Ahad, 18 Ogos 2013

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Kembara Air terjun Jerangkang

Posted: 17 Aug 2013 06:29 AM PDT

PAHANG Darul Makmur amat terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang sering dijadikan port lepak buat pencinta alam.

Malah lebih mengujakan negeri itu memiliki banyak air terjun yang cantik dan mampu menarik kunjungan ramai termasuk penggemar rekreasi jelajah hutan.

Mana tidaknya, lihat sahaja lokasi air terjun yang terdapat di negeri itu seperti Air Terjun Berkelah, Air Terjun Jerangkang, Air Terjun Teladas dan Air Terjun Lubuk Yu di Maran; Air Terjun Sungai Pandan di Kuantan; Air Terjun Pelangi di Sungai Lembing; Air Terjun Chamang dan Air Terjun Sungai Perting di Bentong serta Lata Jarum, Lata Berembun dan Air Terjun Pulau Chekas di Raub. Kesemua air terjun itu memiliki tarikan tersendiri sehingga mampu menggamit pengunjung pada setiap hujung minggu.

Sudah tentu lokasi air terjun yang menarik itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh mereka yang berjiwa kembara. Mereka pasti pernah menjejakkan kaki ke salah satu atau beberapa daripada air terjun berkenaan.

Sebahagian besar air terjun itu hanya boleh dimasuki dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) ataupun berjalan kaki selama satu atau dua jam dengan meredah laluan hutan.

Dalam kesemua air terjun tersebut, penulis beranggapan Air Terjun Jerangkang di Maran lebih istimewa.

Keistimewaan itu membuatkan penulis dan tujuh rakan lain meluangkan masa untuk beriadah di air terjun tersebut baru-baru ini.

Kami menaiki tiga buah kereta dari Kuala Lumpur dengan menyusuri Lebuh Raya Pantai Timur menuju ke Maran. Seawal subuh, kami tiba di Masjid Kampung Gelugor. Dari situ, kami menggunakan perkhidmatan jentera 4x4 yang disediakan oleh penduduk sekitar untuk masuk ke kawasan air terjun.

Ada juga kumpulan penggemar rekreasi memilih untuk menaiki lori yang boleh memuatkan lebih banyak penumpang.

Perjalanan masuk ke tapak perkhemahan di Air Terjun Jerangkang membawa kami merentasi kawasan ladang getah dan hutan belantara.

Selepas mengharung perjalanan hampir satu setengah jam, kami pun sampai di lokasi yang ditujui.

Tanpa membuang masa, kami berjalan dan mendaki anak tangga menuju ke kawasan tapak perkhemahan selama hampir 30 minit. Laluan jalan berbatu turut diredah.

Sepanjang perjalanan itu, kami disajikan dengan pemandangan air terjun bertingkat yang dipenuhi dengan pelbagai khazanah alam semula jadi yang sungguh unik.

Dianggarkan ketinggian tapak perkhemahan ini adalah sekitar 395 meter (1,185 kaki) dan setibanya di kawasan perkhemahan, kami terus memilih lokasi yang sesuai untuk mendirikan khemah.

Mujurlah ketika kami berkunjung ke sana, tidak ramai pengunjung lain sekali gus memudahkan kami memilih tapak perkhemahan yang paling strategik dengan sumber aliran air.

Setelah khemah siap dipasang, kami menyediakan juadah makan tengah hari iaitu nasi putih, sambal sardin, telur dadar dan ayam goreng.

Selesai menjamu selera, acara paling ditunggu-tunggu pun bermula. Dimulai dengan aksi terjun tiruk, kami kemudian berenang dalam kejernihan air yang pastinya memukau setiap mata yang memandang. Kami mandi-manda dengan sepuas hati.

Menariknya di lokasi ini, selain menjanjikan kepuasan dengan suasana sekeliling yang damai, air terjun yang mengalir jernih itu juga menyimpan spesies ikan yang banyak.

Sambil bermain air, kami tertarik dengan kehadiran anak ikan yang bermain-main di kawasan kami berenang dan mandi-manda.

Ikan-ikan yang terdapat di situ agak jinak dan kami juga berpeluang memegangnya dengan tangan.

Setelah penat berenang, kami mengambil kesempatan untuk menerokai kawasan sekitar.

Boleh dikatakan keindahan Air Terjun Jerangkang sangat mengasyikkan, apatah lagi suasana sekitar dimeriahkan lagi dengan nyanyian unggas yang amat menghiburkan.

Terpesona dengan aliran sungai yang jernih serta kewujudan flora dan fauna yang unik seperti anggerik hutan, cendawan dan periuk kera, kesemua itu sangat menenangkan jiwa kami.

Suasana sekitar pada waktu malam bertukar wajah setelah sang purnama menjelma. Mana tidaknya, waktu malam kami lebih meriah kerana unggas hutan semakin galak menghiburkan kami dengan pelbagai bunyi-bunyian yang begitu merdu.

Penerokaan selama tiga hari dua malam di lokasi ini meninggalkan 1,001 kenangan kepada kami kerana Air Terjun Jerangkang memiliki keunikan tersendiri yang pastinya tidak terdapat di lokasi lain. - SYAHRIL

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved