Selasa, 30 Julai 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Petak bazar Ramadan Jalan TAR ditambah

Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 29 Julai - Mereka yang tidak mendapat tapak niaga di bazar Ramadan di kawasan strategik Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tahun ini boleh berasa lega kerana mulai tahun hadapan jumlah petak itu akan ditambah.

Ini kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat keputusan untuk menjadikan tempat letak kereta berdekatan Semua House sebagai kawasan bazar Ramadan mulai tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, operator tempat letak kereta di kawasan tersebut bagaimanapun akan dikecualikan daripada dikenakan bayaran.

"Kini operator berkenaan membuka bazar Ramadan di situ setelah membuat permohonan namun tahun depan kawasan itu akan ditender oleh DBKL.

"Ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk menjalankan perniagaan ketika bulan Ramadan," katanya dalam sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun belum dapat memberikan butiran lanjut mengenai kawasan itu, termasuk jumlah petak yang dapat disediakan oleh DBKL kelak.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden Persatuan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah yang mendakwa gedung pakaian terkemuka Jakel mengambil tapak bazar Ramadan di kawasan Chow Kit, Mhd. Amin berkata, perkara tersebut adalah tidak benar.

"Jakel dah mohon untuk berniaga di hadapan bangunannya sendiri dan tidak mengambil mana-mana tapak bazar Ramadan pun.

"Ikhlas memang pandai bercakap kosong padahal segala yang diutarakan tidak benar sama sekali," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, peniaga bazar Ramadan yang didapati gagal melepasi ujian sampel makanan yang dijalankan pihaknya serta agensi berkaitan akan disenarai hitam oleh DBKL.

"Mereka ini tidak akan dibenarkan untuk berniaga di bazar Ramadan pada tahun hadapan.

"Tindakan tersebut bagi memastikan makanan yang disediakan oleh peniaga berada dalam keadaan yang bersih bagi mengelakkan masalah kesihatan terhadap pembeli," ujarnya.

Bilik wuduk ketiadaan air

Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT

OLEH SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

PENGUNJUNG terpaksa berwuduk menggunakan air yang telah ditadah di dalam kolah terlebih dahulu kerana bekalan air ke Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur yang rendah menyebabkan aliran air paip terlalu kecil. - UTUSAN/Farid Janudin

KUALA LUMPUR 29 Julai - Di sebalik kelazatan Bubur Lambuk Agung, tidak ramai yang tahu keperitan dan kesukaran yang dihadapi oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru dalam usaha menyediakannya, terutama pada tahun ini.

Ini kerana, pada Ramadan kali ini, bubur lambuk paling popular itu disedia dan dimasak dalam keadaan bekalan air yang sangat berkurangan yang dihadapi oleh masjid itu sejak dari awal Ramadan lalu.

Pengalaman sama turut ditempuhi pengunjung dan terutamanya kariah di situ yang mahu bersolat. Ini kerana air yang keluar dari kepala paip di tempat wuduk terlalu kecil sedangkan masjid itu diisi antara 300 hingga 500 orang setiap kali masuk waktu solat.

Bendahari Masjid Jamek Kampung Baru, Kamaruddin Mohamed Tahir berkata, jemaah menghadapi kesulitan untuk menggunakan air terutama untuk solat Asar, Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih.

"Mujur semasa Majlis Perasmian Bazar Ramadan baru-baru ini yang memerlukan kami menyediakan 100 periuk besar bubur, bekalan air dihantar menggunakan lori tangki sebagaimana yang diminta oleh Kementerian Pelancongan di saat kami hampir-hampir kehabisan bekalan air di masjid ini untuk memasak bubur.

"Tetapi selepas majlis itu, hendak membasuh periuk dan peralatan dapur menjadi susah sebab air tidak ada dan air yang keluar dari paip terlalu kecil," katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui baru-baru ini.

Kamaruddin berkata, pihaknya telah menghubungi pelbagai pihak berkenaan untuk mengadu mengenai masalah bekalan air yang dialami oleh masjid tersebut.

"Kami hanya diberi alasan masalah bekalan ini disebabkan oleh tekanan air terlalu rendah di masjid ini tetapi pihak berkenaan tidak berusaha untuk membantu cara lain bagi mengatasi masalah ini sedangkan ramai yang datang untuk bersolat di masjid ini.

"Apabila jemaah merungut tidak ada air, kami pihak pentadbiran dipersalahkan kononnya tidak melakukan apa-apa untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Keadaan ini menyebabkan pihak masjid, kata Kamarudin, terpaksa menadah air sepanjang malam dengan kolah untuk kegunaan keesokan harinya.

"Air yang ditadah dan disimpan sepanjang malam inilah digunakan untuk menyedia dan memasak bubur lambuk keesokan paginya dan untuk jemaah mengambil air sembahyang yang cukup sehingga untuk waktu Zohor dan Asar.

"Apa yang penting kami terpaksa menadah air yang mengalir kecil dari paip-paip yang ada sepanjang waktu bagi memastikan air tetap ada untuk digunakan," katanya.

Menurutnya jika keadaan bertambah teruk, pihak masjid mungkin terpaksa meletakkan papan notis meminta jemaah supaya lebih berjimat ketika berwuduk atau mengambil air sembahyang terlebih dahulu sebelum datang ke masjid untuk bersolat dan beribadat.

"Tetapi masalahnya ramai daripada kalangan jemaah yang datang untuk solat Tarawih di masjid ini datang dari luar, bukan dari Kampung Baru...jadi tentunya mereka mesti mengambil air sembahyang di sini," ujar Kamaruddin.

Sementara itu, siak masjid tersebut Zamri Abdul Karim berkata, beliau menghadapi masalah untuk membersihkan masjid terutama bahagian tandas akibat masalah tersebut.

"Saya terpaksa mengingatkan sesiapa yang ingin menggunakan tandas supaya menggunakan air yang ditadah jika hendak menggunakan tandas," katanya.

Masalah bekalan air ini turut melibatkan banyak kawasan di sekitar Kampung Baru walaupun dikatakan pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) telah menukar batang paip-paip lama kepada yang baru di hampir keseluruhan kawasan kampung tersebut.

Seorang pesara, Baharuddin Jalil, 54, yang tinggal berhampiran Jalan Raja Bot di kampung itu berkata, dia menghadapi masalah bekalan air yang teruk di rumahnya dan ini sangat menyukarkan dirinya untuk mengurus dan menjaga isterinya yang sedang sakit.

"Baru-baru ini bekalan air terputus dua hari berturut-turut, dan saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air yang ditadah dan disimpan sebelum itu," katanya.

Ishak Baba yang tinggal di Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pula berkata, bekalan air di rumahnya sering terganggu lebih-lebih lagi apabila berlaku banjir kilat, yang sering melanda di kawasan sekitar rumahnya.

"Ini menyebabkan untuk kerja-kerja membersihkan rumah benar-benar menjadi sukar akibat ketiadaan dan kekurangan air.

"Keadaan yang teruk juga dialami oleh penduduk yang tinggal di tingkat dua rumah dua tingkat di kampung ini. Air langsung tidak dapat sampai ke tingkat atas yang menyebabkan mereka terpaksa turun untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Petronas ceriakan 53 buah keluarga kurang bernasib baik

Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT

Mohammad Medan Abdullah (dua dari kiri) memberi sumbangan mesin jahit kepada salah seorang penduduk pada Program Sentuhan Kasih sempena Ramadan di Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

SABAK BERNAM 29 Julai - Sebanyak 53 keluarga kurang bernasib baik dari Kampung Dato' Hormat dan Kampung Tengar di sini menerima bantuan menerusi program Sentuhan Kasih Petronas baru-baru ini bersempena Ramadan.

Program yang berlangsung selama dua hari itu merupakan acara tahunan syarikat tersebut setiap kali menjelang perayaan besar di Malaysia.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, melalui program tersebut seramai 120 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Petronas tinggal di rumah keluarga berkenaan bagi membantu melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab Petronas membantu dan memberi sumbangan kepada penduduk demi kesejahteraan bersama.

"Antara aktiviti yang dijalankan menerusi program itu ialah membawa keluarga kurang bernasib baik pergi membeli-belah hasil sumbangan kakitangan berjumlah RM70,000.

"Petronas juga memberi sumbangan mengubah suai rumah setiap keluarga terlibat dan membaik pulih kemudahan awam seperti balai raya dan surau," katanya selepas menyampaikan bantuan mesin jahit dan duit raya kepada penduduk di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, penduduk juga berpeluang menonton iklan televisyen Petronas yang bertajuk 'Jahit' buat kali pertama.

Sementara itu Medan berkata, Petronas turut memilih hampir 500 penduduk di daerah Sabak Bernam menyertai Program Sentuhan Harapan.

"Buat masa ini sebanyak 13,500 penduduk dari seluruh negara dipilih menjadi penerima bantuan berbentuk asas makanan selama setahun itu.

"Kami berharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga dan meningkatkan kualiti kehidupan masing-masing terutama dalam bulan Ramadan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved