Utusan Online - Pahang |
- Belia perlu hormat Jalur Gemilang
- Ketabahan ibu jaga bayi jantung berlubang
- 8 RAMD sambut ulang tahun ke-51
Belia perlu hormat Jalur Gemilang Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN KUANTAN 15 Ogos - Belia zaman kini disaran supaya lebih menghayati sejarah kemerdekaan demi menjiwai dan menyemai perasaan hormat terhadap Jalur Gemilang. Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin (gambar) berkata, dalam dunia tanpa sempadan ini, pemahaman terhadap perjuangan tokoh terdahulu mendapatkan kebebasan dan keamanan adalah penting. Beliau berlata, tiada lagi tolak ansur diberikan terhadap perlakuan menghina Jalur Gemilang seperti yang banyak berlaku di laman-laman sosial tanpa kawalan. "Untuk kita beri kefahaman kepada mereka ini kena adakan banyak kempen seperti kempen kibar Jalur Gemilang. Bukan setakat mengibar Jalur Gemilang sebagai gimik tetapi kenapa Jalur Gemilang itu dicipta," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Shahaniza berkata, mereka perlu memahami kepentingan bendera terhadap sesebuah negara yang merupakan satu panji-panji dan tidak sepatutnya diperlakukan sesuka hati. "Contohnya dalam peperangan, panji-panji ini akan dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir. Begitu juga dengan Jalur Gemilang yang merupakan lambang kedaulatan negara kita," katanya. Katanya, kempen kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan sempena Bulan Kemerdekaan bermula esok bukan sekadar aktiviti mengibar bendera secara semberono, tetapi nilainya harus dihayati. Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelancaran kempen tersebut di peringkat negeri akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dataran Jam Bandar Tun Razak Jengka esok. |
Ketabahan ibu jaga bayi jantung berlubang Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Norizan Sharudin (kanan) merenung Muhamad Adam Mukhris Miqail yang mampu mengukir senyuman walaupun menderita jantung berlubang di Hospital Lipis, Kuala Lipis, baru-baru ini. KUALA LIPIS 15 Ogos - Ibu mana tidak berasa sedih menyambut Hari Raya Aidilfitri apabila anak kesayangan yang masih bayi menangis menahan kesakitan akibat mengalami penyakit jantung berlubang. Begitulah perasaan yang melanda seorang ibu muda, Norizan Sharudin, 23, di sini yang sedih mengenangkan nasib anaknya, Muhamad Adam Mukhris Miqail berusia empat bulan yang terpaksa menanggung kesakitan itu sejak lahir. Norizan berkata, ketika anaknya berusia dua minggu, dia dimaklumkan oleh pihak Hospital Lipis bahawa Muhamad Adam mengalami jantung berlubang. "Sewaktu dilahirkan, berat Muhamad Adam tiga kilogram dan selepas seminggu di rumah, saya membawanya semula ke hospital kerana mengalami demam kuning yang teruk. "Ketika dirawat, anak saya kelihatan amat lemah dan doktor menyatakan dia kekurangan oksigen. Setelah melakukan imbasan pada tubuhnya, pihak hospital mengesan terdapat masalah pada saluran darah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Lipis di sini kelmarin. Menurut Norizan, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas), Temerloh dan setelah pemeriksaan lanjut dilakukan doktor mengesahkan bayinya menghidap jantung berlubang. "Selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan, rutin kehidupan saya berubah sehinggalah hospital menjadi rumah pertama kami kerana Muhamad Adam perlu dijaga rapi," katanya. Dia yang menetap di pekan Benta, dekat sini berkata, pada mulanya bayinya bergantung kepada susu ibu, namun kini anaknya terpaksa minum susu menerusi tiub ekoran masalah kesihatan. "Pada peringkat awal saya tidak sanggup melihat penderitaan Muhamad Adam, tetapi saya terima ujian Allah buat kami sekeluarga dengan penuh sabar. "Penderitaan ini menguatkan semangat saya untuk memastikannya sihat di samping berdoa kepada Allah dan perangsang daripada ahli keluarga supaya dia terus membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain," katanya. |
8 RAMD sambut ulang tahun ke-51 Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid (tiga dari kiri) diiringi oleh Asror Nizam Jaman (dua dari kiri) memeriksa barisan kehormat sempena Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Rejimen Sempena Ulang Tahun Ke-51 di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD KUALA LIPIS 15 Ogos - Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) Kem Lipis di sini mengadakan Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-panji Rejimen Sempena Ulang Tahun Ke-51 pasukan tersebut di padang kawat kem itu di sini baru-baru ini. Acara itu disertai 17 pegawai dan 252 anggota pelbagai pangkat diketuai Penolong Pegawai Memerintah 8 RAMD, Mejar Asror Nizam Jaman. Istiadat itu disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 8 RAMD, Leftenan Kolonel Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid. Abdul Jalal ketika berucap pada istiadat itu berkata, pasukan berkenaan berazam untuk terus menyumbang bakti kepada negara dengan mempertahankan sempadan negara daripada sebarang ancaman musuh atau pencerobohan luar. "Pasukan ini bersiap siaga sepanjang masa dalam memikul amanah dan integriti secara profesional bagi mempertahankan kedaulatan negara dan mengekalkan keselamatan. "Dalam memenuhi keperluan pertahanan semasa, kita perlu memastikan latihan yang mantap dan berkesan selain peralatan persenjataan serta lojistik berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi," katanya. Menurut beliau, pasukan itu bekerjasama dengan agensi keselamatan lain dalam memulihara ketenteraman awam serta memberi bantuan semasa bencana alam di kawasan tanggungjawab mereka. Sehubungan itu, beliau menyeru warga pasukan itu memperkukuhkan komitmen dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu serta pemerintah tertinggi angkatan tentera. Dalam pada itu, seorang veteran tentera, Mohamad Yunus, 71, berkata, istiadat itu menzahirkan semangat kepahlawanan dan jati diri tentera dalam menjaga keselamatan negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan