Utusan Online - Utara |
- Rayu kekalkan operasi bas
- Barangan raya diskaun 30 peratus
- Kedah usaha lahir modal insan intelektual
Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT Oleh ASLIZA MUSA Sebahagian pengguna bas ekspres yang tidak berpuas hati dengan penamatan operasi pengambilan penumpang di perhentian bas Gunung Rapat bertemu dengan wakli SPAD (kanan) di Ipoh, kelmarin. - UTUSAN/ ROY AZIS ABD. AZIZ IPOH 29 Julai - Para pengguna perkhidmatan bas ekspres bagi operasi awal pagi dari Ipoh ke Kuala Lumpur merayu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membenarkan operasi pengambilan penumpang di perhentian bas Gunung Rapat di sini. Menurut mereka, penguatkuasaan yang menetapkan agar mereka mendapatkan perkhidmatan itu di Terminal Amanjaya di Meru Raya dilihat menyukarkan pengguna yang tinggal jauh dari terminal tersebut. Amran Mohd. Majid, 49, berkata, penukaran lokasi itu menyebabkan mereka terpaksa bangun lebih awal daripada kebiasaan bagi menaiki bas ekspres yang akan bergerak pada pukul 4.30 pagi. Dia yang berulang-alik setiap hari dari Ipoh ke Kuala Lumpur sejak 11 tahun lalu berkata, kebanyakan pengguna bas ekspres akan menaiki bas dari perhentian bas Gunung Rapat berbanding di Terminal Amanjaya. "Penukaran lokasi ke Terminal Amanjaya menyukarkan kami yang setiap hari berulang-alik menggunakan perkhidmatan itu. Jika sebelum ini, keluar dari rumah pada pukul 3.50 pagi, tetapi dengan penukaran ini terpaksa keluar lebih awal lagi kerana masa perjalanan ke terminal itu antara 20 hingga 25 minit. "Kami merayu kepada SPAD hanya untuk satu perjalanan pergi dan balik, benarkan di Gunung Rapat. Keadaan ini tidak mengganggu mana-mana syarikat dan laluan bas kerana hanya satu syarikat bas yang beroperasi pada awal pagi,'' katanya ketika ditemui pemberita di kaunter khidmat pelanggan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini semalam. Lagipun katanya, mereka hanya minta pada hari Isnin hingga Jumaat sahaja. Terdahulu, Amran bersama beberapa pengguna lain membuat aduan kepada suruhanjaya itu, namun tidak berhasil apabila kaunter tersebut hanya menawarkan perkhidmatan yang terhad. Menurut Amran, mereka dimaklumkan mengenai perkara itu oleh operator bas ekspres pada Khamis lalu. "Kami merayu agar diberikan peluang dan ruang bagi perjalanan bas pada pukul 4.30 pagi. Kami tidak minta banyak, bukan mahu cabar sesiapa hanya meminta bantuan," katanya yang tinggal di Taman Lim, Silibin. Sementara itu, Ahmad Shukri Abd. Rasyid, 38, dari Batu Gajah Perdana berkata, sekiranya operasi dikekalkan di Terminal Amanjaya, dia dan beberapa rakan dari daerah itu terpaksa bersiap awal untuk ke tempat kerja. Menurutnya, dia mengambil masa selama 15 minit dari rumahnya di Batu Gajah ke perhentian bas Gunung Rapat bagi menaiki bas pada pukul 4.30 pagi. "Setiap hari kami akan bangun awal pagi untuk ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Penukaran ke Terminal Amanjaya ini akan menyebabkan kami terpaksa bangun lebih awal lagi kerana lokasi terminal itu lebih jauh," ujarnya. |
Barangan raya diskaun 30 peratus Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT Oleh JAMLIAH ABDULLAH Ahmad Bashah (dua dari kanan) berbual sesuatu dengan seorang peniaga dalam program Jom Beli Barangan Raya 2013 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, kelmarin. ALOR SETAR 29 Julai - Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri pada harga diskaun sehingga 30 peratus pada program Jom Beli Barangan Raya 2013 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini. Program yang berlangsung selama 10 hari itu adalah anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah bermula 26 Julai lalu hingga 4 Ogos ini. Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, program tersebut adalah inisiatif kementerian untuk mengurangkan beban rakyat pada musim perayaan selain melaksanakan harga kawalan barangan keperluan. "Pelbagai barangan yang dijual terus dari kilang ditawarkan pada harga lebih rendah dari pasaran bagi meringankan beban rakyat untuk menyambut Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu semalam. Hadir sama Pengarah KPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh. Jom Beli Barangan Raya yang menawarkan pelbagai pilihan barangan berupa perabut, barangan elektrik, pakaian, kuih muih, permaidani dan aksesori wanita dibuka pada pukul 11 pagi hingga 11 malam. Dalam pada itu, Mohd. Sakri memberitahu, program kali kedua itu disertai 36 syarikat dan peniaga dari Kedah, Perlis serta Pulau Pinang. Katanya, pada tahun lepas, pihaknya mengadakan program itu selama lima hari dengan lebih 2,000 orang pengunjung dan nilai jualan RM250,000. "Pada tahun ini penganjur memanjangkan tempoh program sehingga 10 hari dengan sasaran jualan melebihi RM500,000. Orang ramai perlu mengambil kesempatan untuk memperoleh barangan pada harga patut," katanya. |
Kedah usaha lahir modal insan intelektual Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT Mohd. Tajuddin Abdullah (empat dari kanan), Kamaruddin Che Ismail (tiga dari kanan) dan Mahadzir Hamid (dua dari kanan) bergambar bersama para pemenang Anugerah Desa Cemerlang Kemas peringkat Kedah di Masjid Al-Falah, Jeneri, Sik, kelmarin. SIK 29 Julai - Kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran dan modal intelektual dalam usaha melahirkan insan berkualiti di kawasan luar bandar. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, ini termasuk ilmu sains, teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif dan nilai etika serta moral tinggi. Kata beliau, salah satu faktor yang menyebabkan kemiskinan luar bandar bukan hanya disebabkan kemiskinan fizikal semata-mata tetapi kerana kemiskinan minda. "Kemiskinan minda dan sikap inilah yang menjurus kepada kemiskinan fizikal kerana insan tidak berupaya untuk berfikir mencari jalan keluar memajukan diri mereka," katanya. Beliau berucap demikian dalam majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri di Masjid Al-Falah, Jeneri di sini semalam. Yang hadir sama Pengarah Kemas negeri, Kamaruddin Che Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Hamid. Kampung Kuala Kerik di Jeneri dinobatkan sebagai johan pertandingan itu sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil. Kampung itu juga akan mewakili Kedah ke pertandingan peringkat kebangsaan dari 10 hingga 25 Ogos ini. Dalam pada itu, Tajuddin berkata, program yang diadakan mampu merapatkan hubungan antara anggota masyarakat, pemimpin tempatan dan jabatan-jabatan kerajaan. Usaha itu juga berupaya mewujudkan sikap saling membantu dan toleransi yang menjadi pemangkin kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat. "Apabila masyarakat bersatu maka mudahlah kerajaan merancang dan membawa kemajuan terutama kepada penduduk di luar bandar untuk keluar dari kepompong kemiskinan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan