Selasa, 30 Julai 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Bukan lagi Fandi

Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

Azmi Mohamed (kiri) mengendalikan sesi latihan bersama pasukan JDT bagi mengantikan Fandi Ahmad sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia di Stadium UTM Skudai, Johor Bahru, malam tadi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Pasukan dibarisi ramai pemain berstatus bintang, Johor Darul Takzim bakal mengharungi saingan Piala Malaysia yang bermula 20 Ogos ini tanpa kelibat Fandi Ahmad sebagai ketua jurulatih.

Ini kerana, legenda bola sepak Singapura itu dikatakan tidak lagi mengendalikan latihan skuad Harimau Selatan itu, sebaliknya tugas beliau digalas jurulatih Johor, Azmi Mohamed.

Tugas ketua jurulatih pasukan tersebut yang disandangnya dilaporkan diambil alih Azmi berkuat kuasa serta merta kelmarin, namun Fandi kekal bersama Johor Darul Takzim selaku pengurus pasukan.

Difahamkan, Fandi menerima surat yang mengatakan beliau hilang jawatan sebagai sebagai ketua jurulatih sebelum sesi latihan bersama anak buahnya di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

Khabar tersebut nyata memberi tamparan kepada pasukan bimbingan Fandi yang kini sedang giat menjalani latihan untuk mengharungi Piala Malaysia setiap malam sejak lebih seminggu lalu.

Fandi ketika diajukan soalan tentang laporan itu hanya menjawab ringkas kepada Utusan Malaysia - "Saya tidak mahu komen apa-apa. Tenang sahaja."

Berita terbaharu itu hadir beberapa hari selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan mereka bakal mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu dari Sepanyol musim depan.

Tunku Ismail juga berkata, Fandi pula akan kekal bersama pasukan sebagai penolong jurulatih.

Dalam pada itu, Azmi yang sudah menerima surat untuk memikul tanggungjawab membimbing pasukan Johor Darul Takzim berkata, dia bersedia berdepan cabaran menggalas jawatan tersebut.

"Tugas pertama saya adalah memastikan semua pemain perlu bersatu sebagai sebuah pasukan. Bola sepak adalah sukan yang memerlukan kerjasama serta komitmen setiap orang dalam usaha memburu kejayaan.

"Ini bukan tugas seorang sahaja kerana memerlukan semua ahli dalam pasukan," katanya ketika dihubungi di sini.

Tugas Azmi selaku jurulatih Johor diambil penolongnya, Edres Selamat yang memegang Lesen A untuk melatih mana-mana pasukan dalam kempen Liga Malaysia.

Selongkar masalah hingga ke akar umbi

Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Memecat jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, secara drastik bukanlah satu formula paling mujarab yang boleh memulihkan prestasi lesu Harimau Malaya sebaliknya asas paling utama adalah faktor pembangunan akar umbi di peringkat bawahan dalam membekalkan pemain-pemain berkualiti di pentas antarabangsa wajar diberikan perhatian.

Seperti bersetuju dengan saranan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, penganalisis bola sepak negara dan bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, berpandangan walaupun Rajagobal wajar dipersalahkan sebagai watak utama kepada kemerosotan prestasi Harimau Malaya, masih banyak perlu diperhalusi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jelasnya, perkara yang paling utama adalah sejauh mana pengurusan bakat dijalankan di setiap negeri walaupun kemudahan bola sepak di negara ini semakin bertambah baik jika hendak dibandingkan pada zamannya bergelar pemain.

"Perkara paling utama saya fikirkan mengenai kegagalan pasukan kebangsaan kita bersaing di peringkat tertinggi adalah pengurusan akar umbi yang kurang efisien dan banyak persatuan bola sepak negeri gagal berperanan dalam hal ini.

"Adakah bakat-bakat yang kita cari ini berbakat atau sekadar menggantikan pemain-pemain sedia ada yang menjadikan tahap bola sepak kita hanya sekadar mampu bersaing di peringkat serantau (Asia Tenggara).

"Malahan kemudahan yang kita ada juga semakin baik, namun saya sendiri tidak mengerti mengapa skuad bola sepak kita semakin merosot sedangkan pada zaman saya dahulu, kita mampu mara ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Skuad pimpinan Rajagobal yang berkelana di Jepun semenjak 23 Julai lalu akan menamatkan siri perlawanan persahabatan dengan menentang kelab J-League 2, Tokyo Verdy selepas dikritik hebat ekoran aksi longlai tewas 0-5 kepada Shonan Bellmare, Sabtu lalu dan 0-2 kepada Shimizu S-Pulse, 25 Julai, kedua-duanya kelab J-League 1.

Seorang lagi penganalisis bola sepak negara dan blogger sukan terkenal, Rizal Hashim, dia melihat mutu sukan nombor satu Malaysia ini tidak akan ke mana-mana selagi pentadbir bola sepak negara dari peringkat bawahan hingga atas, tiada visi dan misi yang jelas ke mana mereka mahu bawa bola sepak negara.

Bermula di peringkat bangku sekolah hinggalah kebangsaan, tidak terdapat ketulusan dan terserlah banyak kepincangan dalam soal pemilihan pemain yang membawa masalah dalam membina sebuah skuad kebangsaan yang mampu berdaya saing.

"Dari sekolah, daerah, negeri sampailah ke peringkat kebangsaan, terlalu banyak kelemahan dari segi struktur pemilihan pemain seperti tidak jujur, ada unsur pilih bulu seperti memilih pemain daripada kenalan-kenalan dan apabila sudah sampai ke tahap ini, orang-orang yang ingin benar menyumbang akan berasa kecewa dan tidak berminat meneruskan usaha mereka.

"Nasib baik ada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan beberapa sukan sekolah negeri untuk menutup kepincangan ini tetapi ia masih tidak mencukupi," katanya.

Satu perkara yang paling menarik perhatian apabila Rizal mendedahkan semasa jurulatih berkelas dunia, Claude Le Roy mengemudi pasukan kebangsaan pada tahun 1994, ramai pemain negara tidak tahu perkara asas mengenai taktikal.

"Ada seorang pemain kebangsaan yang berumur 20 tahun yang saya tidak mahu dedahkan namanya terpaksa diajar oleh Le Roy dalam aspek penyusunan posisi.

"Adakah ini satu perkara yang kita boleh terima iaitu pemain kebangsaan kita sendiri tidak tahu perkara-perkara asas seperti ini sedangkan ia sepatutnya diajar semasa mereka di peringkat bawahan lagi.

"Jika kita terus tidak memperbaiki pembangunan akar umbi, selagi itulah bola sepak negara kita akan sekadar terus berpuas hati bersaing di Piala AFF dan Sukan SEA," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved