Utusan Online - Jenayah |
Pemandu lori maut ditembak 2 lelaki bermotosikal Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT BEBERAPA anggota polis membuat pemeriksaan di lokasi pemandu lori mati ditembak di hadapan Public Bank, Kapar, Klang, semalam. KLANG 15 Ogos - Seorang pemandu lori maut akibat terkena dua das tembakan di pipi dan dada oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah restoran di Jalan Besar Kapar di sini awal pagi ini, dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara kongsi gelap. Kejadian pukul 2.15 pagi itu berlaku ketika S. Sambhath, 27, berbual bersama tiga rakannya sebelum terlihat kelibat dua lelaki memakai jaket hitam dan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan. Kesemua mereka kemudian beredar ke hadapan bangunan Public Bank di situ tetapi dihalang oleh dua buah kereta jenis Toyota Altis dan Proton Wira yang dipercayai rakan kepada dua lelaki terbabit. Seorang daripada dua lelaki bermotosikal itu kemudian turun lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakannya yang cuba melarikan diri. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan dendam dan mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau. "Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dengan kereta rakannya disahkan mati ketika dalam perjalanan. "Kita akan menyiasat secara terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan milik bank bagi membantu siasatan. "Polis tidak menjumpai sebarang senjata digunakan suspek di tempat kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. |
Posted: 15 Aug 2013 10:52 AM PDT Lelaki yang dipercayai membelasah isteri dalam sebuah lif menyerah diri di Kuantan, Pahang, semalam. KUANTAN 15 Ogos - Seorang penjawat awam yang diburu setelah membelasah isterinya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Isnin lalu, akhirnya menyerah diri di Balai Polis Kuantan di sini. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, lelaki berusia 36 tahun itu datang sendiri di balai tersebut pada pukul 3.30 petang ini. "Dia kini ditahan di Balai Polis Kuantan dan akan diserahkan ke Pulau Pinang berikutan kejadian berlaku di negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Jasmani berkata, polis Kontinjen Pulau Pinang telah dimaklumkan berhubung penahanan itu dan lelaki terbabit akan diambil oleh anggota polis dari negeri tersebut malam ini untuk siasatan lanjut. Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. Kelmarin, satu rakaman video yang memaparkan seorang isteri dibelasah suaminya di hadapan dua anak mereka berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun laman sosial Facebook. Video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak menunjukkan aksi lelaki berkenaan menampar dan menendang isterinya, seorang pekerja kilang berusia 36 tahun sehingga tersungkur. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan