Utusan Online - Selatan |
- Melaka tumpuan pelancong sempena cuti sekolah, raya
- Segera bersih tempat pelancongan
- Sisa kertas bertaburan menyakitkan mata pengguna jalan
Melaka tumpuan pelancong sempena cuti sekolah, raya Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Ahmad Nasrudin Hussein menyusun barangan perniagaannya berhampiran bangunan Stadhuys, Bandar Hilir Melaka, semalam. MELAKA 14 Ogos - Cuti persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri sejak seminggu lalu tidak menghalang para pelancong dari dalam dan luar negara untuk terus membanjiri negeri yang sarat dengan sejarahnya yang tersendiri ini. Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Bandar Hilir di sini hari ini mendapati kawasan tumpuan pelancong terutama sekitar bangunan Stadhuys dan Kota A Famosa mula dibanjiri pelancong sejak awal pagi lagi. Kunjungan yang tidak pernah surut malah semakin bertambah sejak minggu lalu memberi manfaat kepada golongan peniaga. Bagi mereka, cuti persekolahan dan hari raya bagaikan membuka ruang rezeki buat mereka apabila barangan kraf tangan yang dijual membuahkan pendapatan berganda. Seorang peniaga, Ahmad Nasrudin Hussein, 54, berkata, sejak enam tahun berniaga di kawasan bangunan Stadhuys, setiap kali cuti persekolahan dan hari raya pasti bilangan pelancong turut bertambah. "Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada malah, berganda setiap kali cuti persekolahan dan hari raya. "Kunjungan pelancong ke Melaka pada waktu cuti ini ternyata membawa banyak manfaat kepada kami para peniaga. "Syukur setakat ini kami tiada masalah berniaga di sini malah, gembira menerima kunjungan yang ramai ini," katanya ketika ditemui. Seorang lagi peniaga, Fadil Yahya, 30, yang menjual pelbagai kemeja T berkata, sejak lapan tahun berniaga di kawasan yang sama, dia tidak berdepan dengan sebarang masalah dari segi jualan. Katanya, cuti persekolahan dan hari raya serentak membolehkan orang ramai terutamanya pelancong domestik berkunjung ke negeri ini. "Fenomena ini sudah biasa buat kami para peniaga dan sudah menjadi lumrah untuk kami menerima ramai pembeli pada waktu cuti begini. "Alhamdulillah bukan hanya dari segi kunjungan pembeli bertambah malah pendapatan kami juga bertambah," katanya. |
Segera bersih tempat pelancongan Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh NOOR HANIS HARUN SEREMBAN 14 Ogos - Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini bertegas mahu semua kawasan pelancongan diselia dengan baik, dibersihkan dan kemudahan awam diperbaiki agar ia tidak memberi imej buruk kepada negeri ini. Katanya, masa untuk melihat semua lokasi pelancongan tidak diurus dengan baik sudah tamat dan sekarang adalah masa untuk memastikan ia dijaga dengan sempurna. ''Soal sampah sarap dan kebersihan adalah keutamaan di kawasan pelancongan ini. Kemudahan awam hendaklah boleh berfungsi dengan baik, dibersihkan dan tidak kotor. ''Kita maklum, memang ada pemikiran rakyat yang gemar membuang sampah merata tempat dan jika di hujung minggu kita ke Port Dickson, sampah sarap akan bertaburan di tepi pantai. Kita perlu pastikan sikap itu diubah dan sama-sama menjaga persekitaran ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini. Mohamad memberitahu, melihatkan tumpuan utama pelancong adalah di pantai peranginan negara di Port Dickson, maka perlu ada strategi memastikan semua kawasan dan laluan ke situ dibersihkan. ''Satu pasukan penyelenggaran sampah sarap yang diletakkan di bawah syarikat SWM Environment Sdn. Bhd. telah kita wujudkan untuk memastikan kebersihan di kawasan pantai dan hutan simpan dalam negeri ini dibersihkan sepanjang masa. ''Saya tidak mahu lihat ada lagi tempat yang tidak diurus dengan baik, terbiar tanpa dipedulikan," katanya. Pada masa yang sama juga, Mohamad meminta Jabatan Perhutanan negeri serta semua Majlis Daerah dan pihak berkuasa tempatan lainnya bersama-sama mengambil bahagian dalam urusan menjaga kebersihan ini. ''Di Ulu Bendul, Kuala Pilah umpamanya, keadaan di situ perlu diuruskan dengan baik kerana ia juga menjadi pusat hentian pengunjung yang berulang alik menggunakan jalan baharu Bukit Putus," katanya. Mohamad yang juga kesal kerana masih didapati wujud fenomena no man's land atau kawasan yang tidak pedulikan sehingga menyakitkan mata. ''Kita dapati, lokasi berkenaan dibuat oleh agensi kerajaan lain dan tidak diserahkan kepada agensi bertanggungjawab. Akibatnya ia tidak diselenggara sehingga ada tandas terbiar. Tengoklah sama-sama, jangan sampai menyusahkan rakyat," katanya. |
Sisa kertas bertaburan menyakitkan mata pengguna jalan Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Chong Ah Yaw menunjukkan keadaan bahu jalan yang kotor akibat sampah kertas bertaburan dekat Kampung Baru Cina Sungai Lui, Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin. JEMPOL 14 Ogos - Pengguna jalan raya pastinya akan terkejut apabila melihat timbunan kertas bertaburan di bahu jalan utama dari Kampung Baru Cina Sungai Lui dekat sini menghala ke Kemayan dekat Pahang. Timbunan kertas itu bukan sahaja membuatkan pengguna jalan raya kurang selesa malah nama Kampung Baru Cina Sungai Lui juga mungkin tercemar apabila kawasan mereka dikatakan tidak bersih. Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) tersebut, Chong Ah Yaw, 73, memberitahu, kawasan tersebut pada awalnya merupakan laluan yang bersih. ''Enam hari lalu berlaku kemalangan melibatkan sebuah lori treler yang membawa muatan kertas untuk dikitar semula. Treler tersebut terbabas dan terbalik ke laluan bertentangan dan mengakibatkan muatan kertas bertaburan. ''Memang ada orang ramai datang mengutip kertas yang bertaburan namun masih terdapat sisa-sisa kertas di kawasan tersebut. Ini menyebabkan laluan ini mula dipenuhi kertas dan pastinya pengguna jalan raya ternyata-tanya kenapa laluan ini tidak dibersihkan,'' katanya, semalam. Katanya, pihaknya juga bimbang kerana kemalangan kerap berlaku di kawasan itu berikutan laluannya yang berliku dan gelap. ''Laluan ini bahaya, sudahlah selekohnya tajam, tiada kemudahan lampu jalan. Ini merupakan antara laluan yang kerap berlaku kemalangan terutama ketika musim perayaan. ''Penduduk di sini tahu keadaan jalan di sini jadi mereka akan lebih berhati-hati dan biasanya kemalangan akan melibatkan pengguna jalan raya dari luar negeri ini,'' katanya. Sementara itu, pengguna jalan raya, Ahmad Tarmizi Mohd. Azman 43, dari Sungai Lui memberitahu, dia kerap menggunakan laluan tersebut untuk ke Kemayan. ''Biasanya saya akan ke Kemayan jika mahu membeli barang dan menghantar anak ke sekolah. Walaupun saya duduk di Jempol tetapi Kemayan lebih dekat. Malu rasanya apabila melihat kawasan kita kotor. ''Penduduk di sini sentiasa menjaga kebersihan dan masalah ini berlaku hanya disebabkan kemalangan. Saya amat berharap pihak berkuasa tempatan dapat membantu membersihkan kawasan ini,'' jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan