Ahad, 28 Julai 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tragedi bola sepak negara

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

K. Rajagobal

KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan menyifatkan kekalahan memalukan Harimau Malaya 0-5 kepada kelab kedua tercorot J-League 1, Shonan Bellmare dalam aksi persahabatan kelmarin, sebagai satu tragedi bola sepak tanah air.

Mereka berkata, maruah Harimau Malaya dicarik-carik kerana kekalahan besar tersebut.

Lantaran itu, kata mereka tiada sebarang alasan yang boleh diberikan jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal untuk menutup kepincangan Harimau Malaya sebaliknya satu formula drastik perlu dicari untuk memperbaiki prestasi yang semakin merudum.

Antara orang lama yang lantang bersuara adalah bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, yang menggesa supaya rombakan perlu dilakukan bagi pasukan kebangsaan sebelum terlambat dan menyifatkan kekalahan itu sebagai memalukan.

"Apa lagi saya boleh cakap? Kalau saya cakap nanti orang marah. Namun memang kualiti pemain dan jurulatih kita masih di takuk rendah dan kekalahan besar sebuah pasukan berstatus kelab, memang memalukan sebagai pasukan negara.

"Kita kena sedar Liga Jepun yang berada di kelas A dan apabila kita kalah, apa lagi hendak ditunjukkan oleh Rajagobal. Saya fikir sudah sampainya satu rombakan drastik perlu dilakukan, kekalahan 0-5 sukar untuk diterima oleh semua peminat bola sepak Malaysia, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Tidak menafikan bahawa kekalahan terbaru itu pasti menjatuhkan moral dan keyakinan pemain dalam tempoh terdekat, Khalid mengingatkan pemain supaya ada perasaan malu apabila tewas sedemikian rupa.

"Jika mereka ada berasa malu, sudah tentu mereka takut untuk menghadapi peminat kerana sering kali mencatatkan kekalahan namun andai sebaliknya iaitu tiada lagi perasaan malu, saya fikir mereka ini bukan lagi pemain tulen dan jangan terlalu banyak lagi memberi alasan, " katanya.

Sebelum ini, Harimau Malaya tewas 0-2 kepada satu lagi kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse dan akan melengkapkan siri perlawanan persahabatan di Tokyo dengan berdepan kelab J-League 2, Tokyo Verdy pada 31 Julai ini.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hasan pula mempersoalkan sama ada Rajagobal mendengar atau tidak kritikan yang dilemparkan oleh pemerhati bola sepak atau sekadar menganggap itu satu perkara yang tidak perlu diendahkan.

"Saya tahu ada kalanya pandangan yang diberikan oleh mereka di luar padang tidak sama dengan mereka yang melatih. Namun terimalah sekurang-kurangnya teguran itu sebagai sesuatu yang positif, janganlah hanya pandang sinis sahaja dengan apa orang lain perkatakan dengan mengatakan benda-benda yang tidak sepatutnya seperti ranking tidak perlu.

"Mungkin tidak semua apa yang diperkatakan oleh saya atau bekas-bekas pemain lain itu betul tetapi pandangan kami semua adalah berdasarkan pengamalan kami sepanjang bergelar pemain dan sayangkan bola sepak negara.

"Satu lagi, janganlah kita terlalu asyik mengimbas kejayaan lalu seperti memenangi pingat emas Sukan SEA atau Piala AFF. Sudah sampainya kita fokus untuk memperbaiki prestasi dari masa ke semasa, kekalahan ini satu tamparan hebat kepada, sudah tentu JFA (Persatuan Bola Sepak Jepun) mentertawakan kita boleh kalah kepada sebuah pasukan kelab, " katanya.

Saya tidak akan campur urusan BAM - Nadzmi

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@utusan.com.my

Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh (kiri) bersalaman dengan Tengku Mahaleel Tengku Ariff pada Mesyuarat Pemilihan BAM di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh menolak sebarang tanggapan bahawa kewujudan jawatan Presiden Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah untuk memberi 'akses' kepadanya mencampuri urusan badan badminton kebangsaan itu.

Kelmarin, Nadzmi secara rasmi menyerahkan tugas Presiden BAM kepada Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, namun ahli majlis sebulat suara melantiknya sebagai Presiden Kehormat.

Keadaan tersebut menimbulkan tanda tanya, apakah ahli majlis tidak seratus peratus mempercayai Tengku Mahaleel dan masih mahu sentuhan Nadzmi berada dalam badan itu.

"Tidak... tidak timbul sama sekali soal ahli majlis tidak mempercayai Presiden yang baharu. Apabila Tengku Mahaleel dipilih sebulat suara untuk menerajui BAM, bermakna mereka memberi sokongan penuh kepadanya.

"Tentang pelantikan saya sebagai Presiden Kehormat, pada saya jawatan ini cuma satu penghormatan dan bukan memberi akses kepada saya untuk mencampuri urusan BAM selepas ini.

"Presiden Kehormat bukan jawatan eksekutif, ia tiada sebarang kuasa dalam BAM, seperti yang saya kata, ia cuma satu penghormatan daripada ahli majlis BAM yang menghargai sumbangan saya selama ini.

"Saya menerimanya kerana saya percaya, dengan adanya ikatan seperti ini, mudah untuk saya bekerjasama dengan BAM selepas ini. Saya adalah Presiden BAC (Konfederasi Badminton Asia) , kami mempunyai banyak program yang memerlukan kerjasama BAM.

"Antara program utama yang akan dilaksanakan selepas ini adalah program keluarga angkat.

"Dalam usaha untuk menaikkan badminton di negara-negara lemah, BAC akan memberi keluarga angkat kepada negara ini, dan Malaysia akan menjadi salah satu daripada keluarga angkat tersebut," kata Nadzmi.

Nadzmi juga percaya, beliau meninggalkan BAM dalam keadaan lebih baik berbanding ketika mengambil alih badan itu pada 2000, justeru tiada apa yang hendak dikesali apabila melepaskan jawatan yang sudah 13 tahun disandang.

Katanya, ketika mula memegang jawatan Presiden, badan badminton itu berdepan dengan masalah kewangan dan cabaran utamanya adalah mengukuhkan kedudukan BAM agar dapat melaksanakan program pembangunan dengan lebih efektif.

"Masa mula-mula saya jadi Presiden, BAM langsung tiada duit. Sebagai seorang ahli korporat ketika itu, saya menggunakan kepakaran saya untuk membawa masuk wang ke dalam persatuan.

"Hari ini, saya senang hati kerana kedudukan kewangan BAM sudah stabil dan kita boleh merancang program kerana sudah ada duit, tetapi kemudian datang cabaran lain, kita tidak dapat menemui formula terbaik untuk menyaingi China dan Korea.

"Inilah cabaran yang akan dihadapi kepimpinan baharu BAM nanti, bagaimana hendak mencari formula agar kita boleh menjadi kuasa badminton dunia. Pada zaman saya sebagai Presiden, kami telah melakukan banyak perkara, banyak perubahan dalam struktur tetapi ia menghasilkan keputusan minimum.

"Saya tidak kata apa yang kami lakukan selama ini tidak memberi faedah, banyak juga yang mendatangkan hasil yang bagus, cuma kesannya tidak maksimum, tidak cukup baik untuk menyaingi China... formula inilah yang harus dicari oleh orang selepas saya nanti," ujar Nadzmi lagi.

Tengku Mahaleel, 66, yang juga Presiden Persatuan Badminton Kelantan akan menerajui BAM untuk penggal 2013-2017.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved