Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


7 ciri-ciri aku janji terbaik

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Oleh Rohami Shafie
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia.

DEMAM Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU- 13) sudah bermula. Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang sudah mengumumkan manifesto masing-masing. Bagi BN, istilah aku janji Rakyat Didahulukan lebih sesuai digunakan kerana ia menunjukkan ikrar BN untuk menepati segala intipati yang diumumkan demi menunaikan harapan rakyat.

Tidak kiralah apa pun istilah, yang penting pengumuman yang dibuat oleh BN mahupun pakatan pembangkang adalah perkara yang perlu ditunaikan dan bukannya sekadar umpan untuk memikat hati pengundi mengundi mereka.

Bagi membezakan di antara aku janji BN dan manifesto pakatan pembangkang, terdapat tujuh ciri-ciri yang mana pengundi perlu mengenal pasti terlebih dahulu sebelum mengatakan bahawa aku janji inilah yang terbaik untuk rakyat.

Ciri pertama adalah aku janji tersebut mestilah adil dan saksama. Tidak boleh hanya menjurus kepada satu-satu pihak. Umpamanya, hanya tertumpu kepada generasi muda dengan intipati harapan untuk mereka sahaja sedangkan terdapat pelbagai golongan pengundi iaitu, generasi lama yang lebih memikirkan masa hadapan anak cucu cicit mereka. Negara ini bukan dihuni oleh satu golongan sahaja, maka aku janji yang berat sebelah hanya mengundang masalah kepada golongan lain.

Kedua, menyeluruh dalam semua segi. Ini bermaksud meliputi semua bidang termasuklah politik, keselamatan, sosial dan pendidikan serta paling utama adalah ekonomi. Intipati aku janji yang hanya mementingkan sesuatu bidang sahaja umpamanya ekonomi tidak mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Sebagai contoh, apalah gunanya ekonomi maju tetapi jenayah berlaku dengan berleluasa. Jadi, aku janji yang menyeluruh, holistik atau komprehensif adalah antara ciri utama aku janji terbaik.

Ketiga, realistik dan bukan populis. Sekadar untuk menjadi populis, umpanlah segala-galanya 'percuma'. Namun, realistikkah segala-galanya diberi percuma?

Dalam dunia ini tidak semuanya percuma kecualilah nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT seperti nikmat bernafas dengan udara yang segar, nikmat melihat dan mendengar yang tidak perlu dibayar dengan wang ringgit. Tetapi bagi hal-hal lain, kebanyakannya mempunyai nilai yang perlu dibayar.

Keempat, kemampuan. Ciri ini selalunya tidak diambil berat oleh segelintir ahli politik. Sesebuah negara pastinya terhad sumber-sumber kekayaan. Hanya pengagihan sumber dengan adil dan saksama sahaja memberi manfaat kepada semua.

Malangnya, intipati manifesto yang berlagak seolah-olah mampu untuk semua segi menggambarkan tiadanya perancangan yang jitu. Ia umpama biar papa asal bergaya. Tidak mengapalah jika bergaya sampai ke anak cucu cicit tanpa masalah kewangan, malangnya belum sampai ke generasi anak pun, negara sudah punah dilanda kemuflisan, jadi siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas kemusnahan negara?

Kemampuan ini perlu seiring dengan rasa tanggungjawab membentangkan aku janji dengan mengambil kira perancangan rapi dan terperinci untuk memakmurkan negara.

Kelima, menepati segala intipati manifesto dan bukanlah sekadar retorik. Hanya indah untuk didengar tetapi pahit untuk ditelan.

Usah sekadar lembut lidah menjelang PRU-13 tetapi disimpan dengan rapi tanpa melakukan sebarang tindakan selepas PRU-13. Lebih malang lagi, apabila tidak langsung menunaikan intipati manifesto tersebut.

Dengan kata lain, pengundi diperdayakan oleh segelintir ahli politik yang tamakkan kuasa. Tiada langsung rasa untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh pengundi kepada mereka. Sedangkan melaksanakan amanah dengan baik adalah kunci utama pemimpin yang terbaik.

Keenam, pengalaman melaksanakan aku janji. Bagi parti yang telah berpengalaman melaksanakan aku janji dengan baik, pengalaman ini akan digunakan pada masa akan datang. Bagi yang tiada pengalaman, mereka tidak mempunyai kemahiran tinggi dalam melaksanakan aku janji.

Sebenarnya, menunaikan aku janji bukan sekadar menepati janji tetapi juga perlu adanya kemahiran tinggi dalam melaksanakannya. Ini kerana setiap satu intipati aku janji mempunyai objektif masing-masing untuk dicapai, maka jika setiap daripada objektif tersebut dilaksanakan oleh golongan yang tidak mempunyai kemahiran tinggi kerana pengalaman cetek, mana mungkin ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Ketujuh dan yang terakhirnya ialah prestasi semasa sesebuah kerajaan. Pada PRU-13 ini, pengundi boleh menilai prestasi semasa parti BN yang memerintah Kerajaan Persekutuan, manakala pakatan pembangkang pula telah diberi peluang selepas PRU-12 menunjukkan kebolehan mereka memerintah untuk beberapa negeri, iaitu Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang.

Mana satukah yang mempunyai prestasi yang lebih baik? Sebagai contoh, jika kerajaan BN telah berjaya mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus, adakah negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang telah mengatasi pertumbuhan ekonomi yang berjaya dicatatkan oleh BN?

Selain itu, adakah pakatan pembangkang telah berjaya mengatasi pelbagai masalah rakyat selepas diberi peluang memerintah beberapa negeri?

Jika jawapannya adalah ya, sudah tentu pengundi berasakan prestasi pakatan pembangkang adalah lebih baik daripada BN. Tetapi jika pengundi berasakan tidak, ini bermakna peluang yang diberikan telah disia-siakan oleh pakatan pembangkang.

Bagi pengundi, prestasi semasa menggambarkan sejauh manakah sesuatu parti dapat melaksanakan aku janji dengan jayanya. Jika semuanya memuaskan, untuk segenap lapisan rakyat terutamanya rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, maka pengundi tidak teragak-agak untuk memilih parti tersebut.

Justeru, tujuh ciri-ciri aku janji terbaik di atas boleh membantu pengundi membuat keputusan tepat semasa hari pengundian nanti.

Pasca pembubaran Parlimen

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Oleh DR. ABU UZMA ABDUL RAHMAN
PENULIS ialah pemerhati sosio politik.

DENGAN terbubarnya Parlimen, maka mengikut undang-undang pilihan raya, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Rakyat sesungguhnya memang sudah muak dengan perang politik yang tidak berkesudahan sejak 8 Mac 2008, yang mana menyaksikan pihak pembangkang buat pertama kalinya dapat menafikan majoriti dua pertiga yang dinikmati oleh kerajaan Barisan Nasional buat sekian lama. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen,Rabu lalu timbul pula syubhat baru.

Maka berkokoklah tokoh-tokoh pembangkang yang mengatakan kini sudah tidak ada lagi kerajaan yang sah, kerajaan ini sudah luput tarikhnya. Adalah cukup mengecewakan apabila terdapat beberapa ustaz popular yang sibuk mengatakan bahawa dengan terbubarnya Parlimen, maka sudah tidak ada lagi kerajaan, tidak ada lagi pembangkang dan dengan itu tidak ada lagi khawarij dan rakyat bebas 'menjatuhkan' pemerintah sedia ada.

Tidak kurang juga ada yang tanpa segan silu mengatakan bahawa Najib bukan lagi Perdana Menteri yang sah dan mendesak beliau supaya keluar dari kediaman rasmi dan tidak menggunakan lagi kemudahan-kemudahan rasmi yang diperuntukkan kepada beliau. Sesungguhnya, ini adalah seruan yang jahil dari mereka yang berkepentingan dan merupakan seruan yang bertentangan bukan sahaja dengan Perlembagaan negara tetapi juga dari aspek sunnah.

Khawarij adalah masalah akidah yang kekal dan tidak akan hilang. Malah adalah syubhat untuk menyatakan bahawa dengan "hilangnya kuasa" pemerintah, maka tiadalah ketaatan rakyat pada pemerintah tersebut. Ini terbukti melalui sirah, apabila gerakan khawarij telah mendapat bentuknya selepas berlakunya konfrontasi antara Saidina Ali RA dan Saidina Muawiyyah RA. Setelah berakhirnya peperangan Siffin, konflik ini cuba diselesaikan melalui perundingan Majlis Tahkim.

Majlis Tahkim melalui rundingan diplomasi antara Abu Musa Al-Asy'ari RA di pihak Saidina Ali dan Amru Al-As RA di pihak Saidina Muawiyyah tidak mencapai persepakatan dalam hal siapakah yang patut memimpin ummah seperti yang tercatat dalam Tarikh At -Tabari.

Lantas, sekumpulan penyokong Saidina Ali RA telah keluar dari barisan ketenteraan beliau. Mereka ini bertindak mengkafirkan Saidina Ali kerana beliau memilih untuk bersetuju dengan keputusan Majlis Tahkim.

Mereka berkata bahawa Ali sudah berhukum selain dari hukum Allah, dan tidak ada hukum selain hukum Allah. Lalu mereka berkata, memandangkan Ali bukan lagi Amirul Mukminin, maka dia adalah Amirul Kafirin. Gerakan khawarij mengambil kesempatan atas keadaan kucar-kacir dalam kepimpinan umat tatkala itu!

Maka, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa khawarij hanya boleh wujud dengan adanya pemerintah yang cukup sifat dan sempurna semata-mata. Ini kerana munculnya pertama kali gerakan khawarij yang sempurna dari istilah syarak berlaku ketika tiada kesepakatan dalam isu siapakah khalifah yang berkuasa penuh ke atas wilayah-wilayah Islam. Yang wujud ketika itu hanyalah kerajaan sementara pimpinan Saidina Ali dan juga pentadbiran Saidina Muawiyyah di Syam.

Hakikatnya, hayat Saidina Ali RA berakhir dengan pembunuhan beliau oleh Abdul Rahman bin Muljam yang telah dicela oleh jumhur ulama ahlul sunnah wal jamaah. Lihatlah, sungguhpun Saidina Ali bukan lagi seorang pemerintah negara yang berkuasa penuh seperti yang difahami oleh sesetengah pihak jika dibandingkan dengan khalifah-khalifah sebelum beliau, tidak ada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar yang akan mengangkat Abdul Rahman Muljam dan gerombolannya sebagai wira adijagat yang menentang pemerintah yang zalim dan tidak berhukum dengan hukum Allah.

Ini adalah bukti bahawa khawarij ini adalah masalah ideologi dan akidah yang tiada kaitan dengan naik atau turunnya sesebuah kerajaan.

Namun, kenapakah wujud fahaman songsang dalam kalangan agamawan ini yang beranggapan bahawa dengan terbubarnya Parlimen, maka negara tidak ada pemerintah? Dengan itu, mereka telah melakukan stipulasi bahawa dengan terbubarnya Parlimen tidak ada lagi khawarij walaupun terbukti sejarah Islam telah menolak idea ini secara total dan tuntas sejak daripada tunasnya lagi.

Berbalik kepada isu pembubaran Parlimen dan kerajaan sementara semasa pilihan raya, agamawan popularis ini cuba mengatakan bahawa setelah Parlimen dibubarkan maka tidak ada kerajaan yang sempurna yang dengan itu menghalalkan rakyat menjatuhkan pemerintah sedia ada dan memilih yang lain.

Penulis ingin mengajak semua untuk meneliti semula realiti Perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Mengikut Perlembagaan kita, tidak ada konsep 'Caretaker Government' seperti di Australia dan New Zealand yang melantik kakitangan kerajaan sebagai 'penjaga sementara negara'.

Ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Kit Siang pada 17 Januari 2008: "Sukacita dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihan raya negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya 'Caretaker Government'.

Oleh demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran itu akan terus menerajui kerajaan sehinggalah sebuah kerajaan baharu ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi oleh SPR.''

Oleh itu, dalam realiti politik negara kita, tidak ada caretaker government dan kerajaan yang memerintah adalah terus menerajui pemerintahan sehinggalah kerajaan baharu ditubuhkan! Ini bermakna, tidak cacat sedikit pun sifat ulil amri bagi pemerintah sepanjang tempoh pembubaran Parlimen sehinggalah diumumkan keputusan pilihan raya.

Perlembagaan Malaysia Perkara 43(2)(b) juga secara jelas menerangkan konsep ini: "Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu: …tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara."

Malah, ini turut disahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 3 April 2013 bila mana beliau berkata, kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat mentadbir negara dan padanya tidak berlaku kecacatan termasuklah dalam bidang ekonomi dan politik.

"Fungsi untuk mentadbir negara masih sama, tetapi tidak sebagai ahli Dewan Rakyat apabila fungsi di dalam Parlimen tidak ada lagi, dan perundangan tidak boleh dibuat," katanya. Beliau juga turut mengesahkan bahawa tidak ada istilah kerajaan sementara dalam Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, pendapat yang mengatakan kerajaan dalam tempoh pasca pembubaran Parlimen bukan lagi ulil amri dan tidak perlu diberikan ketaatan adalah kesimpulan yang salah dan tidak jujur apabila dirujuk kepada sunnah dan sejarah Islam serta dikuatkan dengan hujah-hujah bersumberkan perlembagaan dan perundangan negara.

Adalah menghairankan agamawan popularis bermati-matian mahu menghidup dan merayakan demokrasi tulen. Ketahuilah demokrasi tulen hanya akan diperakui oleh Barat seandainya negara menghalalkan murtad dan amalan songsang LGBT. Renunglah di manakah para perjuang murtad dan LGBT berada. Apakah di sebelah kerajaan UMNO/ BN atau di pihak pakatan pembangkang. Apakah anda masih mahu memperjudikan nasib negara?

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved