modal insan berilmu, beriman dan berakhlak mulia. Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, kecemerlangan itu mampu dilaksanakan melalui Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan yang menjadi peneraju dalam perkara tersebut bagi menghadapi cabaran global masa kini. Menurut beliau, antara aspek perlu ditekankan ialah pengurusan pentadbiran, perkhidmatan, kewangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilaksanakan dengan cekap serta berkesan dalam persekitaran kerja yang kondusif. "Di samping itu, pelaksanaan program dakwah dan kepimpinan dapat mengembangkan syiar Islam kepada rakyat, sekali gus mengukuhkan lagi rasa kecintaan terhadap Islam,'' katanya berucap dalam majlis ramah mesra Aidilfitri anjuran Majlis Guru Pendidikan Islam Berjawatan( MGPIB) Pahang di Dewan Ibnu Sina Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Jengka, di sini semalam. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Abdullah Md. Shah. Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, bahagian itu perlu perlu memperkasakan mata pelajaran Pendidikan Islam kerana akan melahirkan rakyat bersatu padu dan mencintai negara bangsa. Tambahnya, guru yang mengajar mata pelajaran tersebut perlu bertekad untuk memberi perkhidmatan berkualiti melalui usaha bersepadu. "Rakyat akan dapat disemaikan dengan semangat patriotik tinggi terhadap negara serta mempertahankannya demi maruah bangsa dan agama Islam,'' katanya. Katanya, perpaduan dan semangat persaudaraan Islam menjadi pendinding terhadap gejala permusuhan sesama sendiri seperti yang berlaku di Mesir, Syria dan Iraq. "Kejadian pembunuhan sesama sendiri amat menyedihkan kerana menjejaskan imej dan maruah Islam yang dihormati dunia sebelum ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan