Utusan Online - Rencana |
Surau jadi tokong: Jahil atau sengaja? Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT Oleh Mohd. Ridhuan Tee Abdullah APA sudah jadi dengan Malaysia sejak akhir-akhir ini. Penghinaan ke atas Islam semakin menjadi-jadi. Surau menjadi tokong. Pihak pengurusan sebuah resort di Kota Tinggi mendakwa ia dibenarkan dan bukan satu kesalahan, sebagai menunjukkan Islam adalah agama sejagat dan bertoleransi. Siapa yang ajar mereka? Ya, saya tidak nafikan Islam itu adalah sejagat, tetapi kesejagatannya tidak bermakna kita boleh berkongsi Tuhan atau rumah ibadat, seperti agama lain. Jangan kerana terlalu ghairah dengan gagasan 1Malaysia, sehingga semuanya boleh dikongsi. Dalam Islam, perkara berkaitan dengan akidah dan tauhid, tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam. Alasan pengurusan resort tersebut amat tidak logik. Walaupun ia dibina menggunakan wang sendiri. Itu bukan bermakna, sesiapa sahaja boleh mempergunakan surau tersebut? Apatah lagi sudah terpampang tulisan bahasa Arab berbunyi Nur Muhammad di atas surau tersebut. Saya tidak mempertikaikan jika ia berlaku di negara bukan Islam. Tetapi di Malaysia sebagai negara Islam, sudah tentu saya tidak dapat menerimanya. Saya pernah bersolat di surau Lapangan Terbang Changi Singapura. Di sana tidak ada surau, tetapi ada meditation room atau multi-faith prayer room untuk semua agama. Di situlah saya bersolat, kerana ia adalah bilik kosong dan lapang, guna sama bagi penganut yang ingin menunaikan tanggungjawab kepada Tuhan masing-masing. Ditakdirkan jika ada patung di bilik tersebut, saya tetap akan bersolat, kerana saya berada di negara bukan Islam. Saya perlu menunaikan tanggungjawab kepada Allah Yang Maha Esa, meskipun ada patung-patung bertaburan sana sini. Apa pun saya tidak bersetuju dengan idea menempatkan semua rumah ibadat di satu kawasan atas alasan 1Malaysia, seperti yang sedia wujud di Seremban, di situ terdapat masjid, kuil dan tokong. Insiden ini mengingatkan saya kepada peristiwa yang dialami oleh Khalifah Omar Al-Khattab. Dalam lawatan kerjanya, termasuk mengunjungi gereja. Tiba-tiba masuk waktu solat. Paderi gereja tersebut menawarkan Omar untuk bersolat di ruang gereja. Tetapi Omar menolak penuh hikmah. Ditakuti ada orang berpersepsi bahawa Omar mahu menukar gereja menjadi masjid. Maka Omar menolak pelawaan paderi tersebut. Begitulah berhikmahnya agama Islam meraikan orang (agama) lain. Perlukah kita berhikmah dalam isu ini? Konsep dan prinsip tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah dalam Islam amat jelas. Begitu juga konsep keesaan Tuhan seperti yang dinukilkan dalam Surah Ahad. Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Allah adalah satu-satunya. Syahadah kita adalah Tiada Tuhan selain Allah, bukannya tiada Tuhan melain Tuhan. Di sinilah kegagalan dan kekeliruan (kesengajaan) bukan Islam memahami Islam. Mereka menganggap kita menyembah Tuhan yang sama. Allah @ Tuhan bukan terjemahan yang tepat bagi Allah. Tetapi dalam bahasa Melayu, Tuhan orang Islam merujuk kepada Allah. Sedangkan Allah itu adalah Allah. Tidak ada terjemahan tepat untuk menyamakan Allah dengan Tuhan. Orang bukan Islam tidak ada masalah untuk menggunakan nama menggunakan Tuhan. Terkadang kita dengar juga mereka menyebut Tuhan Allah. Timbul kekeliruan, mana satu Tuhan, mana satu Allah. Justeru, saya menyeru umat Islam, gunakan nama Allah tanpa diterjemahkan kepada makna Tuhan. Begitu juga isu perebutan nama kalimah Allah, kita perlu muktamadkan dengan tidak membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah yang mulia ini kerana makna dan konteksnya berbeza. Begitu juga soal pemahaman kita dengan mereka. Majlis Perundingan Malaysia bagi agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism (MCCBCHST) tidak setuju dengan tindakan kerajaan Kedah mengharamkan penggunaan kalimah kalangan bukan Islam. Katanya, ia bertentangan dengan Perlembagaan dan kes tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah. Kerajaan Kedah dituduh tidak hormati undang-undang. NGO jahil ini masih tidak faham bahawa perkara berkaitan agama adalah di bawah tanggungjawab dan hak negeri masing-masing di bawah raja-raja Melayu. Bacalah sejarah kenapa ada nama negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu? Kuasa di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu lebih kuat mengikat berbanding yang bersekutu dan negeri-negeri Selat, terutama kedudukan Islam dan raja-raja Melayu. Untuk makluman, bukan sahaja soal kalimah Allah, malah kalimah-kalimah suci lain, termasuk perkataan surau pun mereka tidak boleh guna. Bacalah undang-undang setiap negeri. Misalnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004, fatwa di bawah subseksyen 48(3) dan (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, Mufti Negeri Pulau Pinang atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kalimah-kalimah yang tidak boleh digunakan adalah Firman, Allah, Ulama, Hadis, Ibadah, Kaabah, Qadhi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Solat, Wali, Fatwa, Imam, Nabi, Sheikh, Khutbah, Tabligh, Akhirat, Azan, Al-Quran, As Sunnah, Auliya, Karamah, Syahadah, Masjid, Baitullah, Surau, Musolla, Zakat Fitrah, Hajjab, Taqwa, Soleh. Terang lagi bersuluh, perkataan surau turut terpelihara. Bagaimana mungkin mereka boleh menggunakan surau sebagai tokong atas dasar guna sama. Nampak pelik, tetapi inilah uniknya Malaysia. Peliknya, dengan isu-isu yang berlegar kebelakangan ini, apakah selama ini mereka tidak tahu bahawa perkara sebegini adalah sensitif? Saya fikir, mereka sengaja melakukannya. Bila jadi isu dan kontroversi, kemudian minta maaf, tutup fail. Maklum sahajalah BN dan UMNO dalam keadaan tersepit. Dengan sebab itu mereka begitu berani. Terbaharu, NGO hak asasi dan reformasi undang-undang, Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa pihak berkuasa agama Johor bersikap seperti Taliban" kerana merancang untuk merobohkan satu surau kontroversi itu. NGO itu juga mempertikaikan tempoh tahanan reman selama empat hari ke atas pemilik resort itu. Ternyata NGO ini amat kurang ajar kerana mencampuri urusan agama Islam di bawah kuasa raja-raja Melayu. Isu ini bukan isu Taliban atau tidak, tetapi mempertahankan kesucian agama. Dalam isu ini, kenapa surau yang menjadi sasaran? Tidakkah sudah begitu banyak rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara berkali-kali ganda berbanding surau masjid? Lagipun, tanpa bangunan pun mereka boleh menunaikan tanggungjawabnya. Patung-patung mereka boleh diletak di mana-mana kawasan lapang yang difikirkan sesuai. Apa pun, saya kurang bersetuju dengan tindakan merobohkan surau tersebut. Jika kiblat tidak betul, betulkan sahaja arahnya. Pastikan selepas ini hanya akan digunakan oleh orang Islam sahaja. Jika dirobohkan, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk solat berjemaah bila mengunjungi resort tersebut. Siapa yang rugi. Sama seperti rumah kita sendiri. Tidak semestinya rumah dibina mengadap kiblat. Yang penting bila solat mengadap kiblat, tanpa merobohkan rumah. PENULIS ialah penganalisis sosio politik. |
Posted: 18 Aug 2013 11:15 AM PDT Oleh ZULKIFLI JALIL PERGOLAKAN politik terbaharu di Mesir yang mengorbankan ribuan nyawa selain Syria yang telah pun bermandi darah, menjadi iktibar betapa kestabilan dan keharmonian negara sejak sekian lama ini perlu dihargai. Di satu sudut, kita tidak dapat menolak akan kaitan peristiwa berdarah ini dengan arus mendesak globalisasi yang terus bergerak cepat dan kian kukuh. Sama ada kesan globalisasi itu negatif atau positif, berhubung kait dengan sempadan teknologi maklumat yang sukar dikekang lagi, kita perlu terima hakikatnya. Bagi UMNO, sesetengah pihak mungkin melihat perubahan tarikh pemilihan kepimpinan tertingginya dan Majlis Tertinggi (MT) dari 5 Oktober ke 19 Oktober ini selain pelanjutan tarikh mesyuarat cawangannya dari 31 Ogos ke 15 September, suatu perkara biasa. Namun dari satu segi ia ada kaitan dengan tuntutan globalisasi itu sendiri. Antaranya, perubahan tarikh ini untuk disesuaikan dengan kunjungan Presiden China dan Presiden Amerika Syarikat pada awal Oktober, yang mana persediaan untuk menerima kedatangan tetamu dua negara kuasa ekonomi global ini perlu dibuat. Pada masa sama, pembentangan Bajet 2014 juga dijadualkan Oktober. Bagi 3.3 juta ahli UMNO, pemilihan parti yang dibuat dalam pasca selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini mempunyai makna yang cukup besar untuk survival parti. Ini perlu direnung dan diambil iktibar oleh semua peringkat parti - cawangan, bahagian, MT dan kepimpinan tertinggi - bahawa dengan asakan globalisasi, menyebabkan sama ada UMNO survive atau tidak, bergantung kepada budaya dan sifat berhati-hati ahli dan pemimpinnya terhadap sesuatu yang baru diperkenalkan. Dalam hal ini, ahli-ahli UMNO jangan sesekali membenarkan keuntungan jangka pendek 'menutup mata kita' kepada kerugian jangka panjang. Tiada apa yang kekal di dunia ini termasuk UMNO tetapi riwayat parti tidak perlu dipendekkan kerana sikap tidak berhati-hati, tidak cekap dan gila dengan keuntungan yang cepat. Perjuangan UMNO masih belum selesai. Banyak lagi yang perlu dibuat oleh UMNO. Orang Melayu dan bumiputera lain belum cukup kuat untuk dibiarkan mereka mempertahankan diri tanpa pimpinan dan lindungan UMNO. Krisis berdarah di Mesir dan Syria serta kegawatan ekonomi di beberapa negara Eropah berkait rapat dengan politik dan masa depan negara terbabit, yang menuntut semua pihak memahami dengan baik keadaan sebenar. Inilah cabaran yang dihadapi oleh cawangan-cawangan dan bahagian UMNO yang sedang dan akan bersidang, sekali gus menentukan kepimpinan pelbagai peringkat yang baharu. Jika diambil kira pergerakan sebilangan bahagian setelah tiga bulan PRU-13 berlangsung, dikesan masih ada bahagian parti yang tidak peka dan seolah-olah tidak mahu berubah. Atau enggan menongkah arus globalisasi. Misalnya, ada satu bahagian di utara tanah air kalah 0-4 (tiga kerusi DUN dan satu Parlimen) dalam PRU 5 Mei lalu tetapi sampai 'la ni' apa pun tak buat? 'Tidur' sahaja. Mesyuarat bahagiannya pun baru sekali diadakan, itu pun kira-kira empat minggu lepas. Tetapi dalam laman sosial facebook (fb), wah! bukan main sekali lagak ketua bahagiannya. Dimuatkan secara terang-terangan aktivitinya. Sekejap percutian keluarga ke Hong Kong, sekejap lagi 'rombongan' ke seberang sana. Lepas kalah teruk pilihan raya, ditunjukkan dalam fb, asyik sahaja makan angin. Dalam bulan puasa baru-baru ini pun, langsung tidak kelihatan program-program anjuran bahagian itu. Peruntukan untuk cawangan, yang sepatutnya ada, tidak turun. Ahli parti dalam bahagian yang dianggarkan mencapai 14,500 orang pun terus tertunggu-tunggulah apa bentuk post mortem kekalahan teruk daripada ketua bahagian. Cuma, UMNO bahagian itu bernasib baik kerana masih ada sentuhan-sentuhan daripada sayap-sayap parti, iaitu Pemuda, Wanita dan Puterinya. Pergerakan Pemuda dan Puterinya terus menjalankan tanggungjawab mendekati rakyat. Baru-baru ini, Pemudanya mengambil peranan menyalurkan bantuan kepada kira-kira 800 penduduk miskin dengan anggaran peruntukan sekitar RM40,000. Wanita pula tidak kurang hebatnya dengan program tadarusnya dan bantuan hari raya. Kepimpinan UMNO bahagian pula buat apa? Jika dalam keadaan macam ini, wajarkah ahli parti nak pertahankan jawatan ketua bahagian pada pemilihan 19 Oktober ini? Paling terbaharu, khabar yang hinggap di telinga penulis ialah soal penyaluran peruntukan untuk penduduk setempat. Selain tak mampu menguruskan peruntukan dengan baik, didakwa pula ada ketirisan dalam soal penyalurannya. Bukan itu sahaja. Tak tahu pula macam mana nak dapatkan sumber dari luar - tak ada inisiatif - jadi, bagaimana mahu bantu ahli parti dan rakyat di kawasan itu? Sebab itu dalam keadaan macam ini, bukan suatu yang luar biasa apabila UMNO bahagian itu kalah 0-4 kepada pembangkang. Sebelum ini pada 2008, ada lah juga satu kerusi. Tidak pula pulang dengan tangan kosong, 1-3. Menurut orang UMNO yang berani meluahkan isi hatinya kepada penulis, ini bukan pertama kali peruntukan tidak turun ke bawah. Dengan 'hati kering' yang dibawa ketua bahagian terbabit, insiden itu berulang setiap tahun. Apa pun, seluruh 191 bahagian dan ribuan cawangan UMNO perlu mengambil iktibar bahawa dalam perkara tertentu kita perlu berubah dan menjadi global untuk capaian terkini. Dalam teknologi komunikasi maklumat misalnya, ia banyak membantu kepada perkembangan serta kestabilan parti, ekonomi dan tidak semestinya membunuh identiti parti dan negara. Dalam usaha menjadi warga global ini, pemimpin bahagian dan cawangan UMNO perlu berbangga terhadap sejarah, perbezaan budaya dan tradisi, justeru globalisasi bukan pemusnahnya. Sebaliknya identiti parti mampu kekal sehingga 100 ke 200 tahun sekali pun. Seluruh pimpinan bahagian perlu menyalurkan maklumat kepada masyarakat setempat agar penduduk mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai parti dan kepemimpinan negara. Mereka boleh mengagihkan maklumat berkenaan di mana-mana sahaja. Tidak kiralah di kedai kopi atau tempat-tempat lain. Yang penting maklumat itu sampai kepada kumpulan sasaran. Dan mereka juga boleh melangkau lebih jauh dengan penggunaan kaedah yang sama. Cumanya, isi serta bahan kandungan itu disesuaikan dan diberi nilai tambah dengan keadaan dan senario setempat serta segala impak globalisasi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan