Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Hukuman berat wajar buat pemburu haram

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

JOHOR BAHRU 3 April - Hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada pemburu haram sebagai langkah memelihara alam sekitar dan mengelak hidupan liar di negara ini terus pupus.

Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah, selain itu, kerajaan disaran memperketatkan akta perlindungan hidupan liar bagi melindungi haiwan berkenaan.

Baginda bertitah, kegiatan pembalakan dan pemburuan haram menjadi ancaman terhadap kepupusan haiwan yang kini semakin membimbangkan.

"Saya rasa perkara ini amat serius kerana setiap hari kita didedahkan dengan laporan media berkaitan aktiviti penyeludupan haiwan.

"Ini amat membimbangkan lebih-lebih lagi mengikut rekod, negara kita setakat ini hanya mempunyai 300 ekor harimau dan di hutan Endau-Rompin bilangan haiwan itu hanya kira-kira 16 ekor sahaja," titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hari Kesedaran Pemeliharaan Hidupan Liar anjuran Johor Corporation (JCorp) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Nature Research Center, North Carolina Museum of Natural Science, Dr. Margaret D Lowman; Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (PPAM), Prof. Dr. Maketab Mohamed dan Pengurus Kanan Kulim (Malaysia) Berhad, Salasah Elias.

Raja Zarith Sofiah menjadi salah seorang panel program sehari itu yang disertai kira-kira 200 pelajar sekolah menengah di sekitar Johor Bahru dan penuntut UTM.

Program itu dihoskan Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor.

Baginda bertitah, kerjasama antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting terutama dalam meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan hidupan liar dalam kalangan generasi muda.

"Kegiatan pemburuan haram ini agak sukar dibanteras sepenuhnya, namun kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi hutan simpan kekal bagi membolehkan hidupan liar terus hidup.

"Malah, undang-undang juga perlu dipinda kerana denda sekarang mungkin tidak setimpal dengan kegiatan yang mereka lakukan, mungkin kenakan penjara kepada pesalah supaya mereka akan fikir banyak kali untuk membuat kesalahan sama," titah baginda.

Selain itu, titah baginda, media juga berperanan menyebarkan kempen kesedaran kepada orang ramai supaya memelihara persekitaran dan menyayangi haiwan.

RM5.2j bayar pampasan

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

ABDUL Ghani Othman (kanan) menyampaikan pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di Palm Villa, Bandar Putra, Kulaijaya, Johor, kelmarin.

KULAIJAYA 3 April - Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM5.2 juta kepada 156 keluarga, pemilik premis perniagaan dan persatuan rumah ibadat yang terlibat dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) Gemas-Johor Bahru.

Bayaran ex-gratia tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam satu majlis di Dewan Alamanda, Palm Villa di sini semalam.

EDTP Gemas-Johor Bahru bernilai RM7 bilion dibina sepanjang 197 kilometer dan bakal menjadi hab pengangkutan dengan kapasiti untuk menandingi Mass Rapid Transit (MRT) di Singapura.

Seorang penerima, Sharipah Yaakub, 44, amat berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi sedikit bayaran kepadanya, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

"Alhamdulillah, dengan pemberian duit ini saya bercadang menggunakannya sebaik mungkin yang akan difikirkan kemudian, terima kasih Perdana Menteri," katanya.

Sharipah berkata, beliau sebelum ini menetap di Saleng dan kini berpindah ke Sri Mutiara bagi memberi laluan kepada projek itu.

Seorang lagi penerima, Yong Chon Bin, 75, mengakui tiada kata-kata yang mampu diluahkan untuk menggambarkan betapa berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberikan pampasan kepada mereka.

"Apa lagi saya boleh cakap selain terima kasih kepada kerajaan dan saya bercadang membeli rumah dengan wang yang diberikan ini," katanya yang kini menetap di Taman Puteri.

S. Chitra Dewi, 51, yang kini menyewa di Taman Puteri akan menggunakan wang tersebut sebaik mungkin termasuk merancang membeli rumah untuk keluarganya.

Beliau yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai lima orang anak itu amat terharu dengan pemberian tersebut dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved