Utusan Online - Rencana |
Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT Oleh Ku Seman Ku Hussain Rakyat Mesir memilih mengadakan demonstrasi bagi menjatuhkan kepimpinan Hosni Mubarak pada 2011 (kiri) dan menyokong tindakan tentera merampas kuasa pada awal bulan lalu sekaligus menjatuhkan kepimpinan Presiden Mohammed Mursi, bagaimanapun ia akhirnya membawa kesengsaraan kepada mereka apabila hampir 3,000 dibunuh secara kejam oleh pihak berkuasa. Statistik terbaru menunjukkan lebih 3,000 orang awam dibunuh di Mesir. Mereka dibunuh oleh tentera kerajaan yang dibiayai oleh Amerika Syarikat (AS) kerana menuntut demokrasi ditegakkan. Pertumpahan darah ini wajar dijadikan renungan supaya rakyat jangan mudah terpedaya dengan demokrasi yang dijaja oleh pihak berkepentingan. Renunglah yang tersirat daripada yang tersurat. Mohammed Mursi dari Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya pada Jun tahun lalu bukanlah pilihan AS. Maka kemenangan itu tidak akan bertahan lama dan Mursi dijatuhkan kononnya atas kehendak rakyat. Inilah akibatnya apabila membiarkan kuasa asing seperti AS menentukan hala tuju politik sesebuah negara. Malah agensi media Barat seperti sepakat menyiarkan angka korban yang jauh kecil daripada sebenarnya. Ini bertujuan menutup tindakan melampau tentera Mesir kerana AS ada penglibatannya. Tetapi statistik oleh Ikhwanul Muslimin menunjukkan lebih 3,000 orang berbanding agensi berita Barat tidak sampai 1,000 orang. Mursi dipenjara dan hingga kini belum dibebaskan. Tentera mengambil tindakan drastik menggempur penyokong Mursi dengan peluru hidup. Di negara kita, polis hanya menggunakan meriam air. Tetapi digambarkan oleh puak tertentu sebagai tindakan paling tidak berperikemanusiaan." Dalam pilihan raya Jun tahun lalu, Mursi memenangi 52 peratus undi. Tetapi sebenarnya hanya mendapat sokongan satu perempat daripada 50 juta rakyat Mesir yang layak mengundi. Bagi Mesir, jatuhnya diktator Hosni Mubarak bukanlah berakhir konflik politik yang membelenggu negara itu. Mubarak diibaratkan tayar lama yang sudah tidak diperlukan lagi. Tetapi tayar baharu mesti dari jenama yang sama. Banyak pihak melihat kejatuhan Mubarak sebagai hasil kebangkitan rakyat. Secara tersurat rakyatlah yang menukar rejim Mubarak kepada pemimpin yang dipilih menerusi sistem yang demokratik. Tetapi yang tersiratnya, gerakan menjatuhkan Mubarak dipersiapkan oleh AS sejak 2008 lagi. Kejatuhan Mubarak tidak ada kena mengena dengan kebangkitan rakyat yang dicanang-canangkan itu. Malah istilah Arab Spring itu sengaja dicipta supaya kelihatan keterlibatan rakyat di negara-negara Asia Barat menentukan masa depan mereka sendiri. Buktinya pada 2008 aktivis gerakan massa dari Mesir berhimpun di New York pada pelancaran Alliance of Youth Movement (AYM). Sebenarnya banyak yang tidak tahu kewujudan AYM dan peranannya dalam menentukan agenda AS di Mesir. Ini adalah perkakas AS untuk menggerakkan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak, sekutu AS yang sudah tidak diperlukan lagi. Tugas AYM bukan sahaja menjatuhkan Mubarak tetapi mana-mana pemimpin yang bertentangan dengan dasar AS. Jaringan Apa itu AYM? Ini sebuah organisasi yang melibatkan aktivis massa bergerak secara terancang dalam talian dan mencatatkan sejarah sebagai yang pertama pada abad ke-21. Jabatan Negara AS berganding dengan gergasi dalam media sosial seperti Facebook, Howcast, MTV, Google dan Youtube menggerakkan AYM dengan menggunakan generasi muda untuk mencetuskan gerakan massa. Menerusi AYM strategis AS memberikan latihan kepada aktivis massa untuk menggunakan media sosial bagi meluaskan jaringan di peringkat antarabangsa. Malah AYM dan para aktivis diberi akses langsung dengan Jabatan Luar Negara AS. Sebenarnya pada pasca Mubarak, nama Mursi berada jauh di belakang. Malah tidak ada dalam senarai pengganti Mubarak kerana ada beberapa nama lain yang mempunyai hubungan dengan AS lebih ditonjolkan. Antaranya Mohamed El Baradei yang mempunyai jaringan antarabangsa yang kuat malah sekutu rapat AS. Tetapi siapakah El Baradei? El Baradei adalah salah seorang ahli pemegang amanah International Crisis Group (ICG), sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh AS dan dibiayai oleh George Soros menerusi National Endowment for Democracy (NED). Tetapi dalam pilihan raya, El Baradei tidak mendapat sokongan dan terpaksa mengalah kepada Mursi. Orang begini dipergunakan oleh AS untuk menguasai Mesir dari jauh. Kerana itu faktor AS memang tidak dapat dipinggirkan apabila berhujah tentang kemelut politik Mesir yang semakin tenat. Sebenarnya penglibatan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak hanya kerja sia-sia kerana AS mempunyai perancangan siapa yang akan menggantikan Mubarak, bukannya ditentukan oleh rakyat Mesir. Kerana itu pergolakan yang berlaku di Mesir malah beberapa negara Asia Barat bukan kebangkitan rakyat. Tetapi rakyat hanya digerakkan supaya bangkit oleh aktivis massa yang dipimpin oleh AS tetapi berselindung di sebalik kebangkitan rakyat menuntut demokrasi. Lihat apakah tindakan luar biasa AS untuk membendung pembunuhan beramai-ramai di Mesir? Walaupun Presiden Barack Obama membayangkan akan menangguhkan latihan ketenteraan bersama Mesir tetapi AS terus menyalurkan dana kepada tentera. Dana ini yang digunakan untuk membunuh penyokong Mursi baru-baru ini. Tentera mempunyai banyak pendekatan lain untuk menyuraikan demonstrasi penyokong-penyokong Mursi. Melancarkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak bersenjata adalah sama dengan serangan AS terhadap beberapa negara yang dianggap sarang pengganas. Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah pentingnya Mesir kepada AS berbanding negara lain yang lebih kaya hasil buminya. Jawapannya Mesir memang sangat strategik baik dari segi geoekonomi maupun geopolitik. Selain mempunyai kedudukan yang strategik untuk memainkan peranan penting di dunia Arab, Mesir juga strategik bagi negara-negara di Afrika. Mesir merupakan jambatan yang baik dari sudut geografi, sosial, ekonomi, dan etnik. Kerana itu Mesir sangat penting sebagai negara transit untuk menguasai Asia Barat dan Afrika. Cara AS menguasai Mesir adalah menguasai tenteranya dan memastikan Presiden Mesir dalam kalangan pemimpin tentera. Malangnya Mursi kerana beliau bukan pemimpin tentera tetapi teraju pergerakan Islam yang memberi ancaman kepada Barat. |
Posted: 17 Aug 2013 10:17 AM PDT CEC hantu Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Akhirnya DAP terpaksa akur untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) setelah mengambil pendirian berdegil berbulan-bulan cuba menafikan penyelewengan dan manipulasi dalam pemilihan tersebut. Maka semakin terbukti siasatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa pemilihan CEC yang dilakukan pada Disember 2012 itu tidak sah dan terbatal. Ini ekoran aduan ahli-ahli antaranya berhubung isu 753 perwakilan yang layak mengundi tidak diberikan notis untuk hadir dan manipulasi kiraan undi CEC yang dianggap tidak masuk akal. Hakikatnya, ROS adalah di pihak yang benar dan ahli-ahli yang membuat aduan juga di pihak yang benar walaupun sebelum ini ditohmah oleh sebahagian pemimpin DAP yang takut pekung mereka terdedah. Awang berharap DAP terutama Setiausaha Agung, Lim Guan Eng memohon maaf kepada ROS atas apa yang berlaku. Begitu juga kepada seluruh perwakilan dan ahli DAP sebagai mengambil tanggungjawab kepada kepincangan dan kelemahan yang sangat memalukan dalam sejarah parti tersebut. Bapanya, Lim Kit Siang yang berkuasa dalam parti itu sejak 1968, boleh menangis sekali lagi jika perlu sebagaimana drama lakonannya untuk meraih simpati masyarakat Cina sebelum PRU-13. Hakikatnya sekali lagi, inilah wajah sebenar parti yang kaum Cina sokong. Apakah majoriti kaum Cina tertipu atau sengaja mahu ditipu dengan gambaran palsu bahawa DAP kononnya berintegriti dan demokratik? Awang mencadangkan dalam pemilihan semula CEC itu nanti, DAP wajar mendapatkan khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini mereka fitnah dan buruk-burukkan. Kemampuan SPR telah diiktiraf oleh badan pemerhati antarabangsa dan negara-negara luar termasuk kuasa besar. Janganlah malu untuk belajar daripada SPR. Awang makin faham mengapa DAP terutama melalui tentera sibernya, Red Bean Army melakukan banyak fitnah dan tohmahan antaranya isu 40,000 pengundi haram warga Bangladesh pada PRU-13 sehingga berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat. Fitnah itu dan banyak lagi, ternyata tidak benar. Gelombang serangan ke atas SPR itu dilakukan dengan strategi pre emtif bagi menutup penyelewengan dalam pemilihan CEC. Kini tembelang DAP sudah pecah. Maka pemilihan semula CEC perlu diadakan bagi membersihkan yang kotor dan membetulkan yang salah. Bagai ayam kokok berderai-derai, ekor bergelumang najis. Awang ingin mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli dan aktivis yang bangkit membongkar salah laku itu walaupun menerima tekanan hebat. Kini tiada apa yang DAP boleh sembunyikan. Makin terbukti bahawa seluruh penyandang jawatan CEC sekarang adalah tidak sah dan terbatal. Mereka adalah penyandang jawatan haram atau hantu, yang status tersebut boleh mengundang banyak lagi persoalan baharu selepas ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan