Utusan Online - Dalam Negeri |
- Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib
- Tiga beradik hilang di Ipoh di temui di Lembah Klang
- Pelajar Mara diminta berhubung pegawai di Mesir
Penjawat awam belasah isteri boleh dikenakan tindakan tatatertib Posted: 15 Aug 2013 03:09 AM PDT SEPANG 15 Ogos - Penjawat awam yang dilapor membelasah isterinya dalam lif seperti yang tersebar di laman web sosial akan dikenakan tindakan tatatertib jika terbukti bersalah, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. "Selepas polis membuat siasatan, kami akan ambil tindakan sewajarnya. Jika terbukti bersalah akan melalui hukuman yang dikenakan melalui mahkamah. "Seterusnya tindakan mengikut peraturan yang sedia ada dalam perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Ketua Setiausaha Negara bersama masyarakat Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan di Kampung Orang Asli Sungai Melut di sini hari ini. Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebar secara meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali dalam sebuah lif hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun. - BERNAMA |
Tiga beradik hilang di Ipoh di temui di Lembah Klang Posted: 15 Aug 2013 03:07 AM PDT KUALA LUMPUR 15 Ogos -Tiga beradik yang dilaporkan hilang dari rumah ibu mereka di Ipoh Selasa lepas ditemui selamat di Lembah Klang malam tadi dan telah dituntut bapa mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Khoo Leng Huat berkata, Sharafuddin Syazwan, 11; Syahir Syafi, 8; dan Syauratul Syafiyah, 6, diserahkan kepada bapa mereka Rizauddin Md. Zain, 38, kira-kira 7.50 pagi ini. "Bapanya juga sudah membuat laporan polis mengenai penemuan semula anaknya itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Kehilangan tiga beradik itu disedari selepas ibu mereka, Syafarila Azwa Ishak, 36, pulang ke rumah dari tempat kerja dan mendapati anak-anaknya tidak ada di rumah. "Kami akan menyerahkan kes tersebut kepada rakan sejawat di Ipoh dan mereka akan mengambil keterangan daripada mangsa dan tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas itu," kata Khoo. - BERNAMA |
Pelajar Mara diminta berhubung pegawai di Mesir Posted: 15 Aug 2013 03:05 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KOTA BHARU 15 Ogos - Seramai 1,481 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Mesir yang kini sedang bercuti dinasihatkan berhubung terlebih dahulu dengan pegawai-pegawai Mara di negara itu untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai keadaan di sana sebelum kembali meneruskan pengajian. Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkata, pelajar-pelajar di negara ini perlu perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di Mesir sebelum boleh kembali pulang. Beliau berkata, pegawai Mara di Mesir akan sentiasa memantau keadaan di negara itu dan sekiranya perjalanan ke negara itu didapati tidak menimbulkan sebarang bahaya kepada pelajar-pelajar ini, mereka boleh kembali. "Pelajar-pelajar tajaan kita berada di sana masih lagi tidak ramai iaitu hanya sekitar 192 orang kerana masing-masing masih bercuti. Sebelum mereka (pelajar) ini kembali ke Mesir, dapatkan nasihat terlebih dahulu sama ada keadaan di sana selamat ataupun tidak. "Saya juga telah mengarah Ketua Pengarah Mara di Mesir memberikan laporan dari masa ke semasa mengenai keadaan di negara itu kerana kita hendak pastikan semua pelajar tajaan kita tidak terlibat dengan apa jua keadaan yang tidak diingini," katanya. Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri bersama warga kerja Mara negeri ini di Kompleks Mara di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan