Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 28 Jul 2013 11:04 PM PDT Pekerja Sanabil Marketing & Suppliers (M) sibuk menyediakan adunan roti di kilang syarikat di Kompleks Kilang SME Bank Seremban, Negeri Sembilan. "KEISTIMEWAAN resipi keluarga ini ialah tanpa bahan pengawet, inti disesuaikan mengikut cita rasa pengguna, contoh keju untuk penggemar keju, serunding ayam, daging dan ikan bilis," katanya ketika ditemui di Seremban baru-baru ini. Bercerita lanjut mengenai usahanya itu, Khairul Effendi berkata, perniagaan roti itu mula diusahakan kakaknya di kampung mereka di Felda Sungai Kelamah bermula 2009. Perniagaan mereka yang beroperasi kecil kecilan itu bermodalkan RM5,000 dengan pengeluaran 30 keping sehari menggunakan lima kilogram tepung. Inisiatif dan usaha Khairul Effendi mungkin tidak begitu rumit dan didorong oleh minatnya dalam perniagaan makanan memandangkan beliau berpengalaman dalam bidang tersebut. Beliau pernah terlibat dalam perniagaan makanan pada 2005 di sebuah syarikat makanan barat sehingga 2007 meskipun mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang guaman. Namun, memandangkan penghargaan yang tinggi terhadap usaha seorang kakaknya, Khairul Effendi memasang impian untuk mengkomersialkan resipi tradisi itu. Selepas melihat ada sinar kejayaan, beliau mendapatkan bantuan Jabatan Pertanian Daerah Gemas dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengembangkan perniagaan tersebut. Ketika Jakim sebagai contoh memberitahu, jika hendak mendapatkan sijil halal operasi di belakang rumah tidak begitu sesuai, sebab itu beliau mula berfikir untuk membuat pengeluar berskala besar bagi dikomersialkan. Dengan modal pelaburan sebanyak RM30,000, Khairul Effendy memulakan operasi di premis baru di Kompleks Kilang SME Bank, Seremban bersama seorang rakan kongsinya, Mohd. Johari Yasin. Dengan visi ingin menjadi pengeluar utama makanan halal dan produk sejuk beku yang berjaya dan ingin menembusi pasaran global serta mencapai syarikat tempatan berstatus antarabangsa, beliau menubuhkan Syarikat Sanabil Marketing & Suppliers (M) Sdn. Bhd. sebagai penggerak operasi dengan kapasiti pengeluaran 4,000 keping roti bom sehari. Kawasan itu dipilih sebagai lokasi operasi kilang kerana kedudukannya yang tidak jauh dari ibu negara. Harga yang dikenakan sebagai anak angkat SME Bank juga tidak terlalu membebankan untuk tempoh sembilan tahun . Mohd Johari Yasin (baju merah) turut membantu kerja kerja mengadun bancuhan tepung di kilang . Syarikatnya kini mempunyai 20 pekerja dan memiliki pelbagai jenis mesin untuk operasi pengeluaran iaitu mesin membakar, mesin pembancuh, mesin pembungkusan kedap udara. Penggunaan mesin nyata banyak membantu kerana pengeluaran dapat ditingkatkan berkali ganda daripada 30 keping kepada 4, 000 keping dengan keupayaan 18 keping bagi setiap dua minit. Jabatan Pertanian pula sering membantu termasuk mesin pembahagi doh atau aduan tepung dan juga menawarkan kursus yang bersesuaian termasuk berkaitan perakaunan dan sumber manusia. Beliau juga membuat pinjaman daripada Agro Bank sebanyak RM40,000 sebagi modal pusingan perniagaan. "Saya juga mendaftar dengan semua 13 agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi tujuan promosi," katanya sambil menambah bahawa kos terbahagi kepada pengeluaran dan pemasaran. Dengan tagline Halal Asli dan Berkualiti, jenama Sri Ani Premium kini sudah dikenali menerusi usaha-usaha promosi dengan menyertai pameran dan karnival di serata tempat. Antaranya Karnival Rakyat Jom Halal, Karnival Pasar Terbuka Malaysia, Showcase Satu Daerah Satu Industri Zon Tengah Seremban, Program Satu Daerah Satu Industri Peringkat Kebangsaan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Putrajaya dan MAHA Peringkat Negeri Sembilan. Kemampuan Sri Ani Premium menembusi rak tiga pasar raya besar juga menjadi bukti produk tersebut telah diakui dan dipercayai kualitinya dan sedia bersaing dengan produk seumpamanya di pasaran. Maklumat lanjut mengenai syarikat dan produk boleh layari http://www.srianipremium.com.my. |
Posted: 28 Jul 2013 11:04 PM PDT Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD Penggunaan mesin khas untuk menguli tepung keropok lekor menjadikan kerja penghasilan makanan tersebut lebih mudah. SEBUT sahaja berkenaan produk makanan berasaskan ikan, pastinya ramai akan teringat kepada Terengganu. Negeri yang sedang pesat membangun itu bukan sahaja terkenal dengan pelbagai produk makanan berasaskan ikan malah turut kaya dengan budayanya. Keropok lekor umpamanya telah menjadi ikon produk makanan kepada Terengganu di mana makanan tersebut di hasilkan secara besar-besaran untuk dipasarkan ke seluruh negara Jika dahulu, keropok lekor hanya dinikmati oleh masyarakat Terengganu khususnya di waktu santai tetapi kini, dengan bertambahnya permintaan serta keberkesanan proses pemasaran, produk tersebut boleh dinikmati oleh hampir seluruh rakyat negara ini. Fenomena tersebut diakui oleh pengusaha produk sejuk beku, Sinku Manufacturing Sdn. Bhd., Zalehah Mohamad. Katanya, permintaan terhadap produk makanan berasaskan ikan amat tinggi terutamanya keropok lekor. ''Saya memulakan perniagaan ini sejak tahun 2000. Asalnya untuk memasarkan keropok lekor panjang tradisional bagi pasaran di Lembah Klang dan juga Johor Bahru. ''Permintaan yang diterima daripada pengguna amat memberangsangkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya dalam program lawatan ke kawasan projek di bawah kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Terengganu baru-baru ini. Tambahnya, potensi pasaran yang begitu meluas di luar Terengganu telah mendorong Zalehah dan suami menghasilkan keropok lekor sejuk beku. Produk tersebut bukan sahaja mampu bertahan lama, tetapi mudah di bawa kemana-mana serta kedap udara selain tidak mengubah rasa keropok lekor. Bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat, Sinku Food Industries Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 13 Disember 2005 dan diuruskan oleh Zalehah dan suaminya. Bertindak sebagai pengurus besar, Zalehah telah melabur sejumlah wang untuk memiliki mesin pemprosesan separa automatik bagi menampung permintaan pelanggan. Malah, beliau juga turut mendirikan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cendering yang mampu mengeluarkan satu hingga dua tan keropok lekor sehari. Jika dahulu, keropok lekor direbus menggunakan dapur kayu api dan diesel namun, atas inisiatif Zalehah, kaedah tersebut telah ditukarkan dengan teknologi yang lebih moden bagi menjaga kebersihan produk makanan yang dihasilkan. Langkah Zalehah dalam perusahaan keropok lekor bukan sahaja dihargai kerajaan negeri, malah agensi penyelidikan pertanian terkemuka negara, MARDI turut mengenal pasti potensi produk Zalehah dan menawarkan bantuan. Antara bantuan yang ditawarkan adalah berupa khidmat nasihat serta teknologi terkini daripada MARDI. Ujar Zalehah, untuk menghasilkan keropok lekor yang berkualiti mereka memerlukan isi ikan yang terbaik. Namun, ia menjadi cabaran terbaru buat Zalehah kerana untuk mendapatkan isi ikan mereka perlu memproses ikan dan menjadikan kerja-kerja menghasilkan keropok lekor perlahan. Justeru, Zaleha mengambil keputusan untuk membeli terus isi ikan yang telah diproses daripada peraih. Isi ikan yang telah diproses tersebut sedikit sebanyak mempercepatkan proses penghasilan keropok lekor dan tekstur serta rasa keropok lekor juga tidak berubah. Biarpun begitu, keropok lekor yang disimpan agak lama masih menimbulkan masalah antaranya wujud sejenis cecair atau serbuk berwarna putih. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Zalehah telah mendapatkan khidmat nasihat MARDI dan akhirnya masalah tersebut dapat diatasi. Sehingga kini, hasil khidmat nasihat serta teknologi MARDI yang diaplikasikan oleh syarikat tersebut mampu menjadikan produk keropok lekor sejuk beku bertahan sehingga enam bulan lamanya. Kini, Sinku Manufacturing Sdn. Bhd. bersama pengusaha-pengusaha makanan tradisional Terengganu sedang giat berusaha untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi menghimpunkan semua produk makanan tradisional. Katanya, usaha tersebut juga telah mendapat perhatian pihak kerajaan negeri Terengganu dan jika ia berjaya, projek tersebut bakal mengetengahkan produk-produk makanan tradisional Terengganu sehingga ke peringkat global. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan