Utusan Online - Pemotoran |
Chevrolet Sonic mudah dikendali Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD REKA bentuk bergaya menarik golongan muda untuk memilikinya. PEMILIHAN saiz kenderaan bagi penggunaan di dalam kawasan bandar amat dititikberatkan oleh pemandu kenderaan pada masa kini, terutamanya di kawasan yang hanya memiliki tempat meletak kereta sekadar muat. Pemilik yang kerap berurusan di kawasan tersebut tentunya menghargai ciri reka bentuk kompak di samping bergaya pada sesebuah kenderaan yang dipandu mereka. Lantaran itu, Chevrolet Sonic yang dibawa masuk pengedarnya, Naza Quest Sdn. Bhd. merupakan pilihan yang tepat kerana ia lebih mudah dikendali di kawasan yang mempunyai kapasiti lalu lintas yang tinggi dan padat. Didatangkan dengan dua varian iaitu sedan dan hatchback, kuasa pecutan Sonic tidak begitu menghampakan bagi kenderaan yang ditaruhkan dalam segmen B itu. Biarpun kapasiti enjin boleh dikatakan rendah bagi model sedan, namun pemanduan di kawasan sibuk amat membantu terutamanya dari segi penjimatan bahan api. Penulis yang berpeluang memandu uji model sedan baru-baru ini, merasai keselesaan kenderaan itu yang dilengkapi enjin 1.4 liter dengan sistem transmisi automatik 6-kelajuan beserta Shiftronic. Enjin Ecotec DOHC yang mampu menjana kuasa maksimum sehingga 100hp atau 6,000rpm dan tork setinggi 130Nm atau 4,000rpm itu hanya memerlukan 12.9 saat untuk pecutan dari titik pegun ke 100km. Malah, penggunaan Sonic untuk pulang bergaya ke kampung halaman pada musim perayaan juga amat praktikal bagi keluarga bersaiz sederhana kerana ruang kargo bagi varian sedan adalah 466 liter. Sonic sedan ternyata mampu memberi keselesaan yang diingini bukan sahaja kepada pemandunya, tetapi penumpang hadapan atau belakang. Bahagian hadapan Sonic dilengkapi gril dengan salutan krom serta lambang Chevrolet pada bahagian tengahnya. Manakala, lampu utama hadapannya memiliki rekaan unik dengan perumah yang gelap dan ditambah dengan lampu kabus dan lampu belakang juga diberi sentuhan kemasan krom. Dari segi rekaan dalaman pula, paparan meter kenderaan yang menyasarkan golongan muda itu juga amat selesa kerana hanya memaparkan maklumat utama semasa pemanduan di samping saiz paparan yang besar dan jelas. Naza Quest turut menaja tiga buah Chevrolet iaitu Sonic, Colorado dan Orlando untuk kegunaan Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) sepanjang Kembara Queen Street pada 6 hingga 8 Julai lalu. Harga model 1.4L (Sedan) ialah RM77,508 dan 1.4L (Hatchback) RM79,508. |
Ford Kuga baharu menjimatkan bahan api Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT KUALA LUMPUR 28 Julai - Teknologi proses MuCell yang baru diperkenalkan akan membantu meningkatkan penjimatan bahan api pada kenderaan-kenderaan masa depan Ford, bermula dengan Ford Kuga serba baharu. Proses Mucell yang dipatenkan oleh Trexel Inc. ini, melibatkan penggunaan sejenis gas seperti karbon dioksida (CO2) atau nitrogen yang dikawal rapi ke dalam proses pembentukan acuan pancitan. Ia kemudian menghasilkan berjuta-juta buih bersaiz mikro dalam konfigurasi yang seragam, sekali gus berupaya mengurangkan berat komponen plastik. Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Kumpulan, Pembangunan Produk Global, Ford Motor Company, Raj Nair berkata, syarikat itu memberikan tumpuan untuk memanfaatkan inovasi-inovasi bahan yang boleh mengurangkan berat dan meningkatkan penjimatan bahan api serta membantu kenderaan Ford bergerak lebih jauh dengan minyak yang kurang. "MuCell adalah contoh terbaik mengenai usaha ini. Ini merupakan kali pertama proses MuCell digunakan di dalam sebuah panel instrumen yang menjadi komponen automotif paling besar yang dihasilkan dengan menggunakan proses berkenaan," katanya. Sementara itu, Steve Braig, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Trexel berkata, syarikat itu sedang bekerjasama dengan Ford untuk menggunakan proses MuCell dengan cara yang strategik bagi banyak lagi aplikasi, apabila syarikat itu memasukkan MuCell dalam garis panduan reka bentuknya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan