Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Ciri unik gigi sepadan gigi Dirang

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

JOHOR BAHRU 8 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ciri-ciri unik yang terdapat pada gigi mayat yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, dekat sini tahun lalu sepadan dengan gigi Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang.

Pakar Forensik Pergigian Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Noor Azma Sohari berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan secara visual dan X-ray ke atas gigi mayat tersebut bagi mengesahkan identiti dan umur mangsa.

Beliau berkata, pihak polis turut membekalkan sekeping gambar Dirang dalam keadaan tersenyum bagi membolehkan pihaknya membuat analisis secara matriks bagi mendapatkan kesepadanan di antara gigi mayat dan gambar mangsa.

Selain pemeriksaan visual, kata beliau, pihaknya menjalankan ujian terhadap pertumbuhan gigi kekal mangsa selain turut membuat pemeriksaan secara terperinci terhadap panjang dan jarak gigi selain panjang rahang mangsa bagi mendapatkan keputusan tepat.

Hasil ujian mendapati, mangsa yang meninggal dunia berusia empat tahun lapan bulan dan ia konsisten dengan umur mangsa.

Berdasarkan ujian yang dilakukan kami mendapati, ciri-ciri unik yang ada pada gigi mayat berpadanan dengan baik dengan mangsa yang hilang dan gigi hadapan mayat juga berpadanan dengan baik dengan gambar mangsa.

Keputusan analisis menunjukkan terdapat kebarangkalian yang tinggi bahawa mayat yang ditemui adalah orang yang sama dengan mangsa, kata saksi pendakwaan ke-24 itu di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman.

Noor Azma memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Muidin Maidin yang didakwa membunuh Dirang, 5, di ladang kelapa sawit, Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di sini antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam, 2 Mac 2012.

Tertuduh berusia 26 tahun yang merupakan buruh kontrak didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lalu, ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun lalu.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac lalu adalah milik mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Daud Ismail dan Mohamad Abd. Kadir.

Perbicaraan bersambung esok.

Bekas isteri Jimmy Shanley dapat hak penjagaan anak

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

Jimmy Shanley, Nursuhaila Eliani

SHAH ALAM 8 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan hak penjagaan anak perempuan pengacara, Jimmy Shanley diserahkan sepenuhnya kepada bekas isterinya.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man turut memerintahkan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu bersama Zahrah Rania yang kini berusia setahun sembilan bulan.

Mahkamah memutuskan demikian setelah mendapati Jimmy selaku defendan gagal membuktikan isu masalah akhlak bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 27, walaupun telah mengemukakan dokumen termasuk dua salinan video.

Berhubung isu Nursuhaila yang suka berhibur dan meminum arak, mahkamah berpendapat pihak defendan langsung tidak mengemukakan bukti manakala isu dia merokok dan berjudi walaupun ada rakaman cakera padat video (VCD) tetapi tidak ada bukti sokongan termasuk keterangan saksi, katanya.

Dalam pada itu, mahkamah membenarkan Jimmy mengambil anaknya bermula Selasa sehingga Khamis selain kedua-dua pihak diberi hak bergilir-gilir untuk bersama anak mereka pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Jimmy diberi hak bersama anaknya selama tiga hari bermula hari terakhir Ramadan sehingga hari raya kedua.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak atau pihak ketiga tidak menghalang atau menceroboh pihak terbabit semasa Zahrah Rania berada dalam jagaan pihak berkenaan.

Jimmy dan Nursuhaila serta wakil masing-masing juga diarahkan berbincang mengenai lokasi pengambilan anak mereka dan memaklumkan sesama mereka terlebih dahulu jika ingin berbuat demikian.

Dalam pada itu, Mawardi mengingatkan kedua-dua pihak supaya menjaga kemaslahatan anak mereka dan menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Jimmy atau nama penuhnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, diwakili peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus manakala Nursuhaila selaku plaintif diwakili peguam syarie, Saadiah Din.

Nursuhaila tidak hadir ke mahkamah hari ini dan dimaklumkan oleh peguamnya, dia kini berada di luar negara.

Sementara itu, Jimmy ketika ditemui wartawan di luar mahkamah memberitahu, dia bersyukur dan gembira dengan keputusan tersebut walaupun tidak mendapat hak penjagaan penuh.

Mahkamah membuat keputusan yang adil kerana pada awalnya saya fikir tidak lagi dapat bersama anak namun saya berharap lepas ini tidak ada campur tangan pihak ketiga, katanya.

Bekas pengacara Trek Selebriti dan Akademi Fantasia (AF) 8 itu berkata, akan menjaga sendiri anaknya malah tidak sabar untuk meluangkan masa yang berkualiti dan menyambut Aidilfitri bersama Zahrah Rania.

Kepada bekas isterinya, dia memohon maaf dan mendoakan yang terbaik untuknya serta berharap Nursuhaila bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih memahami.

Mengenai jodohnya pula, Jimmy berkata, dia kini sedang mencari calon dan akan bernikah secepat mungkin jika telah menemui wanita idamannya.

Jimmy dan Nursuhaila bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 10 Oktober tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved