Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Banjir: Pulau Pinang harap bantuan Pusat

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

PULAU PINANG 7 April - Kerajaan DAP Pulau Pinang terpaksa bergantung kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek penebatan banjir berikutan kekurangan dana.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, pihaknya masih menunggu peruntukan yang diluluskan sejak pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

"Kita telah lakukan usaha untuk memindahkan penduduk yang tinggal di tebing sungai bagi memberi laluan kepada projek penebatan banjir.

"Walau bagaimanapun, kita tiada peruntukan yang besar dan mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi melaksanakannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hujan lebat lebih empat jam sejak pukul 3 pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan seperti Jalan P. Ramlee, Air Itam, Jalan Datuk Keramat dan Jalan Perak di sini dinaiki air.

Ratusan kenderaan terperangkap selain lebih 300 keluarga terjejas berikutan air naik sehingga 1.76 meter selain berlakunya kejadian tebing runtuh di Paya Terubong dekat sini.

Boon Poh menjelaskan, paras air naik secara mendadak berikutan air laut pasang menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir ke sungai.

Menurutnya, kejadian itu merupakan banjir kilat paling buruk pernah melanda Pulau Pinang.

RM60 juta untuk bantu bina, baiki rumah rakyat

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

KEPALA BATAS 7 April - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM60,193,380 bagi program bantuan rumah (PBR) untuk membaik pulih dan membina rumah baharu bagi golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Peruntukan itu disalurkan melalui GiatMara bagi membaik pulih sebanyak 3,660 buah rumah serta membina 427 rumah bagi membolehkan golongan yang kurang berkemampuan mendapat kehidupan lebih selesa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jamal Nasir Othman berkata, kos untuk baik pulih rumah itu adalah sebanyak RM12,000 sebuah manakala pembinaan rumah baharu melibatkan kos RM40,000.

"Ini adalah inisiatif kerajaan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapat kehidupan lebih baik melalui kediaman selesa.

"Oleh itu kerajaan memperuntukkan lebih RM60 juta untuk kemudahan hampir 4,000 penduduk di seluruh negara melalui PBR di bawah KKLW," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan PBR itu bagi kawasan Kepala Batas di Kampung Pokok Jenerih di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamal Nasir memaklumkan, sebuah pusat GiatMara baharu akan dibina di Kepala Batas melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Jelasnya, pusat itu dijangka siap dalam masa 10 bulan dan akan menawarkan kursus kimpalan peringkat tinggi dan merupakan yang terbaik di wilayah utara Semenanjung.

"Pusat itu akan mula beroperasi awal 2014 dengan sijil yang dikeluarkan adalah sijil profesional dari The Welding Institute, Cambridge, London.

"Saya berharap program ini mampu menarik minat belia di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis kerana terlalu banyak kelebihan yang mampu diterima mereka selain peluang gaji sebagai jurukimpal yang amat tinggi," ujar beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved