Khamis, 15 Ogos 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Kongsi kemeriahan Syawal

Posted: 14 Aug 2013 10:04 PM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

Amalan bergotong-royong yang diadakan sekali gus mengekalkan tradisi turun temurun dan menyuntik roh sambutan Hari Raya Aidilfitri agar dirasakan dengan lebih bermakna.

BERPELUANG mengikuti sambutan Aidilfitri di Kampung Jeneri, Sik, Kedah melakar sebuah memori yang sukar untuk dilupakan.

Bergenang air mata menzahirkan kesayuan melihat pelbagai ragam dan rupa fizikal kira-kira 100 orang kurang upaya (OKU) yang turut serta bagi menyambut hari kemenangan umat Islam tersebut.

Dalam keadaan serba kekurangan, diusahakan sedaya upaya oleh golongan istimewa itu untuk turut hadir memeriahkan sambutan yang diadakan dengan tanpa mengira tenaga bergotong-royong menyiapkan persiapan raya sejak dari awal pagi.

Namun, apa yang membanggakan, bagaikan tiada sebarang jurang ditunjukkan oleh penduduk setempat, malah sedia bersama menghulurkan bantuan bagi meraikan sambutan Aidilfitri golongan OKU itu.

Begitulah kemeriahan sambutan Syawal yang kian menjadi tradisi bagi golongan OKU di perkampungan Daerah Sik, Kedah tersebut.

Segala keperitan hidup yang dialami dilupakan sementara waktu walaupun pada hakikatnya tiada penghujung pada hari sambutan kebesaran seluruh umat Islam itu.

Sebaliknya mereka turut mengambil peluang meneruskan pelbagai amalan tradisi saling berkunjung dan 2bergotong-royong seperti asyarakat normal lain.

Yang jelas terpancar keceriaan di wajah mereka sepanjang sambutan raya tersebut berlangsung. Ia dianggap sangat bermakna dan merupakan kemuncak kepada kesatuan antara penduduk dengan golongan OKU.

Bagi seorang OKU, Sidek Ahmad, 50, kehadiran Aidilfitri lazimnya hanya akan berlalu dan pergi begitu sahaja saban tahun tanpa dirasai sebarang kenikmatan jika tiada aktiviti setempat dianjurkan.

Malah, Sidek yang mengidap sakit kulit sejak lahir itu mengakui, lebih gemar menghabiskan hari raya di rumah selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan berkunjung ke rumah adik-beradik berhampiran kawasan rumahnya.

"Tiada beza sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti hari-hari lain kerana ia telah menjadi rutin tahunan. Bagi saya, bezanya adalah pada hari itu umat Islam disunatkan ke masjid pada awal pagi untuk menunaikan solat sunat raya serta tidak perlu lagi menahan lapar.

"Oleh itu, saya lebih gemar duduk di rumah dan jika ada hanya menziarahi jiran dan adik-beradik berdekatan rumah sahaja menyambut hari raya sebelum-sebelum ini.

"Tetapi dengan adanya majlis sambutan Aidilfitri buat OKU yang diadakan secara bergotong-royong ini, saya rasa gembira dapat bertemu rakan daripada golongan senasib untuk sama-sama meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Di samping itu, anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, dengan adanya sambutan raya secara bergotong-royong bersama penduduk kampung itu juga secara tidak langsung dapat menghilangkan rasa tersisih yang sering membelenggu kebanyakan golongan OKU.

"Dengan bantuan penduduk kampung ini yang tidak pernah jemu menghulurkan bantuan kepada kami golongan OKU, saya rasa gembira. Ini juga menunjukkan bawa masyarakat prihatin terhadap golongan istimewa seperti kami," katanya.

Majlis sambutan Aidilfitri OKU selama sehari anjuran Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (AIM) dan Takaful Ikhlas itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan OKU Daerah Sik (Pokus).

Ia merupakan usaha dalam membantu golongan kurang berkemampuan dengan memfokuskan kepada golongan OKU dalam menikmati kemeriahan Syawal seperti masyarakat normal yang lain.

Pada majlis itu, Takaful Ikhlas turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri berupa keperluan harian dan wang tunai kepada OKU yang berdaftar di daerah tersebut.

Sementara itu, bagi Muhammad Khusairi Kudin, 30, Aidilfitri disambut ala kadar berikutan pendapatannya yang tidak menentu untuk berbelanja lebih pada setiap tahun.

Beliau yang mengalami kecacatan pada anggota tangan dan muka berkata, pernah mengharapkan bantuan daripada pihak kebajikan untuk menampung perbelanjaan raya.

"Pastinya semua orang akan merasa seronok untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, apatah lagi disambut dengan sanak saudara dan juga berpkaian serba baharu. Tetapi dengan nasib sebegini, saya hanya menyambut apa yang termampu.

"Dengan pendapatan saya yang tidak menentu sebagai pembantu penjual air, raya bagi saya tidaklah semeriah seperti orang lain.

"Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, boleh juga digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan raya saya. Jika tidak, raya tiada makna bagi saya," luah anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu.

Bagaimanapun, sambutan raya OKU yang diadakan di kampung tersebut memberi peluang kepada Khusairi yang merupakan satu-satunya dalam ahli keluarganya untu merasakan kegembiraan seperti masyarakat normal lain.

"Saya reda dengan keadaan yang menimpa saya ini, malah bersyukur kerana turut diraikan dalam sambutan raya OKU yang diadakan secara beramai-ramai ini," ujarnya.

Jadikan acara tradisi

Mengulas lanjut, Pengerusi Pokus, Md Amin Salleh, 53, berkata, memperkukuh penyatuan dalam kalangan OKU, pihaknya merancang untuk menjadikan sambutan raya OKU tersebut tradisi di kampung tersebut.

Beliau berkata, sambutan raya yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu itu turut memberi ruang bagi OKU untuk menikmati kemeriahan Syawal seperti masyarakat normal yang lain.

"Terdapat lebih 1,000 OKU yang berdaftar dengan Pokus di daerah Sik ini. Manakala di dalam Kampung Jeneri ini sahaja terdapat hampir 100 OKU yang mana kita melihat mempunyai pelbagai kekangan masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Justeru, Pokus mengambil pendekatan menganjurkan majlis sambutan hari raya OKU ini dengan mengumpulkan semua OKU berdaftar di daerah Sik untuk meraikan sambutan raya secara beramai-ramai.

"Pada masa sama, majlis ini juga dapat menjadi ruang kepada masyarakat OKU berhimpun dan membolehkan ahli Pokus mengetahui masalah yang dihadapi oleh ahli. Dan kita akan menjadikan sambutan ini sebagai tradisi di kampung ini," kata Md Amin.

Beliau yang mengalami kecacatan kekal pada anggota kaki dan tangan akibat kemalangan berkata, bersesuaian dengan penubuhan Pokus yang berperanan menjaga kebajikan ahli, pihaknya komited memikirkan cara bagi membantu golongan senasib mengikut kemampuan

"Selain memberikan bantuan segera berbentuk barangan seperti kerusi roda dan sumbangan wang tunai, Pokus juga bertindak sebagai penghubung golongan OKU dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyuarakan permintaan mereka.

"Malah, Pokus juga merancang ingin membina pusat jahitan dan bengkel membaik pulih bagi menjana ekonomi golongan OKU yang tidak mempunyai pendapatan tetap menyara hidup mereka," katanya.

Syawal sendirian

Posted: 14 Aug 2013 10:04 PM PDT

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar Mohd. Azim Abd Rahman

Rakan-rakan dianggap seperti keluarga bagi penghuni Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, Banting, Selangor.

APALAH erti kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri jika disambut tanpa riang ketawa dan kunjungan mesra daripada sanak saudara.

Namun, siapa meminta dan mampu mengubah takdir jika telah ditentukan oleh yang masa kuasa untuk hidup dengan keadaan sedemikian rupa atau sebatang kara.

Lebih menyedihkan, apabila terpaksa melalui dugaan tersebut pada usia tua yang pastinya sudah tidak lagi berdaya untuk bekerja apatah lagi mencari kebahagiaan hari raya sendiri seperti golongan muda.

Begitulah dilema sama turut dilalui oleh golongan warga emas yang ditempatkan di pusat penjagaan orang tua-tua.

Jauh di sudut hati mereka menginginkan kebahagiaan sambutan hari raya seperti insan bernasib baik yang lain, namun setiap hari-hari mendatang terutama di musim perayaan terpaksa dilalui dengan tabah dan memujuk hati untuk menyembunyikan kesedihan tersebut.

Pusat jagaan itulah dianggap rumah mereka dan rakan-rakan penghuni pula diibarat seperti ahli keluarga buat mereka untuk berkongsi perasaan dan juga kasih sayang.

Bagi seorang penghuni Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, Shikh Kharidun Shikh Shaharuddin, 66, tidak menafikan perasaan sebak kerana tidak berpeluang menikmati sambutan Aidilfitri seperti insan lain, tetapi beliau tetap bersyukur masih mendapat penjagaan yang sempurna di rumah tersebut.

Beliau yang tidak berkahwin dan hidup sendirian tanpa anak dan isteri bagaimanapun reda dengan ketetapan ilahi dan berusaha mengetepikan perasaan sedih kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

"Sebelum ini saya tinggal bersama anak buah yang berada di Kajang, Selangor. Saya juga mempunyai adik-beradik, tetapi saya tidak mahu menyusahkan mereka. Bisik hati kecil sering memikirkan sampai bila ingin mengharap dan menyusahkan mereka, lalu saya mengambil keputusan lebih baik tinggal di sini.

"Oleh kerana tiada tempat tinggal sendiri, biarlah tinggal di sini membuatkan saya merasa lebih gembira dapat berkongsi perasaan suka duka bersama rakan penghuni dengan melakukan pelbagai aktiviti di rumah ini.

"Menjelang musim perayaan pula, jika tiada siapa yang menjemput, saya akan tinggal di sini sahaja, dan tiada sebarang masalah buat saya," katanya ketika ditemui di Rumah Warisan Kaseh Darul Maghfiroh, Banting, Selangor, baru-baru ini.

Beliau yang merupakan bekas pengawal keselamatan itu berkata, ada hikmah ditempatkan di rumah tersebut kerana dalam masa sama dapat mempelajari ilmu agama yang disediakan oleh pihak rumah kebajikan di samping meluangkan masa melakukan aktiviti seperti bercucuk tanam di sekeliling rumah Warisan Kaseh.

Sementara itu, bagi Mohd. Yunus Che Mat, 74, berkata, dia yang mengalami penyakit tua termasuk penyakit kencing tidak lawas mengakui hidup semakin tidak terurus sejak kematian isterinya.

Oleh itu, bapa kepada empat orang anak itu mengambil keputusan untuk tinggal di rumah warga emas untuk hidup lebih terjaga selain mengisi masa tua dengan ilmu agama.

"Saya memilih untuk tinggal di sini kerana bosan hidup sendirian di rumah. Tambahan pula selepas kematian isteri, saya tinggal dengan menumpang di rumah salah seorang anak perempuan saya yang kini berada di Sentul.

"Sewaktu anak tiada di rumah atau bekerja, saya hanya keseorangan di rumah membuatkan saya tidak tahu membuat apa-apa. Namun saya harap dengan masuk ke rumah kebajikan ini membolehkan saya menghabiskan sisa hidup dengan mempelajari ilmu agama," katanya yang berasal dari Alor Star, Kedah.

Yunus yang merupakan bekas anggota tentera itu berkata, seperti kebiasaan anak-anaknya akan membawa pulang daripada rumah tersebut pada musim perayaan untuk disambut bersama.

Namun, beliau mengakui lebih gembira tinggal di rumah warga tua tersebut dan ingin tinggal sehingga dibenarkan menetap di rumah kebajikan tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved