Utusan Online - Keluarga |
Posted: 29 Jul 2013 07:05 PM PDT Norah Alias menyendukkan anaknya, Umairah Aisyah nasi kerabu lebihan daripada jualan di bazar Ramadan. PUAS dipujuk baru dia akur. itu pun selepas dikatakan cerita ini sekadar berkongsi teladan dengan wanita senasib. Apa pun berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Justeru, tidak hairanlah biarpun Syawal bakal menjengah dalam seminggu dua lagi, satu persiapan pun belum dibuat. "Biasanya seminggu sebelum raya baru mula cari baju anak. Walau sesusah mana, saya akan pastikan setiap seorang anak dapat sepasang baju kurung atau baju Melayu baharu. Kalau ada duit lebih baharu fikir untuk beli yang lain. "Bukan apa, kasihan pada anak-anak. Mereka dah bersungguh puasa. Malah anak yang umur tujuh tahun sampai hari ini belum tinggal (puasa) lagi," katanya ketika dikunjungi di rumah teres dua tingkat kos rendah di Jalan TKP 26, Taman Kantan Permai, Kajang, Selangor baru-baru ini. Ketabahan dan kecekalan ibu tunggal itu membesarkan anak-anak sendirian sejak tiga tahun lalu selepas berpisah dengan suami cukup dikagumi. Malah, demi anak-anak dia segera bangkit dengan membuang segala kedukaan akibat keruntuhan rumah tangga yang telah dibina selama 19 tahun. Berpendapatan RM800 sebulan hasil berkerja di dapur sebuah restoran, diagih dengan cermat bagi menampung belanja dapur dan keperluan sekolah serta sakit pening anak-anak. Begitupun, sepanjang bulan Ramadan pendapatan agak berkurangan kerana restoran ditutup. Tetapi dia bernasib baik apabila seorang rakan menawarkan kerja membantu berjualan di bazar Ramadan dengan upah RM30 sehari. "Dengan upah itulah saya simpan berdikit-dikit untuk belanja keperluan raya anak nanti. Apa yang pasti, sambutan raya sejak tiga tahun lalu dibuat sesederhana mungkin, membeli pada apa yang perlu sahaja. "Lagi pun raya biasanya kami semua akan balik ke rumah ibu bapa saya di Kulai Jaya, Johor. Di sana dapatlah anak-anak beraya dengan lebih ceria bersama sepupu-sepupu mereka," katanya. Norah mengakui kehidupan yang dilalui sekarang ini cukup memeritkan. Namun, dia bukan wanita yang cepat mengalah. Malah, jadi lebih kuat demi anak-anak. "Saya tak boleh rebah. Sebab kalau saya rebah ada sembilan lagi yang akan ikut rebah. Biar saya susah, tapi bukan anak-anak. "Begitupun saya sentiasa mendidik mereka agar berpijak di bumi nyata. Alhamdulillah setakat ini anak-anak faham keadaan saya. Tidak pernah meminta yang berlebih-lebih yang tidak mampu disediakan ibu mereka," kata Norah sambil memangku anak bongsunya. Selepas berpisah dengan suami yang berkahwin lain, anak-anak yang dulu hanya dihantar ke sekolah agama rakyat, disekolahkan seperti biasa di sekolah kebangsaan. Anak yang sulung Muhammad Abu Dzar Mohamad Bazarin, 19, kini sedang mengikuti pengajian tahfiz di Senai, Johor. Yang kedua Muhammad Muaz, 17, bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan Naura Dzulaikha, 15, menduduki Penilaian Menengah Rendah. Anak-anak Norah yang lain termasuk Halimatus Saadiah, 13; Umairah Aisyah, 11; Muhammad Amin, 10; Muhammad Syukri, 8; Noor Fatihah, 7, dan yang bungsu, Muhammad Musthofa, 3. Norah juga menganggap dirinya masih bernasib baik kerana mendapat peruntukan RM500 dari Pusat Zakat Selangor serta sedikit bantuan beras, tepung dan minyak pada setiap bulan. Wang tersebut diguna dengan cermat bagi melunaskan sewa rumah sebanyak RM380 sebulan. Selebihnya diguna bagi membayar bil api, air dan telefon. Bekas suami ada juga sesekali menghulur nafkah. Namun Norah tidak berharap sangat pada lelaki itu memandangkan dia sendiri sekadar berniaga kecil-kecilan dan sudah memiliki keluarga sendiri. Menurut Norah, demi kelangsungan hidup anak-anak, dia tidak kisah mengorbankan tidurnya dengan bangun seawal pukul tiga pagi untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anak daripada pakaian mereka hinggalah ke sarapan dan makan tengah hari. Ini kerana menjelang pukul lima pagi dia sudah mula melangkah keluar rumah menuju ke tempat kerja hingga pukul 1.30 petang. "Sepeninggalan saya, anak-anak yang lebih tua akan mengejutkan adik-adik mereka. Masing-masing bersiap untuk ke sekolah. "Anak bongsu akan dijaga oleh anak yang bersekolah sebelah petang sementara menunggu saya balik kerja. Malah anak yang bersekolah rendah pun sudah boleh diharap untuk menjaga adik mereka. "Namun, pada bulan puasa rutinnya berubah sedikit. Saya akan mula berada di gerai dari pukul empat petang hingga 8 malam. "Sedih juga kerana tidak dapat berbuka puasa bersama mereka, tetapi saya bekerja pun kerana mereka," katanya yang kadang-kala dengan izin majikannya akan membawa pulang lebihan makanan yang tidak terjual untuk dikongsi bersama anak-anak. Kerisauan Norah sekarang apabila mereka sekeluarga perlu mengosongkan rumah sewa yang didiami menjelang September ini. "Tuan rumah telah menjual rumah ini. Tak tahulah di mana kami nak tinggal selepas ini. Puas dicari rumah sewa sekitar sini tapi sewanya semua RM500 ke atas, manalah kami mampu. "Kalau boleh saya mahu terus tinggal sekitar sini kerana anak-anak baru setahun bertukar sekolah, lagi pun tempat kerja saya tidak sampai 500 meter dari rumah," katanya penuh mengharap. Bagi yang ingin menghulur bantuan kepada keluarga Norah boleh hubungi 03-92322805. - SITI ZALEHA JORIMAI |
Posted: 29 Jul 2013 07:05 PM PDT Oleh ZIRWATUL AKMA MOHD. ROZLAN Dr. Surinder Sigh (kanan) dan Lem Kong Soon pada majlis kempen Kempen Harapan Untuk Anak, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia lebih-lebih lagi dengan kehadiran cahaya mata yang menjadi bukti cinta mereka. Namun, masalah ketidaksuburan menghalang sesetengah pasangan merealisasikan impian menjadi ibu atau bapa. Seperti pasangan Shirley Goh, 33, dan David Ng, 43, yang usia perkahwinan mereka kini menjangkau tujuh tahun, pernah mengalami detik begitu sukar. Ketika itu bayangan untuk dikurniakan cahaya mata nampak samar walaupun selepas lebih dua tahun berkahwin. Menurut Shirley, pertanyaan orang sekeliling mengenai anak menjadikan dia tertekan. Pada masa sama turut memberi dorongan untuk dia dan suami mencari punca dan penyelesaian mengenai masalah yang dihadapi. "Pada 2009 kami berdua telah berfikir semasak-masaknya dan membuat keputusan untuk menjalani rawatan ketidaksuburan. "Saya berfikiran positif apabila membuat keputusan itu. Sekurang-kurangnya apabila saya mencuba peluang itu ada daripada tidak mencuba langsung," katanya ketika menghadiri pelancaran Kempen Harapan untuk Anak di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Kempen anjuran Persatuan Teknologi Reproduktif Bantuan Malaysia (MSART) dengan sokongan Merck Serono. Tambah Shirley, individu lain yang turut merangsang dirinya untuk mengambil keputusan itu adalah sepupunya sendiri yang pernah menjalani salah satu rawatan kesuburan iaitu persenyawaan In-Vitro (IVF). Manakala, David pula berkata, dia tiada sebarang halangan apabila Shirley memberitahu hasratnya untuk menjalani rawatan tersebut. "Malah saya juga ingin mengetahui masalah yang dihadapi oleh kami berdua," katanya. Galakan daripada keluarga juga memberikan pasangan itu semangat untuk meneruskan hasrat menjalani rawatan kesuburan. Shirley dan David telah menjalani rawatan dikenali sebagai Assisted Reproductive Technologies (ART) yang terdiri daripada dua rawatan iaitu IVF dan Suntikan Sperma Intra-Cytoplasmic (ICSI) dalam usaha pertama mereka mendapatkan zuriat. Setelah 10 minggu menjalani rawatan tersebut, akhirnya pasangan tersebut didatangi khabar yang cukup gembira apabila diberitahu bahawa Shirley mengandung. Akhirnya pada 2010 pasangan itu dikurniakan puteri sulung. Disusuli dua tahun kemudian cahaya mata kedua yang merupakan pasangan kembar juga hasil daripada rawatan kesuburan iaitu pembekuan telur dan embrio. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan