Utusan Online - Utara |
- Penjawat awam dapat RM500
- Bertimbang rasalah sedikit - Peniaga
- Media Perak anjur kayuhan amal kutip sumbangan Tabung Lahad Datu, Sabtu ini
Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI IPOH 3 April - Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak RM500 seorang kepada semua kakitangan awam yang berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Tanah dan Galian serta majlis perbandaran dan daerah. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan berita baik itu selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri yang terakhir bagi penggal ini di sini hari ini. Beliau berkata, pemberian insentif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM7.5 juta dan akan dimasukkan dalam gaji bulan ini. "Kutipan hasil kerajaan negeri meningkat kepada RM905 juta pada tahun lalu berbanding jangkaan kutipan sebanyak RM865 juta. "Ini merupakan satu pencapaian yang baik dan membolehkan kerajaan negeri memberikan insentif khas sebanyak RM500 kepada semua kakitangan awam negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Berita baik itu hadir dua hari selepas kerajaan negeri mengisytiharkan insentif khas sebanyak RM500 kepada semua kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membabitkan peruntukan berjumlah RM1.4 juta. Menurut Zambry, sudah menjadi dasar kerajaan negeri menggunakan sebahagian lebihan hasil yang dikutip untuk memberikan insentif kepada semua penjawat awam di negeri ini. "Saya harap insentif khas ini akan memberikan galakan kepada semua kakitangan awam negeri untuk terus berkhidmat dengan cemerlang pada masa akan datang," katanya. Beliau berkata, sebahagian lebihan hasil yang dikutip itu akan disalurkan untuk projek pembangunan negeri seperti membaiki lampu jalan dan jalan raya yang rosak. Zambry berkata, hasil usaha gigih kerajaan negeri sejak empat tahun lalu pertumbuhan sosioekonomi negeri mencapai tahap membanggakan dan menyediakan lebih 55,000 peluang pekerjaan kepada rakyat. Tambahnya, pertumbuhan sihat itu membolehkan kerajaan negeri mengutip hasil yang lebih tinggi dan rakyat juga dapat merasai manfaatnya. |
Bertimbang rasalah sedikit - Peniaga Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT IPOH 3 April - Seorang peniaga barangan kecantikan dan kesihatan di Angsana Mall di sini, kesal dengan sikap pihak pengurusan kompleks itu, Uda Mall Sdn. Bhd. yang bertindak memotong bekalan elektrik di premisnya hari ini. Pengurus Baiduri Herb's, Siti Anita Mohd. Amin, 41, berkata, tindakan itu dibuat selepas beliau gagal menjelaskan sewa premis untuk bulan Mac sebanyak RM1,744.20 dan bil elektrik berjumlah RM119.11 selepas pihak pengurusan memberi tempoh masa sehingga 20 Mac lalu. "Saya akui saya masih belum membayar sewa premis dan bil elektrik bulan lalu yang berjumlah RM1,863.31 kepada mereka (Uda Mall). Tetapi tidak bolehkah perkara ini dibawa berbincang terlebih dahulu? "Perniagaan kami semakin merosot berikutan persaingan daripada kompleks beli-belah yang baharu. Sepatutnya mereka lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi peniaga bumiputera di sini, bukannya menekan kami. Bertimbang rasalah sedikit," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Ekoran kejadian itu, Siti Anita yang sudah lima tahun berniaga di pusat beli-belah itu terpaksa melayan pelanggannya dengan hanya diterangi cahaya lilin selain membatalkan beberapa tempahan membuat rawatan kecantikan. Selain Baiduri Herb's, tiga premis lain turut mengalami nasib sama tetapi difahamkan, mereka sudah meneruskan operasi petang ini setelah membayar tunggakan masing-masing. Menurut Siti Anita, sebelum ini, premisnya pernah gagal menjejaskan bayaran selama lima bulan berjumlah RM9,482.83 antara 2011 hingga September tahun lalu. Namun, katanya, hasil perbincangan dengan pihak pengurusan dia diberi peluang meneruskan perniagaannya tanpa sebarang tindakan meskipun bayaran penuh hanya dibuat Februari lalu. "Ketika itu, pihak pengurusan membuat tempat letak kereta yang menyebabkan pengunjung tidak ramai. Ini menyebabkan jualan kedai menjunam sehingga saya tidak mampu membayar sewa dan bil utiliti," katanya. "Kalau sebelum ini mereka boleh bertimbang rasa, kenapa sekarang iaitu baru sebulan sudah ambil tindakan? Tidakkah mereka tahu, tindakan ini menyebabkan kami tidak boleh berniaga dan mengalami kerugian yang banyak," katanya. |
Media Perak anjur kayuhan amal kutip sumbangan Tabung Lahad Datu, Sabtu ini Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT SUNGAI SIPUT 3 April - Pasukan berbasikal Media Perak Cyling Team akan menganjurkan program Kayuhan Amal Lahad Datu bagi mengutip sumbangan untuk anggota dan keluarga pasukan keselamatan yang cedera dan terkorban dalam Ops Daulat di Sabah pada Sabtu ini. Ketua pasukannya, Fazli Ahmad berkata, lebih 300 orang yang terdiri daripada anggota Komando VAT 69, pengamal media, anggota polis, penjawat awam, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan parti politik akan berkayuh dalam program tersebut. Katanya, kayuhan meliputi jarak sejauh 60 kilometer bermula di Mes Pegawai Kanan Polis di sini dan berakhir di Laman Budaya, Kuala Kangsar. "Sepanjang perjalanan, peserta kayuhan akan berhenti di Balai Polis Chemor, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput dan terakhir sekali di Laman Budaya di Kuala Kangsar untuk mengutip sumbangan daripada NGO dan orang ramai di situ. "Kami jangkakan kira-kira RM30,000 mampu dikutip melalui program ini. Hasil kutipan akan diserahkan kepada Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan yang akan menyerahkannya kepada wakil Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin ini," katanya. UMNO Bahagian Sungai Siput dan Kuala Kangsar masing-masing turut menaja sebanyak 1,000 dan 500 naskhah akhbar Utusan Malaysia bagi menjayakan program tersebut. Menurut Fazli, Media Perak Cycling Team yang berada di bawah naungan Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak merupakan pertubuhan bukan kerajaan pertama di negeri ini mengadakan program seumpama itu bagi membantu anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu. "Ini juga merupakan kali pertama pihak media menganjurkan program untuk pihak polis sebagai tanda menghargai sumbangan polis dalam menjaga keamanan negara selama ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan