Utusan Online - Rencana |
Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid Ahli Ikhwanul Muslimin dan penyokong Mohamed Mursi berkeliaran menyelamatkan diri daripada peluru getah dan gas pemedih mata yang ditembak oleh polis rusuhan ketika pertempuran di jambatan menuju ke Dataran Rabba el Adwia, Kaherah 14 Ogos lalu. - REUTERS Kaherah sudah diisytiharkan darurat sedangkan masih ramai penuntut Malaysia yang tidak pulang berhari raya atas sebab-sebab tertentu kini diselubungi rasa cemas. Sampai bilakah pelajar kita mampu bertahan dengan bekalan makanan yang ada dan perlu berwaspada kerana penunjuk perasaan yang marahkan tentera merampas kuasa, tetap tidak mahu berganjak. Setelah gagal mengehadkan penyokong-penyokong bekas presiden yang digulingkan menerusi campur tangan tentera, Mesir terus menerus menerima tekanan daripada kumpulan penyokong Dr. Mohammed Mursi yang hanya sempat memerintah selama setahun lima hari sejak memenangi pilihan raya demokratik pertama selepas berundurnya bekas presiden selama tiga dekad, Hosni Mubarak pada awal tahun 2011. Menurut laporan media, lebih dua ribu orang terbunuh dalam usaha pihak polis dan tentera menghapuskan penyokong-penyokong Mursi di beberapa buah bandar sekitar Kaherah setelah mereka mula mendesak kerajaan sementara mengembalikan kuasa selepas dirampas pada 3 Julai lalu. Para penyokong Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), sayap politik Ikhawanul Muslimin berikrar akan terus mempertahankan kemenangan yang mereka peroleh dalam pilihan raya presiden yang diadakan pertengahan Jun 2012 - hingga ke titisan darah terakhir dan sanggup berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan termasuk penghapusan beramai-ramai. Dalam kejadian yang berlaku selepas waktu subuh ketika suasana Aidilfitri 1434 masih hangat disambut oleh umat Islam yang memasuki hari kelima (13 Ogos 2013), pihak tentera dan polis telah menggunakan pelbagai kaedah termasuk keganasan (melakukan tembakan peluru) dan jengkaut untuk merobohkan khemah-khemah yang dihuni oleh penyokong Mursi. Penyokong presiden yang digulingkan itu menuntut pengembalian kuasa awam sejak rampasan kuasa di Dataran Rabiah al-Adawiyah dan an-Nahda di Kaherah kini menyebabkan krisis di Mesir memasuki fasa baharu, iaitu menghampiri perang saudara dan hampir menyamai dengan apa yang sedang berlaku di Syria. Jika di Syria kumpulan penentang Bashar al-Assad telah dibunuh menggunakan pelbagai jenis senjata berat termasuk kimia, kemungkinan yang sama akan berlaku di Mesir. Ini kerana penyokong Ikhwanul Muslimin semakin kental semangat juangnya dan pengalaman sedemikian sebenarnya sudah lama mereka alami, iaitu sejak pertubuhan yang diasaskan oleh Hasan al-Banna dilihat sebagai ancaman besar terhadap kepimpinan sekular yang dibayangi oleh kepentingan Barat. Apabila pihak tentera merampas kuasa setelah beberapa rusuhan yang berlaku sejak bulan Jun lalu oleh kumpulan anak muda yang dikenali sebagai Tamarod gagal ditangani oleh Dr. Mursi, Mesir terus menerima kecaman pemimpin antarabangsa kerana cuba menamatkan semangat revolusi rakyat" yang lahir daripada kegelisahan awam terhadap pemerintah yang mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Dalam kebangkitan semula penyokong Mursi yang berlaku selepas rampasan kuasa tentera, pihak tentera tidak bertindak dengan cara yang sama, sebaliknya menggunakan kekerasan bagi mengekang bantahan penyokong Ikhwanul Muslimin. Berdasarkan situasi itu, ramai pemerhati memberikan reaksi - sepatutnya pihak tentera dan polis tidak melakukan kekerasan, kerana masih banyak cara untuk menyelesaikan bantahan. Akibat penggunaan kekerasan itu, Dr. Mohamad el-Baradei yang dilantik sebagai Naib Presiden dalam kabinet sementara yang dipengaruhi oleh tentera telah meletakkan jawatan dan mengecam keputusan Jeneral al-Tutsi sebagai orang yang bertanggungjawab membunuh semangat revolusi" menerusi kekerasan. Keadaan ini, walaupun membawa kepada pengisytiharan darurat dijangka bakal menyukarkan lagi rundingan dengan penyokong Ikhwanul Muslimin meskipun beberapa hari sebelumnya, seorang tokoh al-Azhar bercadang untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik. Pihak tentera juga dikatakan turut terkorban setelah penyokong-penyokong bangkit membantah kekejaman penggunaan jentera berat ketika meruntuhkan khemah-khemah manakala tiga orang wartawan yang hadir membuat liputan menjadikan angka kematian bertambah ramai. Jangkaan pihak Ikhwanul Muslimin, ia sudah mencapai lebih 2,500 orang sejak Mursi digulingkan manakala puluhan ribu orang lagi cedera terkena tembakan, gas pemedih mati dan dipukul oleh angkatan bersenjata. Kemungkinan itu memperlihatkan Mesir sedang menuju konflik yang lebih besar dan lama, kerana tekad penyokong Ikhwanul Muslimin tetap mahukan Mursi diberikan semula tampok pemerintahan, kerana ia adalah pilihan rakyat dan mendapat sokongan 51.7 peratus pengundi. Seharusnya pihak tentera tidak begitu cepat melakukan rampasan kuasa, dan memberikan kerjasama penuh kepada Mursi untuk menentukan masa hadapan Mesir kerana di awal kemenangannya, sudah ada percubaan untuk menafikan pilihan rakyat. Mursi berhadapan dengan kelengahan kerajaan sementara" yang dibentuk oleh tentera manakala ekonomi Mesir sedang berada dalam keadaan parah akibat kelumpuhan setelah kemasukan pelancong belum pulih akibat revolusi, dan sumber kewangan yang ditinggalkan oleh Hosni hampir negatif. Percubaan kelompok sekular yang masih membayangi Hosni Mubarak inilah sepatutnya ditentang oleh pihak tentera memandangkan Jeneral al-Tutsi yang dilantik oleh Mursi menganggotai kabinet perlu bertindak sebagai pengimbang yang setia kepada prinsip demokrasi. Jeneral al-Tutsi tidak wajar memberikan sokongan kepada kelompok yang ingin menjatuhkan Mursi, kerana kelompok tersebut sebenarnya terlalu rapat hubungannya dengan kehendak Barat, termasuk mereka yang pernah membolot kekayaan ketika Hosni berkuasa. Puak yang menaja kebangkitan revolusi kedua yang dilancarkan oleh golongan muda itu sebenarnya mempunyai hubungan langsung dengan Israel, kerana mereka sedang dibayangi oleh cerita-cerita buruk mengenai Mursi sejak beliau berusaha mengeluarkan Dikri Presiden pada bulan November 2012, bagi menjamin keputusan Presiden tidak dipertikaikan, dan menentukan Perlembagaan Mesir yang sedang dirangka tidak dicabuli dengan mudah. Nasib malang yang menimpa Mursi telah melemahkan posisi politik yang menjadikan Islam sebagai ideologi, dan ini telah diakui oleh penganalisis politik Barat, dengan tersungkurnya Mursi, maka politik Islam telah kehilangan ideologi. Kehendak politik sekular walaupun penuh kekurangan, kecaman dan lumpuh tahap keinsanannya akan tetap mendominasi sistem pemerintahan sepanjang sejarah moden, dan itulah sebenarnya yang dikehendaki oleh protocol yang telah digubal oleh tokoh Yahudi, Theodor Herzyl sejak berjaya mencipta ilusi kekejaman Hitler dalam tragedi Holocaust dan pembersihan etnik pada era pemerintahan Nazi di Jerman. Bagaimanapun, dalam kekalutan rakyat Mesir meneruskan hidup, sebagai seorang bapa yang mempunyai dua orang anak yang masih berada di Kaherah, Muhammad Qassim dan Abdullah kerana menyambung pelajaran setelah tergendala akibat kemelut politik di Syria, penulis amat mengharapkan ketegangan yang berlaku segera dapat dipulihkan. Harapan itu bukan merupakan harapan saya seorang, kerana lebih 500 orang pelajar Malaysia masih berada di Kaherah manakala lebih 10,000 orang lagi bakal kembali ke Mesir pada bulan September ini bagi meneruskan pengajian masing-masing setelah pulang di tanah air selepas bercuti selama tiga bulan. Tentunya, jika memikirkan keselamatan, tidak ada ibu bapa yang tidak resah dan gelisah, kerana anak-anak itulah harapan yang disandarkan untuk masa depan, dan menerusi pendidikanlah bakal mengubah segala-galanya. Semoga keadaan pelajar Malaysia selamat, begitulah juga dua orang anak penulis. Semoga Allah SWT jauhkan Mesir daripada kancah perang saudara dan segera reda. PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia |
Singapura maju kerana Malaysia Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT PROF MADYA DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH ialah penganalisis sosio politik SAYA begitu teruja untuk mengulas pendapat Lee Kuan Yew ketika melancarkan buku terbaharunya bertajuk, One Man's View of the World pada 6 Ogos 2013. Sebelum itu, nasihat saya bekas Perdana Menteri ini, beritahu anak, jagalah orang Melayu Singapura baik-baik ketika usia emas ini. Pastikan mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Cina di sana. Tidak perlulah banyak komen sangat tentang keadaan politik di Malaysia sehingga menuduh kerajaan Malaysia sanggup korban talent (bakat) semata-mata untuk menaikkan orang Melayu. Ketuanan Melayulah yang menyebabkan Malaysia mundur, kehilangan bakat dan sebagainya. Asyik-asyik salahkan Melayu. Saya pun ada hak untuk menyalahkan ultra kiasu Cina Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia dikhianati. Tanpa Malaysia, Singapura tidak ke mana-mana jua. Justeru, berterima kasihlah kepada Malaysia. Sejak dahulu, Kuan Yew tidak pernah berubah, sering menjadi isu hak istimewa orang Melayu atau ketuanan Melayu untuk menghentam Malaysia. Pada beliau, inilah yang menjadi Malaysia tidak maju seperti Singapura. Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa pun boleh buat. Justeru, janganlah terlalu bongkak. Apa yang berlaku di Singapura, mempunyai kaitan yang rapat dengan kita di Malaysia. Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa Melayu atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan menjadi hamba? Tidak juga. Malah, siapa yang lebih hebat hari ini? Melayu yang bergelar 'tuan'? Atau Cina yang bergelar 'hamba'. Sedarlah isu ini tidak ada apa-apa, melainkan soal kedengkian dan soal hati untuk memadamkan sejarah negara. Sebab, setiap negara ada asal-usulnya. Setiap bangsa ada tanahnya. Jika tidak, tidak adalah nama-nama seperti Tanah Melayu, Tanah China, Tanah India dan tanah-tanah yang lain mengikut bangsa. Lagi soalan saya kepada Kuan Yew, jika benar-benar mahu mengangkat Melayu, sudah tentu institusi Islam seperti madrasah (sekolah agama) dan masjid diberikan perhatian. Ini tidak, jika umat Islam Singapura tidak mengambil inisiatif sendiri, sudah lama kedua-dua institusi ini terkubur. Itupun kedudukan institusi Islam semakin menghimpit. Pihak berkuasa Singapura memaksa institusi ini mengikut kehendak mereka. Jika tidak, ia akan ditutup. Tanah akan dirampas. Berapa banyak tanah Melayu telah dirampas (beli) dan dijadikan tanah Cina Singapura? Akhirnya, untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, mahu tidak mahu, institusi Islam terpaksa mengikut pihak berkuasa Singapura. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat berbuat apa-apa. Orang agama yang bekerja di situ sudah mati kemelayuan dan keislaman. Cari makanlah katakan. Jika tidak percaya pergilah buat kajian di Madrasah Wak Tanjung. Dengar rintihan mereka. Bakat-bakat Melayu yang menjadi pak turut disimpan dalam kerajaan. Manakala talent Melayu yang cuba membela Melayu dan Islam Singapura, dibuang jauh-jauh. Ke manakah talent seperti Dr. Lily Zubaidah? Kenapa beliau tidak diberikan tempat? Kenapa banyak sangat orang Islam yang bukan berwajah Melayu (India Muslim) yang mendapat tempat di Singapura? Hanya Kuan Yew dan anaknya sahaja yang boleh menjawab. Janganlah terlalu menonjolkan diri sendiri hebat. Tanpa Malaysia, Singapura tidak akan ke mana-mana. Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam menyelesaikan isu perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra kiasu. Di manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu dihina lagi, kita terus diam. Tersangat jauh bezanya antara layanan kerajaan Malaysia terhadap SJKC dengan kerajaan Singapura terhadap madrasah dan masjid. Jika umat Islam di sana tidak mengambil inisiatif sudah lama institusi ini ditutup. Lihat di Malaysia, SJKC bukan sahaja diberikan keutamaan setanding dengan Sekolah Kebangsaan (Agama). Hatta, kita pula terpaksa tunduk kepada SJKC. Niat kerajaan untuk menambah masa Bahasa Melayu bagi memandaikan anak Cina terus ditentang. Termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP). Dong Jiao Zong sedang aktif untuk mendapatkan tandatangan orang Cina seluruh negara bagi menentang PIPP. Di Singapura, sesiapa yang tidak mengikut arus kebangsaan, bukan sahaja tidak relevan, malah akan dihumban ke penjara. Kita pula asyik melayan kerana mahukan undi dan mengekalkan kuasa kononnya. Apa hasil yang kita dapat? Dapatkah undi dan kuasa itu? Jika Kuan Yew sangat menginginkan talent dari Malaysia, ambillah orang seperti Namewee, Alvivi dan sebagainya. Malaysia tidak perlukan orang yang kononnya mempunyai talent tersebut. Kita mahukan talent yang membina bukan talent yang menghancurkan negara. Talent yang mempunyai semangat partriotisme yang tinggi. Bukan talent yang merosakkan negara dan membocorkan rahsia negara. Saya amat bimbang dengan trend pegawai kerajaan yang bekerja di bahagian keselamatan, kerana ramai juga orang seperti Si Kitol dan Mandaliar. Mereka ini ultra kiasu. Si Kitol dan Mandaliar inilah yang telah melakukan khianat dan membentuk negara Singapura. Mereka tipu pemimpin kita dengan membuat perjanjian air yang tidak langsung munasabah. Atas sangka baik, kita bersetuju. Sehingga kini, air yang dijual kepada Singapura adalah wang Malaysia 0.03 sen setiap 1,000 gelens (4,500 Liter) sehingga tahun 2061. Perjanjian yang amat tidak masuk akal. Bayangkan ketika pemisahan tahun 1965, kita putuskan air, apakah Singapura wujud hari ini? Berbanding kerajaan China menjual air kepada air kepada negara bangsanya sendiri Hong Kong, suatu ketika dahulu pada harga AS$5.8 setiap 1000 gelen. Saya ringkaskan, Melayu jual kepada Cina air pada kadar 0.03 sen setiap 1000 gelen. Manakala China menjual air kepada Cina pada kadar AS$5.8 setiap 1000 gelen. Siapa sebenar yang baik? Siapa sebenar yang tertipu? Apakah bangunan mereka boleh berdiri megah dengan menggunakan air masin? Sudahlah Kuan Yew, bertaubatlah kamu di akhir usia ini. Kenapa Malaysia (Melayu) begitu bermurah hati? Inilah soal hati Melayu. Hati mulia Melayu yang saya amat kenali setelah lama berdamping dengan mereka. Hatinya terlalu baik sehingga orang lain mengambil kesempatan. Yang paling saya bimbang, kebaikan hatinya nanti akan menyebabkan negara ini tergadai. Baru-baru ini, di bulan Ramadan, saya terserempak dengan bekas pegawai tinggi kerajaan sedang berjumpa dengan sekumpulan peniaga Cina pada jam 1.00 pagi di sebuah restoran di ibu kota. Dalam hati sudah dapat mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi 'pak pacak'. Maka akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, dengan elaun puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau kontrak kerajaan. Inilah dilema orang Melayu. Apabila sudah pencen, kerja tiada. Maka mereka akan mencari jalan pintas. Mereka tidak fikir bagaimana membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut. Ultra kiasu akan menggunakan segala ruang dan peluang untuk memanipulasikan keadaan. Kita hanya boleh berbangga menjadi pengerusi syarikat ini dan itu di bawah telunjuk syarikat Cina. Bila dapat projek kerajaan bernilai jutaan itu, siapa kaya? Melayu menjadi sekaya mana? Apakah kita akan dihargai selepas itu? Inilah pemikiran Kuan Yew. Lihatlah perjanjian air antara Malaysia-Singapura, langsung tidak boleh diubah. Jika Malaysia bercadang untuk menaikkannya mungkin keadaan lebih buruk akan terjadi. Apakah Singapura atau Kuan Yew pernah berterima kasih kepada kita? Apa sebenarnya yang Kuan Yew mahu? Beliau tidak pernah berhenti bersuara supaya Malaysia menghapuskan hak istimewa orang Melayu dalam keadaan usia emas beliau? Jawapannya, apabila hak ini dihapuskan dalam Perlembagaan, ketika itulah tidak mustahil, Singapura akan menawarkan diri untuk masuk semula ke dalam Persekutuan Malaysia. Nasihat saya, Malaysia tidak bodoh lagi. Bakat-bakat di Malaysia sudah tidak boleh lagi dipermainkan dan diperbodohkan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan