Utusan Online - Pendidikan |
Sisip Sigai dalam teks matematik Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT Oleh Wahid Hashim itamta harUN DIPAKSA menghafal sifir - bagi murid lemah dan membenci matematik - ialah mimpi ngeri, khususnya dalam kalangan murid-murid Melayu di sekolah kebangsaan (SK). Bagi guru matematik pula, mereka sering sakit kepala kerana tiada kaedah atau alat menghafal yang mudah supaya murid berupaya mengingat dan berjinak-jinak dengan sifir kerana sifir ialah ibu segala matematik. Pelbagai inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik pernah ditemui dan telah dikomersialkan, tetapi tidak sehingga diterima sebagai teks sekolah kerana beberapa kekurangan dalam kesesuaian dari segi teori, falsafah dan amalan. Namun begitu, kaedah yang diberi nama Sifir Garis Itamta (Sigai) hasil inovasi Guru Besar SK Kati di Kuala Kangsar, Itamta Harun, memang wajar dipertimbangkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) sebagai teks di sekolah Malaysia. Uniknya Sigai ialah murid tidak perlu lagi menghafal sifir. Selain itu, kaedah itu dicipta untuk mengatasi masalah murid yang tidak menguasai fakta asas darab dan bahagi - khususnya murid pemulihan khas dan pendidikan khas yang menghadapi masalah pembelajaran Linus (Literasi dan Numerasi) Matematik "Objektif Sigai ialah pelajar tidak perlu menghafal sifir,'' kata Itamta. Potensi Sigai cukup besar ekoran testimoninya yang pernah memenangi anugerah di dalam dan luar negara, dan khabarnya sudah ada usaha untuk menyesuaikan dan mengeksploitasi penemuan itu dalam kalangan pengamal matematik di sekolah-sekolah di Kanada. Itamta mengesyaki terdapat usaha untuk menciplak Sigai di Taiwan, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian - mujurlah belum ada usaha memplagiat Sigai setakat ini. Penemuan itu belum dipatenkan kerana kos berbuat demikian agak mahal, kata Itamta. Kini, kaedah itu boleh dicapai di laman Wikipedia, dengan menaip Sigai pada enjin pencarian. Wartawan Utusan Malaysia ketika ditunjuk ajar tentang kaedah itu oleh Itamta sendiri, mendapati pendekatan Sigai amat mudah difahami, mempunyai elemen matematik minda, ciri-ciri sempoa, serta boleh dilakukan dengan sokongan alat bantu mengajar maujud yang berciri fizikal, boleh dipegang dan dimanupliasi. Kata Itamta, konsep asas Sigai ialah penggunaan garis menegak dan melintang, iaitu nombor pertama diwakili garis menegak, nombor kedua oleh garis melintang dan jawapan diwakili titik pertemuan garis menegak dan melintang. ''Murid lemah dalam program Linus, murid Orang Asli, murid di pedalaman atau yang bermasalah pembelajaran perlu dicuba dengan Sigai,'' katanya. Kaedah Sigai melibatkan pengiraan menggunakan garisan menegak dan melintang bagi mendapatkan jawapan dalam operasi darab atau bahagi tanpa perlu menghafal sifir 2 hingga 9. Sigai untuk murid sekolah rendah dan perlu menguasai Sigai Fasa 1, Sigai Fasa 2 dan Sigai Fasa 3. Fasa 1 melibatkan kiraan 1 digit darab atau bahagi dengan 1 digit, Fasa 2 melibatkan 2 digit dan Fasa 3 melibatkan 3 digit. Kaedah Sigai ditemui semasa beliau menyampaikan ceramah Matematik di SK Jalong, Sg. Siput Utara dalam Program Gerak Gempur Matematik anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar, Perak. "Seorang guru wanita di sekolah tersebut mencabar saya supaya memperkenalkan kaedah penguasaan sifir tanpa perlu menghafal atau mengingat sifir dua hingga sembilan,'' katanya. Pada sebelah malamnya, Itamta melakar dan mencuba beberapa kali dengan melakar garisan menegak dan melintang Fasa 1, " maka terciptalah Sifir Garis Itamta atau singkatannya Sigai,'' katanya. Semasa itu beliau bertugas sebagai Guru Besar SK Sg. Siput pada 1993 hingga 1997. Fasa 2 dan pengenalan konsep Sigai kepada digit sifar ditemui semasa beliau menyampaikan ceramah di Pusat Kegiatan Guru Manong, apabila seorang guru lelaki meminta penjelasan bagaimana kaedah Sigai yang melibatkan digit sifar (kosong). "Saya pun tidak terfikir isu yang dikemukakan oleh guru berkenaan,'' katanya. Semasa itu beliau bertugas sebagai Guru Besar SK Manong (1998-2000) dan Pengerusi Panitia Matematik Daerah Kuala Kangsar. Kata Itamta, pada 2001 terciptalah sepenuhnya kaedah Sigai yang melibatkan Fasa 3 dan operasi bahagi. Pada tahun yang sama beliau menyertai Pertandingan Anugerah Gemilang Akademik anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Perak dan menerima Anugerah Penghargaan sempena Hari Guru Negeri Perak. |
Peluang lanjut pengajian martabatkan profesion keguruan Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT DEWASA ini terdapat banyak peluang dan ruang untuk guru-guru kita melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan ijazah pertama, sarjana dan doktor. Peluang ini seharusnya digunakan oleh guru yang terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi. Hal yang demikian kerana terdapat banyak kemudahan dan insentif bagi guru terbabit untuk menggapai cita-cita tersebut. Cara untuk membayar yuran kolej dan pengajian telah menjadi begitu mudah dan toleran mengikut tempoh yang ditetapkan. Perundingan dan perbincangan untuk ke arah berkenaan menjadi teras pengajian ini berjalan lancar walaupun ada segelintir guru terbabit mengalami masalah kewangan, penjagaan anak, suami atau isteri yang berjauhan. Menuntut ilmu hukumnya wajib. Guru-guru yang masih berkhidmat dan layak untuk menyambung pelajaran ini sebenarnya adalah kumpulan guru yang bertuah. Mereka dapat menghabiskan tempoh pengajian dan dapat menikmati hasil peningkatan kelayakan mereka pada ketika mereka masih berkhidmat lagi. Tentu mereka akan diangkat ke tahap yang lebih tinggi atau naik pangkat berpandukan kelayakan dan kebolehan mereka. Lambat laun mereka akan memperoleh banyak lagi kemudahan hasil usaha penambahbaikan dasar-dasar kerajaan yang sentiasa mengangkat darjat para penjawat awam seperti guru. Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Apa sahaja yang ingin kita peroleh memerlukan usaha dan pengorbanan yang berterusan. Bagi mereka yang sudah berkeluarga perkara ini amat dirasakan. Meninggalkan anak, suami atau isteri mengwujudkan sedikit ketidakselesaan kepada mereka dalam sepanjang tempoh kuliah itu berlangsung semenangnya menjadi kebiasaan. Berkat kesabaran kedua-dua belah pihak, guru yang terbabit dapat menamatkan pengajian dan menggenggam segulung ijazah yang diidam-idamkan. Tahniah para guru dan rakan-rakan yang memperoleh kejayaan ini. Memang benarlah kata-kata bijaksana hendak seribu daya dan tak nak seribu dalih. Dengan niat yang telah ada hendak menyambung pelajaran, usaha keras para guru dan doa yang khusyuk lambat laun apa yang kalian perjuangkan akan berhasil. Ini sunnatullah, hukum Tuhan. Bak kata pepatah Arab Man Jadda, Wajada-Sesiapa yang bersungguh-sungguh, dia berjaya. Bagi sekelumit guru yang tidak berpeluang dan ruang untuk sama-sama merebut kemudahan dan keistimewaan tetapi berkeinginan, itu semenangnya terasa sedikit termengkelan. Apa yang diharapkan kini ialah kalau-kalau mereka ini dapat diangkat ke tahap yang lebih tinggi daripada kedudukan sekarang sejajar dengan pengalaman yang ada. Kalau diselidiki sesetengah daripada mereka ini mempunyai kebolehan dan kemahiran yang masih bersangkutan dengan dunia pendidikan. Didapati ada guru yang menjadi penulis, mendapat tempat di akhbar dan majalah dan telah menghasilkan buku, novel, cerpen, puisi atau lain-lain genre penulisan dalam koleksi mereka. Selain itu ada juga antara mereka yang mendapat kemenangan dalam pertandingan penulisan yang dianjurkan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Rekod yang baik dan penampilan yang berkesan juga wajar diperhatikan. Ada juga antara mereka yang memiliki kursus lanjutan dengan pengkhususan tertentu contohnya selama setahun di institut pendidikan wajar juga diambil kira untuk kenaikan pangkat. Kalau tidak golongan ini akan hanya melihat seorang demi seorang rakan mereka meniti anak tangga demi anak tangga. Bohong kalau dikatakan golongan ini tidak berhasrat untuk menggapai jawatan nombor satu di sekolah pada ketika ini. Yang bersinar bukan semuanya bercahaya. Kelulusan penting tetapi pengalaman juga tidak wajar ditolak sama sekali. ABDULLAH ABDUL RAHMAN SK Serting 3 (Felda), Negeri Sembilan |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan