Ahad, 18 Ogos 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Manfaatkan rumah terbuka

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanktn@gmail.com

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) memberi duit raya sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong, Bera, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/Ali Mahmood

BERA 18 Ogos - Kemeriahan Rumah terbuka Aidilfitri perlu dimanfaatkan supaya menjadi wadah dalam memupuk semangat perpaduan sesama umat Islam serta rakyat daripada pelbagai kaum dan agama.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan itu perlu dimanfaatkan supaya perpaduan yang dibina sejak negara mencapai kemerdekaan tidak dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab semata-mata untuk meraih kepentingan politik.

Menurutnya, perpaduan dalam kalangan rakyat hampir tergugat apabila pihak terlibat menyebarkan pelbagai fitnah menerusi media sosial sepanjang masa sebelum pilihan raya umum lalu.

''Fitnah yang disebarkan pihak terbabit telah mempengaruhi segelintir rakyat dengan memberikan gambaran kononnya kerajaan sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) berlaku tidak adil, zalim, menindas rakyat dan rasuah.

''Bagaimanapun, BN masih berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu apabila sebahagian besar rakyat masih menaruh kepercayaan dan memilih kerajaan sedia ada kerana yakin pembangunan serta perpaduan dapat diteruskan bagi meneruskan kesinambungan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong semalam dan dihadiri lebih 20,000 penduduk pelbagai kaum di daerah ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman dan ADUN Guai, Nurol Azali Sulaiman.

Pada majlis itu, Ismail yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mengedarkan Jalur Gemilang.

Menurut Ismail Sabri, penduduk daerah ini perlu mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan sebagai tanda bersyukur serta bangga menjadi rakyat negara ini.

''Pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada Mac lalu perlu dijadikan pengajaran supaya kita sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara dengan cara mengeratkan perpaduan.

''Menerusi perpaduan kukuh adalah sukar bagi penceroboh selain kekuatan pasukan keselamatan yang sedia berkorban dan menggadai nyawa bagi melaksanakan tanggungjawab mereka melindungi negara ini," katanya.

Persatuan berusaha pindahkan makam Tok Gajah ke Jerantut

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

Zulkifli Mohamad (duduk, lima dari kanan) bersama waris keturunan Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau selepas mesyuarat persatuan tersebut di Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 18 Ogos - Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau berusaha untuk memindahkan makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu ke Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan bagi menempatkan semula makam tersebut di kampung asalnya berdekatan dengan makam anaknya, Mat Kilau di Kampung Kedondong yang kini digazetkan sebagai Kota Warisan.

Menurutnya, Tok Gajah yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu Shahrum merupakan Orang Besar Raja Pahang meninggal dunia pada 1901 dan dikebumikan di Pasir Nering, Kuala Berang.

"Usaha kami memindahkan makam berkenaan dibuat sejak awal penubuhan persatuan ini pada 2008, tetapi masih belum kesampaian kerana masalah kewangan dan pengurusan tertentu.

"Kini, ahli persatuan sudah bersedia melaksanakan pemindahan makam berkenaan membabitkan kos pengurusan bernilai RM100,000 di samping mengharapkan bantuan kerajaan negeri untuk mempercepatkan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan ahli jawatankuasa persatuan itu di Rumah Persinggahan Jerantut di sini kelmarin.

Menurut Zulkifli, kerja itu bukan mudah kerana pihaknya perlu berunding dengan kerajaan Terengganu, Muzium Terengganu, Jawatankuasa Pelancongan Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan (JKKK) Kampung Pasir Nering kerana makam berkenaan telah diselenggarakan oleh mereka sebagai aset sejarah serta pelancongan di sana.

Katanya, persatuan itu akan mendapatkan bantuan dan kerjasama kerajaan negeri, pakar sejarah universiti tempatan dan pakar forensik sebelum kerja tersebut dijalankan nanti.

"Waris Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau di sini berharap kerajaan Terengganu bersetuju merealisasikan pemindahan ini dan perundingan akan diatur oleh saya dan ahli persatuan dalam masa terdekat," ujarnya.

Katanya, pemindahan itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sejarah perjuangan ketiga-tiga pahlawan tersebut untuk tatapan generasi akan datang selain merancakkan sektor pelancongan di sini.

"Usaha ini antara lain juga bagi meletakkan status ketokohan Tok Gajah yang diburu penjajah British pada 1892 sehingga membawa diri ke Hulu Kelantan dan meninggal dunia di Hulu Terengganu sebagai pahlawan yang berasal dari Pahang," katanya.

Merdeka Dive tarik minat pelancong

Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT

KUANTAN 18 Ogos - Bulan Kemerdekaan bukan sahaja boleh dihayati oleh masyarakat tempatan, malah mampu menjadi serampang dua mata bagi menarik pelancong luar ke dalam negara.

Bagi tujuan itu, Pejabat Pelancongan Malaysia Pahang mengambil inisiatif mengadakan program Merdeka Dive di Pulau Tioman, Rompin.

Pengarahnya, Idris Yahya berkata, selain menerapkan erti kemerdekaan dalam kalangan rakyat tempatan, masyarakat luar turut di didik untuk lebih mengenali sejarah negara ini.

"Pihak pelancongan juga akan memperkenalkan Tioman Merdeka Dive iaitu selaman sempena dengan sambutan kemerdekaan yang kita akan adakan pada 23 hingga 25 Ogos ini di Pulau Tioman.

"Sebenarnya program ini dibuat bersama dengan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu kita masukkan aktiviti berkenaan untuk menarik pelancong ke Pulau Tioman," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Jelasnya, program itu bakal disertai penyelam dari seluruh dunia untuk membersihkan dasar laut daripada landak laut ataupun mahkota berduri yang boleh merosakkan batu karang.

Katanya, penganjuran yang masuk tahun kedua itu secara tidak langsung menyuntik elemen cintakan negara sempena Bulan Kemerdekaan ini.

"Apa yang menarik, Jalur Gemilang akan dibawa ke dasar laut bersama para penyelam sambil pembersihan dilakukan," katanya.

Bagi mereka yang berminat menyertai program ini boleh menghubungi Pejabat Pelancongan Pahang di talian 09-5171111 sebelum 22 Ogos ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved