Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Menerajui sektor pertanian Kedah

Posted: 08 Apr 2013 02:00 AM PDT

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
agro@utusan.com.my

Keluasan ladang betik di bawak projek PMBKed yang terdapat di Kedah.

DI kurniakan dengan kawasan tanah yang menghijau dan subur menjadikan Malaysia merupakan negara yang amat bertuah.

Rata-rata, rakyat negara ini amat bertuah kerana jika rajin berusaha apa sahaja kerja yang dilakukan pasti membuahkan hasil.

Bidang pertanian merupakan antara asas yang membina ekonomi negara sejak awal kemerdekaan lagi.

Malaysia terkenal dengan sektor perladangan getah suatu ketika dahulu dan kini dikenali pula dengan perladangan kelapa sawit.

Malah, negara telah dinobatkan antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia walaupun tanaman tersebut bukanlah merupakan spesies asal terdapat di negara ini.

Pengurusan serta polisi kerajaan yang mementingkan sektor pertanian sejak dari dulu lagi kini telah mula membuahkan hasilnya.

Begitu juga dengan kerajaan negeri Kedah menerusi Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) turut melaksanakan pelbagai projek dalam sektor pertanian bagi menyahut seruan kerajaan yang mahu memajukan negara menerusi sektor tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PMBKed, Datuk Shahabudin Shafie, pihaknya menyasarkan empat teras pembangunan sektor pertanian serta penternakan yang dijadikan sebagai hala tuju yang strategik.

"Antara projek di bawah Perladangan Komoditi adalah seperti penubuhan ladang getah dan kelapa sawit.

"Penubuhan ladang tersebut adalah seperti di Ladang Ulu Mahang (sawit), Ladang Bukit Kachi (getah), Ladang Gunung Inas (getah), dan Ladang Charuk Tawar (sawit) yang semuanya berjumlah 540 hektar (ha)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat di dalam program lawatan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke kawasan projek bersama pihak media baru-baru ini.

Jelas Shahabudin lagi, projek pertanian yang dijalankan adalah bagi memenuhi permintaan yang tinggi di samping mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Jenis buah-buahan yang dipilih tersebut adalah berdasarkan permintaan yang tertinggi di kalangan masyarakat negara ini khususnya di kedah.

"Pisang dan kelapa sebagai contoh. Permintaan yang sedia ada adalah melebihi daripada stok yang mampu dibekalkan," katanya.

Manakala buah nanas yang dikeluarkan oleh ladang di Bukit Tangga akan dipasarkan ke sekitar Kuala Lumpur.

Bagi tanaman betik, ladang seluas 80 hektar telah mula mengeluarkan hasil.

Antara baka betik yang ditanam adalah daripada varieti Sekaki (Hong Kong) dan juga varieti Solo dan kelapa adalah daripada varieti kelapa pandan dan matag seluas 280 hektar.

Bagi sektor akuakultur marin, pihak kerajaan negeri telah melaksanakan projek sangkar laut di Langkawi sebanyak 200 buah sangkar.

Menerusi pembiayaan sendiri, sangkar yang sedia ada tersebut akan dipertingkatkan sehingga mencecah 400 buah sangkar sehingga tahun 2014.

Antara spesies ikan yang dipelihara adalah kerapu harimau di mana spesies ikan tersebut dikatakan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Hong Kong dengan kadar harga RM50 dan ke atas bagi berat sekilogram (kg).

Bagi mengurangkan kos penternakan, anak benih ikan tersebut diperolehi dari Bali, Indonesia yang terkenal dengan pusat penetasan pelbagai jenis ikan.

Selain itu, terdapat juga spesies ikan lain yang turut diperkenalkan untuk tujuan penternakan akuakultur seperti kerapu harimau, kerapu cantik, kerapu botol dan juga ikan merah.

Bagi jangka masa panjang, PMBKed menyasarkan akan membuka pusat penetasan, makanan serta pembiakan bagi penyediaan stok sendiri.

Program tersebut juga bagi membantu serta mentransformasikan masyarakat nelayan di Kedah ke arah yang lebih baik menerusi program penternakan ikan sangkar.

Melalui program tersebut, PMBKed membantu menyediakan segala kelengkapan bermula daripada stok anak ikan, peralatan serta bantuan makanan.

Pulangan pelaburan yang dijangka menerusi program tersebut adalah sekitar RM3,500 sebulan bagi kira-kira 20 buah sangkar.

Pengiraan bagi pendapatan tahunan projek tersebut adalah bermula daripada pelepasan benih sebanyak 320,000 ekor di mana dijangka peratusan anak ikan yang hidup adalah sekitar 35 peratus.

Daripada 35 peratus tersebut dijangka baki ikan yang hidup adalah sebanyak 112,000 ekor dan sedia dipasarkan apabila berat ikan mencecah 750 gram (g) seekor.

Berat ikan yang dituai dianggarkan adalah sebanyak 84,000 kilogram (kg) dan dipasarkan dengan kadar harga RM58/kg sekali gus memberikan pendapatan sebanyak RM4,872,000 setahun.

Dalam pada itu, penumpuan yang diberikan kepada sektor pertanian serta perikanan tidak meninggalkan sektor pelancongan di negeri tersebut.

Oleh yang demikian, PMBKed mengambil keputusan untuk membangunkan semula kawasan Paya Pahlawan menerusi Pusat Latihan dan Peranginan ILBAS.

Di miliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri, program tersebut juga merupakan salah satu projek yang bakal menyumbang kepada kerancakan ekonomi negeri Kedah di dalam sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.

Bagaimanapun, projek tersebut memerlukan peruntukan bagi memulih serta menaik taraf bangunan serta prasarana yang sedia ada di Pusat Latihan dan Peranginan ILBAS.

PMBKed menyasarkan peruntukan geran menerusi permohonan pinjaman daripada pihak NCIA bagi menaik taraf bangunan dan prasarana di pusat berkenaan.

Antara lain, pihak PMBKed juga sedang dalam proses memohon modal awal bagi menampung perbelanjaan kos operasi dan penyelengaraan.

Selain itu, peruntukan yang dipohon juga adalah untuk melaksanakan program-program bersama pihak sekolah bagi membantu para elajar yang kurang berkemampuan untuk mengikuti program Kem Bina Semangat.

Di pusat tersebut, terdapat pelbagai kemudahan bangunan seperti bilik dorm, rumah tetamu, dewan tertutup, dewan terbuka, surau, dewan makan, jeti, kios, wakaf serta khemah.

Seperti yang dinyatakan, sasaran kumpulan yang akan mengikuti pelbagai program yang bakal disediakan adalah pelajar sekolah rendah kebangsaan, pelajar sekolah menengah kebangsaan, pelajar universiti, agensi-agensi di di dalam sektor kerajaan serta sektor swasta.

Selain menawarkan pelbagai prasarana, pusat tersebut juga turut melaksanakan pelbagai program seperti aktiviti bertali.

Malah, aktiviti air seperti berkayak, berakit serta aktiviti menyusuri denai hutan, perkhemahan, trek halangan, menyeberangi tasik serta aktiviti marathon merentasi kawasan kampung juga turut disediakan.

Dalam pada itu, pihak pusat tersebut juga mencadangkan penambahan aktiviti seperti jet ski, bot kawalan jauh, bot pisang, lapangan 'paintball', padang memanah, payung terbang bermotor, memancing, berbasikal, menunggang ATV dan juga berkuda.

Di sebalik semua perancangan tersebut, pihak PMBKed mengharapkan segala cadangan serta projek yang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar di samping bantuan serta kerjasama yang diberikan oleh pihak NCIA.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved